SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Jumaat, 30 April 2010

CATATAN HUJUNG BULAN: KATAK OH KATAK

Pagi Jumaat yang basah. Selepas beberapa hari dibahangi panas dan tidur malam yang tidak berapa selesa lantaran bahangnya hingga ke malam. Kini, rahmat Allah yang diturunkan berupa hujan menyirami bumi tempat kediaman. Bergembiralah sekalian makhluk-makhluk penghuni bumi yang amat memerlukan air dalam meneruskan keberlangsungan hidup mereka. Tumbuh-tumbuhan terasa segar dalam sedutan air pada akarnya yang menjalar. Segala ungas dan haiwan yang melata juga bergembira menikmati rezeki yang telah Allah curahkan.

Teringat dengan sejenis haiwan yang sering dikaitkan dengan hujan, iaitu katak dan sespesis dengannya. Ya, katak sering dikaiTkan dengan hujan lantaran suaranya yang sumbang bagaikan memanggil hujan.

Kita sering mendengar ungkapan begini;
"Ah, suara macam katak nak panggil hujan ada hati nak jadi penyanyi juga."


Begitu juga, teringat dengan lirik daripada sebuah lagu rakyat;
"Katak oh katak kenapa panggil hujan
macam mana aku tak panggil ular nak makan aku
ular nak makan aku!"

Nah, begitulah manusia sering mengambil unsur-unsur alam untuk dijadikan kiasan dan perbandingan dalam menyampaikan suatu pendidikan dan pengajaran kepada manusia. Betapa manusia itu penuh dengan kejahilan. Alam banyak memberi inspirasi untuk manusia belajar dalam mengatur dan menguruskan kehidupan.

Lihat betapa Qabil telah belajar daripada seekor gagak untuk mengkebumikan jenazah Habil yang telah dibunuhnya. Malah, di dalam al-Quran juga Allah banyak mengungkapkan perbandingan dan kiasan melalui watak-watak seperti labah-labah, lebah, gajah, unta, dan semut (sekadar memaparkan beberapa nama haiwan) sebagai satu bentuk pendidikan kepada manusia bagi membuka mata minda dan hati manusia dalam memikirkan dan menghayati ajaran yang disampaikan oleh para nabi dan rasulNya. Benarlah, alam ini juga merupakan kitab terbuka luas untuk dikaji dan direnungi manusia bagi memantapkan keimanan kepada kewujudan Allah.

Berbalik kepada haiwan yang bergelar katak tadi, ia memang haiwan amfibia yang memiliki banyak keistimewaan. Membantu dalam memperlengkapkan sistem rantai makanan dan sistem ekologi setempat.

Namun, kini unsur katak sudah jauh lebih hebat dan moden meresap dalam sistem kehidupan manusia. Katak sudah menjadi perbahasan dalam kajian ilmu sains-politik di negara kita. Sejak kebelakangan ini, arena politik kebangsaan hangat dan heboh dengan isu beberapa wakil rakyat telah bertindak keluar dari parti yang pernah melonjakkan nama mereka dipersada politik. Alasan, demi perjuangan dan prinsip! Prinsip yang sudah tidak selari dengan prinsip parti. Itu kata mereka yang telah keluar. Namun fenomena tersebut telah mengheret sama sekali katak yang tidak tahu apa-apa dalam kancah politik negara. Maka lahirlah istilah baru dalam kamus politik negara dengan memasukkan entri baru iaitu 'YB Katak'. Maknanya merujuk kepada wakil-wakil rakyat yang keluar melompat parti. Begitulah hebatnya nama katak ni.

Katak juga mengingatkan saya tentang zaman kanak-kanak saya dahulu. Masa itu belum baligh lagi. Dalam usia 7 dan 8 tahun. Setiap kali musim hujan menjadi suatu keseronokan kepada saya dan abang saya. Ketika itulah banyaknya kedengaran suara-suara katak riuh memangil hujan. Daya 'kreatif' saya dan abang saya akan mencari dan menangkap berudu untuk dipelihara. Untuk apa? Apabila besar menjadi katak, kami jual dengan keluarga cina. Seekor harga 5 sen. Masa tu nilai 5 sen memang besar. Selain memelihara berudu, aktiviti menangkap katak-katak dewasa juga dijalankan untuk dijual. Wah, lumayan juga jual katak. Tapi itu cerita dulu, masa masih kanak-kanak yang tak tahu apa-apa halal haramnya. Mengenangkan peristiwa itu, saya akan tersenyum sendirian.

Begitulah perihal katak yang sedikit sebanyak meresap dalam kehidupan kita. Namun pernahkah kita terfikir tatkala mendengar riuhnya suara katak takala musim hujan. Adakah suara sumbang itu memanggil hujan atau tanda katak-katak ini bertasbih memuji Pencipta.

Firman Allah:
"Dialah yang memperlihatkan kilat kepadamu yang menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia menjadikan mendung (awan tebal mengandungi air) dan guruh pun bertasbih memujiNya (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNya, dan Allah melepaskan halilintar llau menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia Maha Keras siksaanNya." (ar-Ra'd: 12-13)

Tatkala hujan, maka katak-katak itu mengucapkan syukurnya dan bertasbih kepada Allah atas nikmat hujan yang dikurniakan. Namun, bagaimana sikap kita tatkala hujan turun? Sering kita mengungkapkan hari hujan itu sebagai 'cuaca buruk' malah kita banyak merungut-rungut kerana hujan telah membataskan pergerakan dan banyak program kita tertanguh kerananya. Benarlah, masih terlalu banyak lagi yang perlu manusia pelajari daripada alam dalam memahami erti kesyukuran.




Rabu, 28 April 2010

BUDAYA MEMBACA: UMAT ISLAM MALAS MEMBACA!

Ummah Islam malas membaca!

Adakah anda terkejut dengan kenyataan saya ini? Atau anda marah kerana memberi gambaran yang negatif terhadap ummah Islam? Tenang. Lihat dulu fakta berikut. Di sini saya ingin berkongsi fakta dengan anda tentang tahap budaya membaca ummah Islam khususnya di negara-negera Arab berbanding negara Jepun dan Eropah. Statistik ini saya petik daripada Majalah Solusi keluaran Isu 18. Kajian ini telah dibuat oleh Dr. Raghib al-Sirjani. Hasil kajian beliau seperti berikut;

Jepun : 40 buah buku setahun
Eropah : 10 buah buku setahun
Arab : 20 HELAIAN BUKU SETAHUN!


Bagaimana pula di negara kita, Malaysia sebuah negara Islam di rantau Asia Tenggara. Kajian yang telah dibuat pada tahun 2005 menunjukkan budaya membaca dalam masyarakat kita membaca 2 BUAH BUKU SETAHUN! Jenis-jenis bacaannya pula seperti berikut;

Surat Khabar : 77.4 %
Majalah : 3 %
Buku : 3 %
Komik : 1.6 %

Nah, apa yang dapat anda simpulkan tentang perkara ini?

Sepatutnya, dalam kalangan umat Islam budaya membaca ini adalah yang paling tinggi. Ini kerana wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah berkaitan dengan perintah MEMBACA.

Firman Allah (maksud):
"Bacalah dengan nama Rabbmu yang telah menciptakan" (al-'Alaq:1)

Tidak dinafikan budaya membaca ini berkait rapat dengan budaya ilmu. Kerana itulah dikatakan 'membaca jambatan ilmu'. Lihatlah kemunculan tamadun-tamadun manusia yang pernah menguasai beberapa bahagian sudut di dunia ini suatu ketika dahulu. Masyarakatnya merupakan masyarakat yang membaca dan tinggi keilmuannya.

Tamadun Mesir telah meninggalkan budaya membaca/ilmu mereka pada tulisan-tulisan yang terpahat pada dinding-dinding piramid yang sehingga kini belum mampu dihuraikan sepenuhnya oleh pakar arkeologi dan saintis. Tamadun China muncul dengan terciptanya kertas. Tamadun Yunani melahirkan ramai golongan filosofi. Tamadun India kaya dengan nilai kesusasteraannya yang dirakam dalam kitab-kitab agama mereka. Malah, suatu ketika dahulu Tamadun Islam turut muncul dengan kemuncak ilmuannya yang tinggi. Bayangkan, tatkala tentera Tartar pimpinan Hulagu Khan merempuh kota Baghdad ketika itu menyaksikan dunia Islam telah mengalami 'kiamat' ilmu. Apa tidaknya, ratusan ribu naskhah buku dari dalam Baitul Hikmah telah diangkut keluar oleh tentera Hulagu untuk dibuang ke dalam sungai Furat untuk dijadikan jambatan bagi menyeberang ke seberang dalam misi ketenteraannya. Bayangkan buku dijadikan jambatan!

