SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Rabu, 31 Mac 2010

APRIL FOOL: TAK USAHLAH BUAT KERJA BODOH TU...





1 April sinonim dengan budaya April Fool. Masa zaman sekolah dulu, pernah juga terkena kerja bodoh oleh kawan-kawan di asrama pada tarikh tersebut. Hentikanlah budaya tersebut yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Katanya untuk bergurau. Betulkah untuk bergurau? Bagi saya, itu semua menggambarkan sikap seseorang yang hendak merendah-rendahkan tahap pemikiran dan tindakan seseorang terhadap perlakuan yang dilakukannya. Mungkin ada orang yang boleh menerimanya sebagai gurauan, namun ada yang tidak. Yang tidak inilah akan membawa kepada tercetusnya perbalahan, hubungan menjadi dingin dan sebagainya.

Islam berusaha menggalakkan umatnya menjalinkan hubungan silaturahim. Namun, apa gunanya gurau tersebut jika ia boleh membawa kepada perpecahan hubungan. Jadi, baik tak usah dilakukan kerja-kerja bodoh tersebut. Ia bukan budaya kita. Bukan budaya seorang bergelar muslim.

Malah, dikatakan sejarah April Fool ini bermula untuk memperbodoh-bodohkan umat Islam oleh pemerintah Kristian Sepanyol suatu ketika dahulu. Pada tahun 1492 M, kerajaan Kristian gabungan pemerintahan Raja Ferdinand(Aragon) dan Ratu isabella (Castile) telah berjaya mengalahkan pertahanan terakhir kerajaan Islam di Granada (Kerajaan Bani Al-Akhmar). Akibatnya, ramai umat Islam diusir dan di bunuh. Ada yang dipaksa untuk memeluk agama Kristian.

Suatu hari, Ratu Isabella telah mengeluarkan satu arahan agar umat Islam di Granada kembali ke tanah seberang (Afrika) iaitu tanah asal umat Islam ketika itu. Mereka disuruh berkumpul di pesisir pantai, kerana akan ada kapal-kapal yang akan membawa mereka ke seberang. Percaya dengan arahan tersebut, maka beribu-ribu penduduk Islam Granada pergi ke pantai yang dikatakan. Malangnya, sekian lama menunggu, kapal yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Sebaliknya, peluang itu telah digunakan oleh pemerintah Isabella membantai habis-habisan penduduk Islam itu di pantai tersebut. Dan tarikh kejadian itu jatuh pada 1 April 1492! Nah, apakah kita juga turut merayakan ulang tahun 1 April itu dengan melakukan kerja-kerja bodoh juga? Tepuk dada, tanya iman kita.

Firman Allah (maksud):
"Dan apabila dikatakan kepada mereka:"Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata:"Kami telah beriman", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:"Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)" Allah (membalas) memperolok-olok mereka, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu)."
(al-Baqarah: 13-15)

PENGUMUMAN DARIPADA TUAN RUMAH

Buat para pengunjung blog yang saya hormati,

Insya Allah, mulai April ini blog MindaHati akan dikemaskini dan disusun dari segi isi kandungannya mengikut slot-slot yang tertentu secara tetap setiap bulan. Ini bagi memudahkan dan menyenangkan para pengunjung untuk mengikuti perkembangan entri-entri yang akan dimuatkan di dalam blog ini. Antara entri-entri yang akan dimuatkan nanti seperti fokus bulanan (sekitar isu-isu semasa), rencana umum, sastera dan budaya (cerita pendek terpendek dan puisi), komik (humor), dan Santai Bicara. Sokongan daripada para pengunjung blog sama ada dari segi komen, cadangan dan apa-apa saja yang dapat membantu memajukan lagi blog ini amat dialu-alukan.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini.

Selasa, 30 Mac 2010

Ulasan Buku: Di Dunia Ada Syurga


DOA. Ya, kita memang digalakkan untuk berdoa kepada Allah. Malah, jaminan Allah dalam firmannya;
وقال ربكم ادعونى استجب لكم

"Dan Tuhan kamu berfirman;"Berdoalah kamu kepada Ku, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu..."
(al-Mukmin :60)

Tidak susah untuk kita berdoa. Lafazkan sahaja apa yang hendak kita hajati kepada Allah, tanpa sebarang keraguan bahawa Allah pasti memperkenankan doa kita. Kerana itulah harapan kita tatkala berdoa. Harapan yang sungguh-sungguh. Harapan daripada hamba yang lemah yang mengadu kelemahannya kepada Yang Maha Pencipta. Dengan keyakinan bahawa Allah akan mendengar rintihan dan rayuannya, menjadikan seseorang itu tidak mudah putus asa dalam kehidupannya.