Jika dulu, masyarakat Islam sibuk dan gemar berbicara tentang judul-judul buku/kitab yang terbaru yang dikarang oleh ulama mereka. Namun kini, umat Islam pula sibuk dan gemar berbicara tentang kereta, fesyen terbaru, sukan bola sepak, lagu-lagu hit terkini dan sebagainya. Tidak nampak keterujaan mereka untuk memiliki buku terbaru setiap bulan. Membicarakan buku-buku terkini di warung-warung kopi atau di lobi-lobi hotel. Masih jauh lagi untuk melihat suasana ini dalam kalangan umat Islam. Sayang, kadar celik huruf di negara kita antara yang tertinggi di dunia, namun kepandaian membaca itu belum mampu dimahirkan untuk menjadi budaya membaca.


ketak ketik ketuk : Ayuh, kita bangkitkan budaya membaca dalam kalangan ummah Islam!


Isnin, 26 April 2010

LUAHAN RASA: MENTALITI KELAS KETIGA

"Masya Allah!, ini dah jadi masalah ni?" tiba-tiba ungkapan itu tercetus dari mulut saya. Isteri dan anak-anak mempamerkan wajah yang penuh tanda tanya. Bingung melihat apa yang berlaku di depan mata.

"Kalau macam ni, tunggu malam baru dapat balik," saya mengeluarkan kenyataan itu secara umum. Saya terus membuka pintu van. Anak-anak dan isteri duduk saja. Tak tau nak buat apa. Saya pun begitu juga. Tak tau nak buat apa. Nak keluar memang tak boleh. Van saya dihadang oleh sebuah kereta Gen2 yang parkir di sebelah van saya. Sebenarnya, saya dan keluarga nak balik setelah puas melawat pameran MSAM di tempat letak kereta Bangunan Wiswa Bapa Malaysia di bandaraya Kuching semalam (25 April).

Saya antara pelawat yang awal memarkirkan kereta di sepanjang bahu jalan tersebut. Entah, apabila nak balik, berjejeran kereta lain yang sedang diparkirkan bersebelahan dengan kenderaan yang datang awal tadi. Maknanya sekarang, susunan parkir kereta itu menjadi dua lapis. Kerana itu, van saya memang tidak boleh keluar.

"Hmm..kenapalah diorang tak boleh berfikir sejenak masa nak parkirkan kereta ni?" Saya bermonolog sendiri.

Saya buntu. Mahu tak mahu tunggu saja tuan punya kereta tu. Sambil-sambil menunggu tu, anak-anak dan isteri sedang meratah makanan yang dibeli dan dibekalkan. Saya berdoa moga-moga situasi 'terperangkap' ini tidak lama. Hampir setengah jam, seorang lelaki berjalan menuju ke kereta kancilnya yang terletak di bahagian belakang kereta Gen2 tadi. Dia keluar, dan ada ruang untuk saya keluar juga.

"Alhamdulillah..."bisik hati saya.

Sepanjang perjalanan pulang, saya masih memikirkan kejadian sebentar tadi. Persoalan besarnya, mengapa ada orang masih tidak mampu berfikir secara logik tentang setiap tindakkannya yang boleh membawa kepada kesusahan orang lain? Teringat dengan kata-kata bekas Perdana Menteri dulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dia kata, kemudahan dan infrastruktur di negara kita ini mencapai tahap dunia kelas pertama, namun mentaliti penggunanya masih ada yang di tahap kelas dunia ketiga.


ketak ketik ketuk : Kalian mungkin pernah alami masalah yang serupa pada peristiwa yang berbeza...

Jumaat, 23 April 2010

BERKONGSI RASA: AYAH BELI APA?

Setiap kali seretan tayar kereta saya diparkirkan di ruang carpoarch rumah, anak-anak saya berebut-rebut menyambut ayahnya pulang dari tempat kerja. Pulangnya malam. Lazim pukul 7 malam sampai di rumah.
"Ayah beli apa?" tanya anak perempuan bongsu (4 tahun) yang tercongok mukanya di tepi tingkap pintu kereta.
"Tak ada apa-apa. Ayah letih ni." Jawab saya. Wajah-wajah hampa terpamer pada muka anak-anak. Namun mereka tetap menawarkan untuk membawa beg ayahnya. Itulah soalan yang SERING MEREKA AJUKAN, dan jawapan ayahnya sering menghampakan. Namun, semangat mereka tetap utuh. Adakalanya siap menghantar segelas air sejuk kepada ayahnya yang masih lagi duduk dalam kereta. Saya mula berfikir dan terfikir.Hmmm..itu dulu, sekarang...
Seretan tayar kereta yang diparkir seperti biasa. Anak-anak keluar menyambut.
"Ayah beli apa?" mulut Si Bongsu bertanya. Muka penuh mengharap tercongok di tepi tingkap pintu kereta.
"Nah, ayah beli roti." jawab saya. "Yeeeaaa,..." suara girang memenuhi ruang halaman rumah.
Esok pula;
"Nah, ayah beli keropok"
"Yeeeaaaaa!"
Lusa pula;
"Nah, ayah beli gula-gula."
"Yeeeaaaaa!"
Hari-hari seterusnya;
"Nah, ayah beli...."
"Yeeeaaaaaa"
Begitulah. Saya banyak belajar erti kasih sayang dan nilai menyayangi daripada anak-anak. Terima kasih anak-anakku kerana mengajar ayah untuk berusaha MENJADI AYAH TERBAIK buat kalian....Kegirangan mereka menghilangkan rasa penat di jiwa walaupun badan masih penat bekerja...

Khamis, 22 April 2010

SUSASTERA: MENUNGGU BULAN TERSENYUM

MENUNGGU BULAN TERSENYUM

(Ku titipkan puisi ini buat Palestin yang masih menderita)

Bulan sabit tidak tersenyum
di dada langit Ghazzah
pudar cahaya
bersama sarat penderitaan
awan berarak mendung
dengan hujan peluru
banjir darah syuhada
melimpah di laman al-Aqsa.

Tangan-tangan kecil
masih mengepal batu
dalam semangat juang yang tinggi
batu adalah peluru
saksi perjuangan murni.

Harapan terus dititip
lewat doa dari generasi ke generasi
melihat bulan tersenyum
di atas kubah al-Aqsa.

Rabu, 21 April 2010

UMUM: MENGANGKASAKAN UMMAH

Memetik kata angkasawan negara, Dr. Syeikh Muszaphar dalam majalah Milenia (April);
"Saya berasa amat dukacita kerana daripada jumlah 514 angkasawan ke angkasa lepas, kenapakah hanya ada sembilan angkasawan Islam iaitu sejak Yuri Gagarin menjejakkan kaki ke bulan pada 1961?"Soalnya.

Benar, mengapa dunia Islam tidak mampu melahirkan ramai lagi angkasawan dan juga saintis dalam aeroangkasa ini? Walhal 14 abad yang lalu Alah telah memberi cabaran kepada seluruh umat manusia dan jin untuk meneroka alam angkasa raya.

Firman Alah (maksud):
"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus(melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Kamu tidak akan mampu menembusnya kecuali dengan kekuatan (dari Allah)."-(ar-Rahman:33).

Kemampuan tersebut hendaklah DENGAN KEKUATAN (bisultaan). Kekuatan di sini merangkumi banyak unsur. Unsur kemampuan dari segi ilmu pengetahuan, ekonomi, politik dan sebagainya. Dari segi ilmu kita masih bergantung kepada kepakaran saintis non-muslim. Walhal, saintis Islam sudah pun mempelopori bidang ini sejak ratusan tahun yang lalu. Dari segi ekonomi sebenarnya negara umat Islam tidak ada masalah. Kekayaan hasil bumi dan sumber galian banyak terdapat di tanah-tanah mlik uma Islam sedunia. Dari segi politik, suara umat Islam masih lemah. OIC tidak mampu mengaum di persada dunia. Wilayah-wilayah Islam masih lagi bertelagah sesama sendiri. Tiga unsur ini antara faktor penting dalam usaha kita umat Islam menerokai angkasa raya ini. Nampaknya, 2 daripada 3 faktor ini masih belum mampu kita umat Islam kuasai. Penerokaan ini sebenarnya amat penting kerana di luar bumi kita ini terlalu banyak rahsia-rahsia kekuasaan Allah yang perlu kita kaji dan selidiki bagi memantapkan lagi keimanan kita di samping ia memberi manfaat lain untuk kita mentadbir alam ini, sesuai dengan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Nampaknya, Barat terlebih dahulu menyahut cabaran Allah ini, dan mereka telah pun membuktikan kejayaan tersebut. Kita, umat Islam hanya menumpang rasa kesyukuran dengan pengislaman angkasawan Amerika Syarikat Neil Amstrong sekembalinya beliau menjejakkan kakinya di bulan pada tahun 1969. Sekurang-kurangnya, bolehlah kita anggap beliaulah angkasawan Islam pertama(Akibatnya ada usaha pihak yang menafikan pendaratan manusia ke bulan itu, lantaran Neil Amstrong telah memeluk Islam. Apakah motif tindakan mereka itu?).

Kini, sudah sampai masanya juga untuk umat Islam mengorak langkah untuk menguasai bidang ini. Pugarkan ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Quran yang membincangkan bidang ini. Sudah sampai masanya juga kita menyampaikan dakwah Islam itu di angkasa sana! (tanpa mengabaikan dakwah di muka bumi).


ketak ketik ketuk : tegurlah andai ada terkhilaf bicara dan penyampaian.

Selasa, 20 April 2010

UMUM: ILMU YANG DIPENGGAL-PENGGALKAN

Tamadun Barat yang bangkit selepas kejatuhan Tamadun Islam sebenarnya banyak menceduk keilmuan Islam dalam pembinaan tamadun mereka. Namun, dek kerana kecewa dengan sikap agamawan mereka yang banyak berselisihan dengan konsep ilmu sains yang mereka pelajari membawa kepada protes golongan ilmuan sehingga mengambil sikap memisahkan agama dengan hal-hal keduniaan. Kesannya lahirlah fahaman sekular yang terus berkembang menguasai pemikiran umat manusia di dunia ini sama ada di sebelah barat, timur, utara, atau selatan. Ilmu pula dipenggal-penggalkan menjadilah tiada kesepaduan antara satu ilmu dengan satu ilmua yang lain. Keadaan ini terus merebak ke dalam dunia Islam kesan daripada penjajahan kuasa Barat. Maka lahirlah golongan agamawan yang hanya menguasai ilmu agama untuk akhirat, dan golongan ilmuan/akademik yang hanya menguasai ilmu-ilmu dunia.

Berbanding dengan ilmuan Islam suatu ketika dahulu, gelaran ulama bukan hanya kerana mereka mempunyai serban besar dan mengusung kitab-kitab fiqh semata-mata sebaliknya ilmu al-Quran dan hadis sudah sebati di dalam dada dan akal mereka, manakala tangan-tangan mereka mengusung kitab-kitab perubatan, geografi, pelayaran, pengiraan dan sebagainya. Sebagai contoh ilmuan seperti Ibnu Sina dan al-Khawarizmi sudah pun dipersiapkan dengan asas ilmu al-Quran. Mereka telah hafaz al-Quran sejak umur 7 dan 10 tahun. Kemudian diperlengkapkan dengan ilmu tafsir, fikah dan bahasa. Maka, tidak hairanlah teori atau ilmu yang mereka hasilkan selari dengan kehendak al-Quran dan hadis. Tidak timbul percanggahan kedua-duanya. Wujudnya kesepaduan ilmu.

Namun, hari ini berlaku pertembungan golongan agamawan yang kurang arif dalam sesuatu bidang sains dengan golongan ilmuan/saintis yang tidak arif dalam hukum hakam agama. Ini kerana kesan pendidikan di negara-negara Islam yang terbawa-bawa dengan fahaman sekular yang memenggal-menggalkan bidang ilmu itu. Sistem inilah menjadikan umat Islam semakin meminggirkan al-Quran sebagai kitab induk bagi segala ilmu.

Namun, kita optimis keadaan ini bakal berubah. Kini kesedaran untuk kembali kepada pembelajaran al-Quran semakin rancak dijalankan. Al-Quran bukan sahaja dipelajari untuk mengetahui hukum-hukum tajwid, bukan sekadar untuk mengetahui tentang asbab nuzulnya, bukan sekadar untuk mengorek hukum sah batal, tetapi lebih daripada itu yang merangkumi hal-hal akhirat dan juga dunia sekaligusnya. Perkembangan ini kini kian melanda dalam dunia Islam seluruhnya, walaupun terpaksa bergelut dengan aliran-aliran sekular yang sudah menampakkan akan tanda-tanda kejatuhannya. Cukuplah Tamadun Barat yang banyak membawa kerosakkan kepada sistem kehidupan umat Islam menguasai dunia selama lebih kurang 4 abad lamanya. Kini, kebangkitan ilmuan Islam cukup kita rasainya kini. Kebangkitan yang berlaku secara senyap dan dipelihara oleh Allah, sehingga Barat (musuh-musuh Islam) tidak menyedari proses tersebut.

SIRI 3 : SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal : Hmm...kali ini saya nak tamatkan cerpen ini hari ini. Bukan apa, tak ada idea nak buka entri baru. Minda ini masih beku lagi diasak oleh hal-hal tugas yang tak habis-habis. Semalam kena hadiri 1 taklimat dan 1 mesyuarat , bersambung-sambung. Lepas mesyuarat nak fikir lagi tindakkan yang perlu dibuat selepas mesyuarat nak digunakan pada hari Sabtu ini. Apa-apa pun, saya harap kalian tidak jemu untuk bertandang ke blog saya. Jadi, untuk hari ini, ini saja menu yang nak saya hidangkan buat kalian semua. Harap sudi menghadamkannya dalam kotak mindahati kalian.

**********************************

Srettt!, bunyi seretan tayar kereta yang dibrek dengan agak kasar. Muntadar memakirkan keretanya di ruang letak kereta yang agak jauh sedikit dari pintu masuk hotel. Kawasan letak kereta telah pun dipenuhi oleh kereta para tetamu hotel. Nasib baik kami keluar awal. Jika tidak, mungkin banyak masa terbuang untuk mencari tempat letak kereta. Kawalan keselamatan memang ketat sekali. Skuad pemusnah bom juga turut berlegar-legar di luar hotel, khususnya di kawasan letak kereta dengan alat pengesan bom. Aku dan Muntadar terus melangkah menuju ke bahagian pintu masuk hotel.

Kawalan di pintu utama juga ketat. Setiap pengunjung yang melaluinya akan diimbas dengan alat pengimbas senjata. Aku dan Muntadar tidak terlepas daripada pemeriksaan itu walaupun Muntadar telah menunjukkan pas wartawannya kepada pengawal di situ. Wajah bengis dan renungan tajam mata pengawal yang bertugas penuh dengan perasaan curiga. Mungkin mereka sudah dilatih begitu; sentiasa bersikap curiga kepada sesiapa sahaja asalkan keselamatan Sang Presiden terjamin.

Ruang bilik sidang akhbar cukup dingin. Semua kerusi yang disediakan untuk para wartawan dari pelbagai agensi sudah pun dipenuhi. Aku dan Muntadar duduk di kerusi barisan ketiga. Maka jarakku dengan rostrum tempat Sang Presiden berucap nanti tidaklah begitu jauh. Ini akan memudahkan misiku nanti.

Sepanjang waktu menunggu ketibaan masuk Sang Presiden, aku hanya banyak mendiamkan diri. Begitu juga dengan Muntadar. Aku melihat dia memejamkan mata seperti orang bertafakur. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat suci al-Quran.

Tatkala Sang Presiden diumumkan masuk ke bilik sidang akhbar tersebut, hatiku tiba-tiba berdebar-debar. Ah, mengapa pula perasaan gemuruhku tiba-tiba menyelinap masuk ke hati. Aku cuba kuatkan semangat. Aku tidak mahu perasaan gemuruhku akan menggagalkan misi yang sudah lama aku rancangkan. Aku memperbanyakkan zikir bagi meredakan rasa gemuruhku. Mungkin itu juga yang telah dibuat oleh Muntadar tadi. Kini aku lihat dirinya sudah cukup bersedia.

"Ini merupakan lawatan perpisahan saya ke negara anda sebelum saya bersara daripada jawatan saya sekarang tidak berapa lama lagi. Namun begitu, saya berjanji segala permasalahan yang melanda negara anda akan saya cuba selesaikan dalam sedikit masa lagi. Untuk itu, saya masih optimis untuk mengekalkan tentera negara saya di nagara anda bagi memastikan keamanan benar-benar dapat dipulihkan." Sang Presiden memulakan siri ucapannya.