Saya teringat kepada kata-kata seorang penceramah semasa saya menghadiri satu siri ceramah yang berkaitan dengan alam rumah tangga. Kata beliau, "Dunia ini bukanlah syurga yang kita harapkan akan sentiasa hidup indah-indah. Ada kalanya kesengsaraan akan kita hadapi. Namun, dunia juga bukanlah neraka yang sentiasa dipenuhi kesengsaraan. Adakalanya keindahan itu akan kita temui juga. Ini bermakna, dunia ini merupakan suatu tempat yang penuh dengan harapan, iaitu harapan(doa) kita kepada Allah agar diberi suatu kehidupan yang baik dan bahagia."

Kerana adanya harapan-harapan inilah maka kita digalakkan berdoa dan terus berdoa tanpa kenal putus asa dan keletihan.
Buku 'Di Dunia Ada Syurga' ini pasti mampu memberikan jawapan kepada harapan-harapan tersebut. Buku ini amat menarik dibaca. Pertama kali saya menatap judulnya terus saya membelinya, dan ternyata isi kandungannya tidak menghampakan. Buku setebal 147 muka surat ini merupakan himpunan kisah-kisah benar tentang keajaiban doa yang dikutip dan digarapkan semula oleh Asma Nadia. Membaca setiap tajuk di dalamnya benar-benar memberi kesan kepada jiwa yang membacanya. Pengalaman-pengalaman beberapa individu yang telah menemui jalan buntu dalam menghadapi masalah yang membelit kehidupannya, namun masih yakin bahawa harapan itu masih ada dengan mengadukan permasalahan itu kepada Tuhan, iaitu Allah Yang Esa.

Ternyata memang benar. Bait-bait doa yang dilafazkan dengan penuh ikhlas dan mengharap akhirnya diperkenankan sama ada segera mahupun lambat. Malah, unsur-unsur keajaiban doa itu jelas terserlah. Selepas membaca buku ini, memberi semangat kepada kita untuk sentiasa berdoa, malah akan menjadikan kita rasa seronok untuk berdoa kerana tatkala berdoa, sebenarnya kita sedang berbicara dengan Allah secara langsung!
Saya percaya, mungkin ada dalam kalangan pengunjung blog ini sudah memiliki buku ini. Tetapi bagi yang belum, saya syorkan agar buku ini dimasukkan di dalam rak buku perpustakaan di rumah anda sebagai bahan bacaan keluarga.

Judul : Di Dunia Ada Syurga
Pengarang : Asma Nadia
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd.
Tebal : 149 muka surat
Tahun : 2009
Harga : Semenanjung (RM11.90), Sabah/Sarawak(RM13.90)


Ketak ketik ketuk : Terasa lapang selepas berdoa...

EARTH HOUR : SELAMATKAN BUMI DARI KEPANASAN!






ketak ketik ketuk : Bumi ini milik kita bersama..

Ahad, 28 Mac 2010

PENULIS DAN PENULISAN

Islam merupakan agama yang mencakupi semua perkara dalam kehidupan manusia. Malah dalam soal penulis dan penulisan, turut mendapat perhatian dalam Islam. Islam amat memberi perhatian yang serius dalam dua perkara ini. Ini dapat kita lihat melalui firman Allah;

الذى علم بالقلم

"Yang mengajar manusia melalui pena."
(surah al-'Alaq:4)

Umum telah mengetahui bahawa Islam menitik beratkan soal membaca dalam kalangan umatnya. Membaca merupakan kunci kepada ilmu pengetahuan. Namun, adanya aktiviti membaca kerana adanya sesuatu kalimat atau perkataan yang ditulis. Secara serentak, aktiviti penulisan juga penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Kerana itulah, Allah memberi peringatan kepada golongan penulis dengan firmanNya;