Aku semakin gelisah. Darah dendam dan amarahku semakin membakar pembuluh darahku. Aku melihat wajah Sang Presiden seolah-olah bertukar menjadi seekor drakula yang menyeringaikan taringnya dengan mulut dipenuhi darah rakyat negara kami. Belum pun sempat Sang Presiden meneruskan ucapannya, tiba-tiba terdengar suara jeritan memaki Sang Presiden.

"Nah, ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!" jerit suara tersebut. Serentak dengan itu aku bangun dan melayangkan tendengan kaki kananku ke arah Sang Presiden. Namun sempat dielakkannya.

"Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq," jerit suara itu lagi. Kali ini aku bangkit melayangkan tendangan kaki kiriku ke wajah Sang Presiden. Sekali lagi sempat dielakkannya.

"Sialan, tidak mengena!" getus hatiku.

Badanku terhentak pada dinding di belakang Sang Presiden. Serentak itu juga suasana dalam bilik itu menjadi gempar. Aku melihat sahabatku, Muntadar telah rebah dan ditindih oleh beberapa orang pengawal peribadi Sang Presiden. Kedua-dua tangannya telah digari dengan pantas sekali. Pada masa yang sama seorang lelaki dengan sut hitamnya menghampiri diriku. Badanku diangkatnya dengan sangat kasar. ku sudah tidak mampu melawan lagi.

"Cepat, sumbatkan ia ke dalam kereta sebagai bahan bukti!" suara tegasnya mengarahkan seorang pengawal keselamatan yang menyambt badanku dari tangannya. Ak terus dibawa keluar dan disumbatkan di kerusi belakang kereta polis. Di sebelahku, Muntadar duduk dengan tersenyum puas.

Ya, seperti yang telah aku nyatakan bahawa aku hanyalah rakyat kerdil yang idak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. Namun pada hari ini aku berasa cukup puas. Misiku sudah tercapai. Aku sudah menjalankan tugasku sebagai seorang warga yang berjuang untuk membela maruah negaraku. Walaupun aku tidak tidak membunuhnya, namun memadai jika aku sudah mengaibkannya di mata dunia. Itulah yang termampu aku lakukan sebagai sepasang kasut bersaiz 10!

TAMAT

Isnin, 19 April 2010

SELAMATKAN IMAN : PENCEMARAN MATA

Dunia benar-benar sudah dipenuhi dengan pelbagai pencemaran. Pencemaran air, udara, tanah dan pencemaran bunyi. Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sibuk dengan kempen-kempen untuk menyelamatkan bumi daripada musnah akibat pencemaran. Pemimpin-pemimpin dunia pula saban tahun bersidang di serata ceruk negara bagi membincangkan perkara yang sama. Warga dunia berbelanja berbilion-bilion ringgit untuk mengadakan kempen dan persidangan bagi mengatasi pencemaran bumi.

Namun, kita telalu sibuk dalam hal-hal mengatasi pencemaran seumpama itu. Namun kita lupa tentang satu lagi pencemaran yang bisa membinasakan iman kita. Ya, pencemaran mata oleh aksi pendedahan aurat yang dilakukan tanpa segan silu di merata-rata ceruk dunia (dunia nyata. dunia maya, dunia media massa dan sebagainya lagi) sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Perkara ini benar-benar menggugah keimanan kita.

Sedarkah kita, bahawa pencemaran ini juga boleh mengundang kemusnahan bumi dengan bala dan musibah yang diturunkan oleh Allah jika maksiat ini semakin berleluasa tanpa disekat dan dibendung. Ya Allah, selamatkanlah kami dari bencana pencemaran ini.

Firman Allah (maksud):

"Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya..." (an-Nur:30-31)

Ahad, 18 April 2010

KONGSI RASA: MEMASAK SEBAGAI TERAPI JIWA.

"Ina, mari makan mee sedap yang ayah masak ni," saya memanggil anak keempat saya yang berusia 7 tahun.
"Hmm, ingatkan ayam masak merah tadi," dia menyambut juga pinggan mee yang saya hulurkan.
"Kenapa, nak makan ayam masak merah ke?" tanya saya inginkan kepastian.
Dia mengangguk.
"Sedap ke ayam masak merah yang ayah masak kelmarin?" saya menyoal dia lagi.
"Sedappp.."dia menjawab. Isteri saya yang duduk di sebelah sekadar tersenyum.
"Nanti, tengah hari ayah masak ayam masak merah," saya berjanji dengannya.
Tengah hari itu saya tunaikan harapan anak saya tersebut. Kali ini saya beli bahagian kepak ayam. Sampai di rumah, terus saya 'kreatif'kan kepak ayam itu. Lebih kurang setengah jam, kepak ayam masak merah siap untuk diratah. Hmm..puas hati tengok anak- anak berselera makan. Tak sia-sia bakat memasak ayah mereka untuk memenuhi kehendak selera mereka.

Sebenarnya saya ni minat memasak. Memasak bagi saya bagaikan suatu terapi jiwa. Er, bagaimana pandangan kalian di luar sana, adakah kalian merasai seperti mana yang saya rasai ini juga. Memasak suatu bentuk terapi jiwa?

Umum: SEGALA-GALANYA PUTIH

Pagi Ahad ini saya nak ajak diri saya dan kalian semua untuk berfikir sejenak. Fikir tentang apa? Mudah sahaja. Kita fikir tentang warna. Nak mengajar pendidikan Seni Visualkah? Tidak. Cuma nak ajak berfikir. Tak lama, sekejap sahaja.

Baik, cuba kita bayangkan tatkala kita bangun tidur selepas puas diulit mimpi indah sepanjang malam, tiba-tiba sebaik sahaja kita membuka kelopak mata kita dapati segala-galanya putih. Kiri kanan depan belakang atas bawah semuanyaDinding rumah putih. Bantal tilam putih. Almari putih. Semuanya putih.

Buka tingkap, tengok di luar lagi terkejut. Semuanya putih. Rumput putih. Pokok dan tanah putih. Awan yang sedia putih, putih. Langit putih, putih segala-galanya . Tak ada warna lain. Cuma satu warna sahaja, PUTIH! Eh, kulitsendiri pun putih melepak. Rambut putih. Mata putih. Anak mata putih. Pendek kata semuanya putih. Rabun warnakah aku? Tidak.Tidak.

Nah, Allah telah cabutkan semua warna dalam kehidupan kita, kecuali putih. Bayangkan. Apabila malam pula, semuanya putih . Tidak gelap hitam.Apabila luka pula,darah putih mengalir. Yang lucunya, kedai cat pun cuma jual cat putih sahaja. Bayangkanlah, apa nak jadi pada kehidupan kita. Kita akan rasa bosan. Tak berseri. Tak ceria. Tak indah. Tak menarik.

Ketika itulah kita sedar bahawa WARNA PUN MERUPAKAN NIKMAT Allah jua kepada kehidupan di alam ini. Namun kita tidak pernah fikirkan itu semua. Ini kerana mata sudah dikelabui oleh warna warni nikmat dunia yang melekakan, dan hati pula sudah dipenuhi titik-titik hitam dosa yang kita lakukan. Nak bagi jernih hati dan pandangan mata, kenalah banyak beristighfar.

SIASAH: PENAMAAN CALON PARLIMEN HULU SELANGOR

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah berjalan lancar siang tadi (17 April 2010). Insya Allah, pilihan raya kecil tersebut menyaksikan pertandingan antara 4 penjuru. Calon-calon yang bertanding adalah seperti berikut;

1. P. Kamalanathan - MIC/BN
2. Zaid Ibrahim - PKR/PR
3. VS Chandran - Bebas
4. Johan Mohd Diah - Bebas

Apa yang kita harapkan agar kempen-kempen pilihan raya dijalankan dengan penuh berhemah. Demokrasi dihormati dan dijalankan secara adil dan saksama. Gunakan akal yang waras dalam memilih calon. Saya percaya pengundi di Parlimen Hulu Selangor mampu menilai dengan baik pilihan mereka pada 25 April nanti. Ingat, calon itu di hati, pilihan di akal, tindakkan di hujung jari, impaknya nantiakan dirasai seluruh badan.

"Tajam keris raja, tajam lagi pensil pengundi!"

SUSASTERA BULAN INI: WARKAH DARI GAZA

Sepucuk warkah kuterima
dari bumi Gaza
aksaranya ditulis dengan darah syuhada
isinya ringkas;
"Saudara, usah kalian tangisi kami dengan air mata
kerana kami di sini sudah kaya dengan air mata
kalau mampu, dermakan kami darah kalian jenis jihad
kerana kami amat perlu bagi menampung
kekurangan darah syuhada."

Jiwa tersentak
bagaimana hendak kukirimkan
darah ini sudah tercemar
dengan virus waham
aku benar-benar tidak mampu
oh, aku hanya mampu menangis jua!

Sabtu, 17 April 2010

SIRI 2 : SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal : Hmm..., malam ni saya nak sambung semula cerpen yang lalu. Harap rakan-rakan blogger sudi mengikuti cerita seterusnya.

***********************

Sejak itu juga aku sentiasa memanjatkan doa agar Tuhan memberi peluang untuk aku bertemu dengan Sang Presiden. Biar nanti aku robek-robek wajah keangkuhannya itu. Biar aku aibkannya dengan memijak-mijak mukanya seperti mana maruah negaraku diinjak-injak oleh derap kasut dua ratus ribu askar negara Angkuh Seratuspersen dan sekutunya. Hanya itulah harapanku sebagai rakyat kerdil yang tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat.

"Tungu, suatu masa nanti aku akan membalas dendam kepada kamu Sang Presiden!" Aku pernah terdengar monolog itu dari mulut teman serumahku, Muntadar. Nampaknya, dendamnya sama seperti aku. Cuma aku tidak meluahkan kepadanya apa yang terbuku dalam hatiku.

Muntadar al-Zaidi, seorang teman yang bertubuh tegap berusia lewat 20-an. Dia seorang yang sangat dedikasi dengan tugasnya sebagai wartawan televisyen Al-Baghdadia. Kami bertugas di stesen TV yang sama. Kami memang tidak boleh dipisahkan dalam menjalankan tugas mencari bahan berita. Setiap kali berlaku tragedi ledakan bom di mana-mana sudut dalam negaraku ini, pasti kami berdua berkejar ke tempat kejadian. Merakam setiap inci kemusnahan dan melaporkan setiap nyawa yang melayang.

Pernah berlaku ledakan bom di kawasan pasar tani dua bulan lepas yang telah mengorbankan ratusan nyawa. Aku yang tiba di tempat kejadiaan hanya mampu menahan sebak tatkala melihat kemusnahan yang berlaku. Darah hanyir menyimbah di atas jalan raya. Mayat-mayat bergelimpangan. Ada yang telah hancur berkecai. Cebisan daging yang terbakar dapat dilihat di merata-rata tempat. Malah ada yang melekat pada dinding-dinding bangunan yang berhampiran. Keadaannya sangat mengerikan. Aku sendiri hampir-hampir hendak muntah, namun dapat kukawalkan.

"Ah, betapa dahsyatnya keadaan negaraku sekarang. Semuanya kerana angkara onar Sang Presiden!" getus hatiku tatkala melihat kemusnahan itu. Muntadar pula asyik merakam dengan kameranya. Namun aku juga dapat melihat kekecewaan berbaur dendam pada wajahnya.

Acap kali kejadian letupan bom berlaku di kawasan awam, pasti puak pejuang yang tidak diiktiraf dituduh sebagai dalangnya. Kasihan, yang menjadi mangsanya kebanyakkannya adalah kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa. Apakah itu memang tindakan mereka yang mendakwa sebagai pejuang negara? Atau tidak mustahil juga ia dilakukan oleh kelicikan strategi pihak musuh itu sendiri agar mempunyai alasan untuk terus berada di negaraku berpanjangan dengan alasan menyempurnakan kempen antikeganasan mereka? Semuanya serba kemungkinan.

Pagi ini aku begitu gembira sekali. Aku meluahkan rasa syukurku kepada Tuhan kerana telah memperkenankan doaku selama ini. Hari ini, aku dan Muntadar berpeluang untuk berjumpa dengan Sang Presiden. Dua hari lepas sekeping kad jemputan telah diterima untuk menghadiri sidang akhbar dengan Sang Presiden di Hotel Baghdad. Aku tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Pucuk dicita ulam mendatang. Temanku, Muntadar juga kulihat tidak sabar-sabar untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.

"Hari ini Sang Presiden itu akan merasai penangan dariku!" bisiknya kepadaku sambil tersenyum mengusap-usap kepalaku. Aku hanya tersenyum mendengarnya. Aku juga mempunyai misi yang sama. Sengaja tidakku zahirkannya kepada Muntadar. Biarlah misiku ini satu rahsia. Hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Aku bimbang kalau-kalau misi ini terbongkar, maka segala perancanganku selama ini akan menjadi sia-sia.

Sekitar jam lapan pagi, aku dan Muntadar sudah pun bertolak dari rumah. Memandu sendiri menuju ke Hotel Baghdad. Aturcara sebenarnya bermla jam 10 pagi. Sengaja kami berdua keluar awal takut nanti lewat tiba dan diletakkan di kerusi paling belakang. Jika ini berlaku akan mencacatkan misi kami berdua.

Semalam, ketibaan Sang Presiden ke nagaraku telah mendapat liputan meluas oleh pihak media. Begitu angkuh kulihat Sang Presiden menuruni tangga pesawat Airforce One. Malah sebaik sahaja kasutnya mencecah tanah bumi anbia ini, hati dan jantungku terasa pedih dan ngilu. Sakit hati. Derap langkahnya seolah-olah memijak tulang belulang mangsa yang telah menjadi korban kekejaman dasar luarnya. Seperti biasa aku dan Muntadar merakam dan membuat liputan dari jarak yang agak jauh.

(bersambung lagi....)

P/s: nak tahu kesudahan seterusnya, kena tunggu dengan sabar pada hari-hari mendatang ini.

Jumaat, 16 April 2010

SIRI PENGURUSAN MASA 2 : SIBUK YANG BERMANFAAT

Catatan awal:Hmm... maaflah rakan 'bloggerwan' semua, kerana lambat nak 'update' entri-entri dalam blog ni. Minggu ini agak sibuk sikit. Sibuk nak uruskan hal-hal dunia ni (hehehe..). Yalah, tengah memantau pasukan yang nak dibawa 'berjihad' nanti. (esok mereka akan 'berjihad' di auditorium P.Ramlee, RTM Kuching), dalam masa yang sama juga, kawan minta tolong buat teks syarahan agama, sebab dia pun nak hantar budak dia 'berjihad' juga Selasa minggu depan.

********
Ya, sebut pasal sibuk-sibuk ni, saya cuma nak sambung saja slot pengurusan masa ni. Sekurang-kurangnya ada juga sentuhan 'update' blog ni. Tidaklah tetamu yang datang berziarah jemu dihidang dengan menu yang sama tak berubah-ubah. Betul tak?

Sibuk? selalu sahaja ungkapan itu membelit kehidupan kita. Macam-macam perkara yang membuat kita sibuk. Macam-macam agenda yang dipadatkan dalam pengisian masa seharian kita. Kerana itu ada pelbagai ragam dan gaya kita apabila mengurus masa seharian kita. Ada orang (aku) nampak kelam-kabut. Ada orang (aku) nampak serabai masanya. Ada orang (aku) terkejar sana terkejar sini, ada orang (aku) nampak tenang saja walaupun kerja banyak. Yang paling kerap kita rasa ialah sibuk. Sentiasa sibuk. 24 jam sibuk. Di rumah sibuk. Di pejabat sibuk, di jalan raya sibuk (dan sesak), di mana-mana kita rasa sibuk. Kesannya kita rasa letih dan terasa macam rugi saja. Usia yang singkat digunakan untuk sentiasa sibuk. Nampak rugikan?

Tapi jangan risau. Dah memang begitu sepatutnya kita melayan MASA itu. Perlu disibukkan. Sibukkan dengan perkara apa? Agenda apa? Ya, masa itu perlu disibukkan dengan kita sentiasa setiap saat dan detik sentiasa beriman kepada Allah. Kita sibukkan dengan amalan-amalan soleh. Boleh rehat ke? Sepatutnya tak boleh. Kena 24 jam sehari sepanjang usia kita beriman kepada Allah. Mana boleh rehat untuk beriman kepada Allah. Begitu juga dengan amal soleh. Tak boleh rehat. Nanti rugi pulak.

Hayati firman Allah (maksud):
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh da mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (surah al-'Asr: 1-3)

Maknanya, sibukkan diri kita dengan (saya sentuh dua perkara ni saja);
1. beriman kepada Allah. Yang ni 24 jam kita perlu memastikan ita sentiasa menjaga aqidah dan iman kita. Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang mengukuhkan iman kita. Sibukkan diri kita dengan mengelak perkara-perkara yang boleh menjejaskan iman kita sama ada dari segi perbuatan, pertuturan atau hati kita.