ن والقلم و ما يسطرون

"Nun, demi pena dan apa yang mereka tulis,"
(surah al-Qalam: 1)

Tidak kira siapa diri anda, sama ada golongan ilmuan, sasterawan, budayawan, sejarawan, 'bloggerwan' (saya cipta sendiri entri ini), atau siapa-siapa saja, jika anda terlibat dalam aktiviti penulisan atau menulis sesuatu, maka akan dipertanggungjawabkan atas apa yang telah ditulis.
Oleh itu, sepanjang kita berblogging, maka perlulah berhati-hati agar tidak tersasar dari landasan Islam. Adab dan tertib perlulah dijaga. Apa yang penting, biarlah aktiviti penulisan kita menjadi ibadah. Mengapa tidak kita rebut peluang ini?


ketak ketik ketuk : penulis merupakan perakam waktu.

Sabtu, 27 Mac 2010

PERUTUSAN PERASMIAN BLOG MindaHati

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Sidang para pengunjung blog yang saya hormati,

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jua, maka saya telah diberi kekuatan untuk membina/menghasilkan blog sulung saya ini. Kehadiran blog ini bukan hanya sekadar untuk memeriahkan bilangan blog-blog yang sudah sedia ada, namun ia mempunyai suatu objektif yang tersendiri khususnya dalam mewujudkan suasana perkongsian ilmu pengetahuan dalam kalangan para pengunjung blog, sama ada anda sebagai blogger atau hanya sebagai pembaca. Atas dasar inilah, maka penulis memilih nama untuk blog ini dengan nama MindaHati.

Mengapa MindaHati?
Ya, mengapa MindaHati sebagai pilhannya. Kata MindaHati adalah gabungan daripada perkataan Minda dan Hati. Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), perkataan 'minda' membawa maksud 'akal fikiran, daya fikir' manakala perkataan 'hati' merupakan kata dasar yang berupa homonim dan saya memilih pengertiannya yang pertama (I) yang merujuk kepada maksudnya yang ketiga (3) iaitu 'batin (tempat perasaan, pengertian dll). Jadi, gabungan daripada dua perkataan ini membawa pentafsiran penulis bahawa setiap idea atau pandangan yang tercetus dari akal fikiran haruslah digerakkan oleh niat hati yang ikhlas dan disampaikan dengan penuh hikmah (bijaksana). Maka, dengan itu jugalah saya memilih tagline 'Marilah Kita Mencanai Minda Dengan Hati Yang Ikhlas'.

Sidang pengunjung blog yang saya hormati,

Dalam blog ini juga, saya amat mengalu-alukan pandangan daripada para pengunjung dan blogger dalam apa-apa jua isu atau perkara yang cuba dibincangkan, sama ada oleh pemilik blog ini mahu pun oleh para pengunjung. Namun pandangan atau tulisan daripada para pengunjung blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog dan malah pemilik blog tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diposkan. Perbezaan pandangan memang wujud dalam kalangan kita. Kerana itulah, saya mengharapkan agar 'perbezaan' itu dapat dimanfaatkan dalam usaha kita mencari suatu kebenaran. Perkara-perkara yang sensitif pula perlulah disampaikan dalam bahasa yang penuh hikmah, tidak keterlaluan dan penuh tertib.
Bunyinya memang agak terlalu formal. Namun, percayalah dalam hal ini saya lebih suka gaya penyampaian di sini dalam keadaan santai dan tidak terlalu formal. Dari segi gaya bahasa dan lenggok tutur kata terpulanglah kepada cara para pengunjung blog sendiri, mana yang lebih selesa anda gunakan.

Sidang pengunjung blog yang saya hormati,

Bersama-samalah kita memeriahkan blog ini untuk bertukar-tukar fikiran dan rasa, kerana di dalam itu nanti kita akan menjumpai sesuatu yang akan menjadi ilmu baru dalam kehidupan kita. Itulah harapan saya tatkala hendak membina blog ini. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, maka rasmilah Blog MindaHati ini pada 27 Mac 2010 Masehi bersamaan dengan 11 Rabiul Akhir 1431 Hijrah, hari Sabtu. Semoga Allah sentiasa merahmati kita sepanjang kita berblogging.

Sekian, terima kasih.