2. beramal soleh. Yang ini pun 24 jam kita pastikan setiap perbuatan harian yang kita lakukan itu menjadi suatu amal ibadah. Makan minum, tugasan kerjaya, berjalan, memandu, menonton, dan apa jua sesuatu yang harus sifatnya itu boleh menjadi amal soleh dan ibadah jika kita niatkan kerana Allah atau mengikuti sunnah-sunnah yang diajar oleh Rasulullah. Malah tidur pun boleh jadi ibadah jika dilakukan dengan cara yang betul mengikut syariat. Jadi, dengan cara ini sajalah kita akan merasakan setiap pekerjaan yang kita sibuk lakukan selama ini akan menjadi ibadah.

Jadi, lepas ni janganlah kita risau dengan kesibukkan kita. Sibuk itu akan menjadi manfaat jika betul niat kita. Jika ini dapat kita tanamkan dalam jiwa kita, kita akan rasa bahawa..."Oo..mudahnya nak buat amal soleh. Taklah rasa rugi apa yang aku buat sepanjang hari ini tadi." Yang penting kita tak akan rasa letih jika kesibukkan itu melanda dalam hidup kita kerana sibuk kita ada nilainya di sisi Allah.

ketak ketik ketuk: tegurlah saya jika ada kesilapan dalam memberi pandangan.

Ahad, 11 April 2010

SUSASTERA BULAN INI: SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal: Cerpen ini merupakan cerpen pertama saya yang baru hendak bertatih dalam dunia penulisan kreatif. Cerpen ini telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera kelolaan DBP Cawangan Sarawak di dalam akhbar Utusan Borneo. Saya paparkan di sini sekadar untuk berkongsi rasa dengan pengunjung blog ini. Mungkin di luar sana ada yang meminati bidang kesusasteraan sebegini.



Aku bukanlah seorang tokoh yang hebat. Bukan seorang usahawan minyak yang mempunyai harta berbilion-bilion ringgit. Bukan juga seorang artis yang popular dengan ramai pemuja suara dan wajahnya. Pun bukan juga seorang jagoan atlet yang telah mengharumkan nama negara dengan memecah rekod dunia sebagai pelari pecut terpantas. Walaupun adakalanya aku terpaksa berlari pantas menuju ke lokasi kejadian untuk mengutip sumber cerita. Malah, jauh sekali diriku jika hendak dibandingkan dengan Presiden Saddam Hussein, tokoh negarawan tanah airku yang telah tercabut nyawanya di tali gantung selepas mahkamah Agung Al-Maariqa menjatuhkan hukuman ke atasnya gara-gara kerana dia tidak memiliki senjata pemusnah besar-besaran seperti yang didakwa oleh Sang Presiden dari negara Angkuh Seratuspersen (AS).

Nah, aku hanyalah seorang rakyat kerdil yang hanya menyewa di kawasan perumahan sederhana di tengah Ibu Kota Seribu Satu Malam. Aku tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. Tiada sesiapa pun di kota ini yang mengenaliku. Malah, jiran sebelah rumah sewaanku itu pun tidak ingin mengenaliku walaupun acap kali kami bersua di laman dan senyuman kulemparkan kepadanya. Dia hanya sekadar membalas senyumanku. Untuk berbual memang jauh sekali dilakukan. Entahlah, mengapa hubungan kami tidak begitu mesra. Adakah kerana budaya kota memang begitu yang kaya dengan nilai keakuan. Atau mungkin aku masih baru menetap di situ. Baru enam bulan berpindah di situ belum cukup untuk menyelami hati budi para penghuninya di kawasan tersebut. Atau mungkin kerana aku seorang Sunni dan dia seorang Syiah?

Ah, aku terlalu banyak memikirkan soal yang negatif terhadap jiranku. Sewajarnya aku perlu menitik beratkan soal silaturahim dalam kalangan kami. Hubungan itulah yang kini sudah luntur dalam hati kami. Silaturahim yang telah membentuk semangat ukhwah dalam diri kami selama ini telah dirobek dan dibunuh dengan peluru hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba yang akhirnya menimbulkan perbalahan dalam kalangan kami. Kesannya, pihak musuh dengan mudahnya telah mengganyang negara kami sehingga maruah kami diinjak-injak dengan kasut keangkuhan mereka.

Dua ratus ribu derap kasut ketumbukan askar musuh telah memijak lumat maruah kami pada 20 Mac 2003. negara kami benar-benar telah menjadi korban dasar globalisasi memerangi pengganas, teroris dan militan oleh negara Angkuh Seratuspersen.

Seperti yang telah kunyatakan tadi, aku hanyalah rakyat kecil yang tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. namun aku cukup bangga kerana memiliki semangat patriotik yang tinggi terhadap negaraku. Semangat ini cukup menebal sejak enam tahun yang lalu setelah negaraku dilanyak lumat oleh puluhan ribu askar dari negara Angkuh Seratuspersen yang menjarah setiap inci bumi anbia ini atas arahan Sang Presidennya. Perang yang dilancarkan ke atas negaraku merupakan perang yang penuh dengan dendam di hati Sang Presiden. Dendam keturunan yang diwarisi daripada bapanya. Awal tahun 1990-an, buat pertama kalinya Sang bapak Presiden telah melancarkan serangan ke atas negaraku.

Dikerahkannya segala bala tentera dan bala sekutunya untuk menghancur lumat bumi anbia ini. Ketika itu, tiada siapa yang mahu menghulurkan bantuan kepada kami. Saudara-mara seagama pun telah lari malah ada yang sanggup bersekongkol membantu perikatan tentera bersekutu musuh. kasihan, kami umpama anak yatim berdepan dengan pihak musuh. Aku masih ingat lagi kata-kata daripada negarawan kami ketika itu semasa dia berucap pada perhimpunan raksasa saat-saat ratusan tab bom akan digugurkan ke atas negaraku.

"Kita tidak ada kawan pada masa ini, namun kita ada Allah untuk melindungi kita!" Itulah kata-katanya yang tidak mungkin aku lupakan. Kini negarawan itu sudah tiada lagi. Nyawanya telah tercabut di tali gantung. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya.

Serangan pertama kali itu gagal untuk menakluki negaraku. Ketetapan Pertubuhan Dunia telah mengarahkan agar peperangan itu ditamatkan. Namun, negaraku tetap menjadi mangsa sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Pertubuhan Dunia itu. Penderitaan demi penderitaan terpaksa kami tanggung. Penderitaan yang begitu panjang yang kami telah warisi kepada generasi baru anak-anak kami. penderitaan itu semakin parah tatkala sekali lagi pintu Kota Seribu Satu Malam dirempuh oleh segerombolan askar Barbarian dari negara bertamadun tinggi yang akhirnya membawa kemusnahan dan kejatuhan negara kami.

Tidak hairan generasi muda yang membesar dalam era kepayahan ini menaruh dendam kepada sesiapa sahaja yang menjadi punca kepada kehancuran negara kami. Mereka sanggup menggabungkan diri mereka dengan puak-puak pejuang yang tidak diiktiraf oleh kerajaan boneka negara kami untuk membebaskan tanah air dari terus menjadi neraka dunia.

Ah, masing-masing punya cara mereka sendiri. Yang kuat dan mempunyai kudrat akan mengusung senjata. Yang lebih berani akan mengikat seluruh badannya dengan untaian bom, meletupkan diri sehingga mengucar-ngacirkan suasana.

Aku? seperti yang telah kunyatakan tadi, bahawa aku tidak punya kudrat seperti itu. Namun aku punya cara aku sendiri untuk membela maruah bangsa dan negaraku. Walaupun caranya berbeza, namun matlamat kami sama iaitu membela maruah negara kami yang telah diinjak-injak oleh derap kasut dua ratus ribu kasut askar negara Angkuh Seratuspersen dan sekutunya.

(bersambung....)

Insya Allah, sambungan cerpen ini boleh diikuti pada hari-hari mendatang pada bulan ini.

Sabtu, 10 April 2010

Umum: DOA BUATMU

Saya tahu di luar sana ramai kalangan 'bloggerwan' yang berstatus pelajar. Saya tahu juga sekarang ini kalian tengah rancak menekuni nota-nota kuliah. Menghadami kata-kata pensyarah, guru dan mahaguru (manalah tahu kalau-kalau ada bloggerwan yang sedang bertapa di gua-gua dengan membawa laptop masing-masing). Menghafal formula, teori dan rumusan. Memerah otak dan fikiran bagi menaakuli setiap ilmu yang telah dipelajari. Ya, sekarang kalian bimbang, risau dan resah. Desah nafas kerisauan kalian cukup terasa. Kalian bakal berdepan dengan ujian dan peperiksaan semester. Saya cukup memahami situasi kalian kerana saya dulu pun pernah mengalaminya.
Entri ini hanya ringkas sahaja. Buat para bloggerwan yang bergelar pelajar, saya titipkan doa ini lewat sesawang maya ini untuk kalian baca dan hafal. Mudah-mudahan kalian beroleh kejayaan yang diberkati. Doanya ringkas sahaja. Mudah untuk dihafal.


"رب زدنى علما"

Rabbi zidnii 'ilmaa
"Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku."
(Taha:114)

Okey, semoga kalian sukses selalu.


Rabu, 7 April 2010

ISU: BUANG BAYI APA TINDAKKAN KITA?

Sejak kebelakangan ini, masyarakat kita telah digemparkan dengan isu pembuangan bayi. Badan yang masih bertali pusat, wajah comel yang dihurung semut, malah cebisan anggota yang digonggong anjing antara paparan yang digambarkan oleh pihak media tentang nasib yang menimpa bayi-bayi yang dibuang (baca dibunuh) oleh manusia yang berhati binatang. Ada juga yang dibuang kemudian dibakar dalam cubaan menghapuskan bahan bukti. Malah ada yang hancur digilis oleh lori sampah apabila bayi itu dibuang di kawasan pembuangan sampah. Adakah begitu murah nilai si kecil semurah sampah yang dibuang? Apa yang ada dalam fikiran dan hati sipelaku tersebut tatkala melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Isu pembuangan bayi ini bukanlah suatu yang baru berlaku di negara kita. Awal tahun 1990-an dulu pun kes ini pernah menggemparkan masyarakat kita. Bayangkan, jika bayi yang dibunuh dan dibuang ketika itu ditakdirkan hidup hingga sekarang, usianya sudah pun menjangkau 19 atau 20 tahun. Sudah cukup dewasa menjadi aset negara yang berpotensi dalam membangunkan negara.

Namun jika kita soroti dalam sejarah dan ketamadunan manusia, isu-isu 'pembuangan' atau pembunuhan bayi-bayi ini sudah pun berlaku sejak sebelum masehi lagi. Ada dua era yang dicatatkan dalam al-Quran tentang nasib malang yang menimpa para bayi ini. Pertama, pada era kegemilangan tamadun piramid di Mesir, iaitu semasa pemerintahan Firaun pada masa kelahiran nabi Musa a.s. Kerana terlalu percaya dengan ramalan ahli sihir yang mengatakan akan lahir seorang bayi lelaki yang bakal menggoncang kerajaan Firaun apabila ia dewasa nanti, menyebabkan Firaun bertindak kejam ke atas bayi-bayi lelaki yang dilahirkan oleh wanita-wanita daripada kalangan kaum bani Israel di Mesir. Digambarkan seramai 12 ribu bayi-bayi yang telah dilahirkan telah dibunuh oleh askar-askar Firaun atas perintah Firaun.

Firman Allah (maksud):

"Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu dari (Firaun) dan pengikut-pengikutnya; mereka menimpakan kepadamu siksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelih anakmu yang lelaki dan membiarkan hidup anakmu yang perempuan. Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu."
(al-Baqarah : 49)

Bayangkan bagaimana tragisnya kematian para bayi lelaki dalam kalangan bani Israel ketika itu. Mereka telah disembelih. Disembelih seperti apa? Seperti ayam? itik? kerbau?lembu? atau unta? Wallahu 'alam. Yang pasti para bayi ini dibunuh dengan kejam sekali, semata-mata ingin menjaga dan mengekalkan status quo politik Firaun agar tiada seorangpun berani mencabarnya nanti. Itulah yang digambarkan dalam al-Quran tentang sejarah kes pembunuhan bayi.

Kedua, pada zaman masyarakat Arab Jahiliah (sekitar abad ke-7 Masehi). Kali ini, golongan bayi perempuan pula yang menjadi mangsa kekejaman manusia dewasa. Gambaran ini telah direkodkan dalam al-Quran dengan firman Allah (maksud);

"Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang banyak disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu."
(an-Nahl: 58-59)

Bayangkan betapa malangnya nasib bayi perempuan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliah ketika itu. Mereka telah dikuburkan hidup-hidup. Dikuburkan seperti apa? seperti bangkai kambing? biri-biri??Lembu? atau unta? Wallahu 'alam. Yang pasti bayi-bayi perempuan ini telah menempuh zaman tragis mereka ketika itu. Dibunuh dengan kejam demi menjaga maruah diri, kerana malu memiliki anak perempuan.

Namun, pada era ketinggian tamadun manusia moden hari ini yang mampu menggapai angkasa raya, nasib malang para bayi ini bertambah tragis. Bukan sahaja bayi lelaki, malah bayi perempuan pun menjadi mangsa kekejaman manusia berhati iblis, bernafsu haiwan dan berfikiran jahil ini. Kita kata seorang Firaun yang gah di atas tahtanya begitu kejam membunuh para bayi ini, namun seorang manusia yang hanya seorang pelayan kedai makan (merujuk kes yang telah dilaporkan) pun sanggup bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan ini. Kita kata seorang bangsawan dalam kalangan kabilah Arab zaman jahiliah itu kejam membunuh zuriatnya sendiri, namun seorang manusia yang berpendidikan tingggi (juga merujuk kes yang telah dilaporkan) pun sanggup bertindak kejam membunuh benih zuriatnya sendiri!

Mengapa ini berlaku dalam masyarakat kita hari ini? (kes seperti ini bukan sahaja berlaku di negara kita malah bersifat global sebenarnya). Adakah kita tidak cerdik? adakah kita tidak kaya? Adakah kita tidak maju? Adakah kita tidak hebat? Ya, kita hanya cerdik di akal, tapi jahil di hati. Ya, kita kaya pada harta, tapi miskin iman. Ya kita maju fizikal, tapi mundur rohani. Ya kita hebat mengejar duniawi, tetapi lemah mengejar ukhrawi. Tamadun kita mampu menggapai jauh tinggi ke angkasa raya, namun belum mampu menyentuh hati dan jiwa nurani kita yang serendah di bumi ini.

Kebanyakkan kes kelahiran bayi yang dibuang dan dibunuh ini adalah hasil daripada hubungan sebelum ikatan perkahwinan. Dengan erti yang mudah, hasil hubungan zina! Nah, inilah padahnya apabila masyarakat kita mengabaikan peringatan yang telah Allah berikan sejak awal-awal lagi. Firman Allah (maksud);

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk."
(al-Isra': 32)

Dalam ayat ini Allah tak kata "Jangalah kamu berzina", sebaliknya Allah kata "Janganlah kamu MENGHAMPIRI zina," Maknanya, betapa buruknya kesan apabila berzina ini, menyebabkan langkah-langkah awal telah diperintah kepada manusia agar tidak terdedah dengan unsur-unsur yang membawa kepada berlakukan zina. Segala unsur atau ruang yang boleh membawa kepada zina atau seks haram ini perlu disekat awal-awal. Program yang menggalakkan pergaulan bebas perlu dibasmikan. Fesyen-fesyen pakaian yang menyumbang kepada keghairahan nafsu syahwat perlu dihapuskan. Rancangan-rancangan berunsur seks atau berbau seks dalam media-media elektronik perlu disekat. Bahan-bahan bacaan yang berbau porno dan pornografi juga perlu disekat. Pendek kata, apa jua jalan-jalan yang membawa kepada gejala seks ini perlu disekat. Perlu dibuat roadblock. Perlu ditutup dan disilkan. Begitulah kalau kita benar-benar serius dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Dalam pada masa yang sama, perbanyakkan programn-program yang menjurus kepada amalan hidup sihat, amalan yang bersyariat, amalan yang tunduk kepada perintah Allah.

Bayangkan betapa ngerinya nasib sipembunuh bayi itu nanti tatkala tiba hari kebangkitan nanti.
Firman Allah; (maksud);

"Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh,"
(at-Takwir: 8-9)

Adakah persoalan itu hanya berlegar kepada sipembunuh bayi itu sahaja. Bagaimana pula dengan diri kita? Adakah kita sudah berusaha dalam menyediakan langkah-langkah bagi membasmi gejala membuang bayi ini. Adakah kita sudah menutup ruang-ruang yang boleh membawa seseorang itu lemas dalam tuntutan nafsu seksnya?Sudahkah? Malang, kalau kita pula salah seorang yang membuka ruang-ruang tersebut. Na'uzubillah!


ketak ketik ketuk: ini sekadar pandangan saya sahaja yang lemah ilmu. Mungkin di luar sana ada lagi pandangan yang lebih bernas yang boleh dikongsi bersama.

Isnin, 5 April 2010

Umum: 2012 DUNIA KIAMAT?

Sudahkah anda menonton filem ini?




Filem kesan sentuhan pengarah Roland Emmerich ini diadaptasikan daripada ramalan kitab lama puak Maya yang meramalkan bahawa tarikh dunia ini berakhir pada tahun 2012. Dengan erti kata lain kiamat berlaku pada tahun tersebut!Benarkah filem ini menggambarkan suasana kiamat yang akan berlaku pada tahun 2012? Atau benarkah ramalan kitab kaum Maya itu bahawa kiamat akan berlaku 2012?

Setelah menontonnya, saya tidak melihat pun suasana kiamat yang cuba digambarkan. Malah, dunia belum kiamat lagi, sebab masih ada lautan dan daratan. Cuma bahagian daratan telah banyak yang tenggelam oleh lautan. Sekali imbas, teringat kita kepada peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh suatu ketika dahulu hingga menenggelamkan golongan manusia yang ingkar dengan seruan Nabi Nuh a.s.

Firman Allah (maksud);

"Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang besertanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata-hatinya daripada melihat kebenaran.)"
(al-'Araf :64)

Sebagai muslim, menetapkan tarikh tepat berlakunya kiamat adalah suatu yang bersalahan dengan al-quran dan sunnah. Penonton muslim harus sedar bahawa sejak Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad, para nabi tidak pun diberi suatu tarikh yang tepat bilakah berlakunya kiamat. Cuma para nabi dikhabarkan dengan tanda-tanda yang membawa kepada dekatnya kiamat. Sedangkan tarikh sebenar kiamat adalah urusan Allah.


Firman Allah(maksud);

"Mereka bertanya kepadamu tentang kiamat,"Bilakah terjadinya?" Katakanlah, "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Rabb ku; tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba." Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui,"
(al-'Araf: 187)

Jadi, janganlah kita mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah sesat yang mengatakan kiamat akan berlaku 2012.

Saya menonton filem ini pun bukan kerana yakin kiamat berlaku pada 2012, tetapi sekadar ingin tahu apa unsur-unsur dalam filem ini hingga menjadi satu polemik dalam kalangan agamawan dengan golongan budayawan dan kesenian, khususnya orang-orang filem di seluruh dunia yang mengkritik penayangan filem ini. Setelah menonton, saya dapati ceritanya macam kelaziman filem-filem Holywood yang suka sangat memaparkan adegan kemusnahan besar-besaran. Seronok mereka memusnahkan bumi ini di skrin-skrin wayang, sama seperti keseronokkan mereka memusnahkan bumi ini di dunia nyata, (Tamadun Barat telah berjaya mencetuskan dua peperangan besar dunia iaitu Perang Dunia Pertama dan Kedua).

Mempercayai berlakunya kiamat merupakan kewajipan yang terkandung dalam rukun iman, namun mempercayai tarikh sebenar hari kiamat merupakan suatu kewajipan yang perlu kita tolak sekeras-kerasnya!

Nak tahu hampir atau tidaknya hari kiamat ni pada zaman kita ini, elok saya syorkan membaca buku di bawah.



Saya petikkan sedikit ungkapan kata yang tertulis dalam bahagian kata pengantar buku ini;

"...Tidak sempurna keimanan seorang mukmin yang mempercayai hari kiamat, hingga dia pun mengimani tanda-tanda kiamat tersebut. mengimani tanda-tanda kiamat termasuk bagian dari mengimani hari kiamat. Sebaliknya, mengingkari sebagian tanda-tanda kiamat bererti mengurangi kesempurnaan keimanan seseorang terhadap hari kiamat..."

Selamat membaca buku tersebut.


ketak ketik ketuk: Dulu masa kanak-kanak, ada orang kata kalau nak dengar ngauman api neraka, kena tutup kedua-dua lubang telinga dengan menekan anak telinga. Nanti kita boleh dengar dengungan api neraka. Saya buat, memang rasa gerun mendengarnya. Tapi, ah, mengarutlah petua tu...Jangan percaya!

Ahad, 4 April 2010

Umum: 2050 ISLAM TADBIR DUNIA?


Nah, membaca tajuk fokusnya sahaja mampu menyentuh nurani dan membakar semangat jiwa muslim untuk berusaha gigih dalam menggapai impian tersebut. Memetik intro yang dipaparkan dalam artikel fokusnya;

"Pada tahun 2008, seramai 50 juta Muslim berada di Eropah dan menjelang 2050, Eropah bakal bertukar menjadi benua Islam dan boleh menguasai keseluruhan komposisi penduduk dunia. Di Amerika Syarikat pula, dalam tempoh 30 tahun saja, 50 juta umat Islam dijangka menetap di negara itu."

(Nak lebih lanjut, sila baca Milenia Muslim keluaran April ini.)

Insya Allah, biarlah ia akan menjadi kenyataan.

Kita mengharapkan agar jumlah yang ramai umat Islam akan datang merupakan umat yang berkualiti, selepas melewati umat Islam yang ramai kini, namun umpama buih-buih di lautan. Cukuplah umat Islam kini diasak dan dipecahbelahkan. Usaha memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan dan kelemahan umat Islam sedang rancak dijalankan kini. Asakkan demi asakkan oleh musuh Islam kini rupanya membawa seribu hikmah kepada kebangkitan kali kedua Islam dalam menerajui dunia ini. Asakkan tersebut umpama angin yang meniup bara api. Semakin ditiup, semakin membara apinya, dan hanya menunggu masa untuk mencetus api yang marak. Bayangkan, jika tiada asakkan-asakkan tersebut, mungkin pejuang-pejuang Islam seluruh dunia akan terus leka dan alpa dibuai nikmat dunia.
Musuh-musuh Islam (terutama kuasa-kuasa Barat), menyangka bahawa dengan meniup bara tersebut ia akan padam umpama api pada sumbu pelita yang ditiup angin. Namun mereka silap. Yang mereka tiup bukannya api pada sumbu pelita, sebaliknya bara. Ya, BARA pejuangan dari puntung-puntung pejuangan umat Islam yang terdahulu. Puntung daripada perjuangan Nabi dan para sahabat. Puntung daripada perjuangan Salehuddin al-Ayubi. Puntung daripada perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh. Barat keliru, antara api sumbu pelita dengan bara dari puntung perjuangan.


يريدون ان يطفؤ انورالله بافو ههم وياءبى الله الا ان يتم نوره ولو كره الكفرون


"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)"
(at-Taubah: 32)


Insya Allah kemenangan itu kian hampir. Kebangkitan Islam bagaikan air bah yang melimpah yang tidak mampu dibendung dengan empangan tinggi. Kebangkitan yang membawa damai dan sejahtera kepada dunia, walaupun nanti ia terpaksa melewati onak dan duri. Darah dan air mata perjuangan sebagai minyak bagi menyemarakkan lagi bara perjuangan itu.

Persoalannya, di mana kedudukan kita dalam menjana kebangkitan itu? Adakah kita hanya sebagai pemerhati sahaja? Atau hanya tumpang menikmati hasilnya sahaja nanti? Atau menyumbangkan sedikit tenaga yang ada mengikut kemampuan kita. Kita bukanlah lasykar yang kuat menyandang senjata di medan peperangan. Kita hanyalah 'bloggerwan' yang hanya menyandang 'pena' untuk berjuang di medan tulisan. Ya, sebarkan keindahan Islam itu dengan titisan 'dakwat' perjuangan Islam. Biarlah keindahan Islam itu tersebar dan menjalar melalui jaringan atau sesawang maya ini menuju lubuk hati mereka yang dahagakan kebenaran Islam. Tidakkah kita mahu berkongsi saham dalam kebangkitan itu nanti, walaupun kita sudah tiada lagi?


ketak ketik ketuk: Insya Allah akan terus mengetik mesintaip selagi ada kudrat yang Allah beri.

SIRI PENGURUSAN MASA: 24 JAM SEHARI

Kita sudah sedia maklum bahawa masa itu sangat berharga dan penting. Allah telah mengurniakan setiap diri kita dengan 24 jam masa sehari. Tidak kira siapa diri kita. Semuanya memiliki masa 24 jam sehari. Tiada siapa yang dikurangkan walaupun sedetik, atau tiada siapa yang ditambahkan walaupun sedetik. Seorang bayi yang baru dilahirkan, Allah tetap berikan 24 sehari untuk dia melangsungkan kehidupannya. Seorang tua yang sudah nyanyuk pun, Allah beri 24 jam masa sehari. Seorang pengemis tetap Allah berikan 24 jam masa sehari. Seorang pemimpin, perdana menteri, presiden, atau sultan sekali pun Allah berikan 24 jam masa sehari.

Seorang ilmuan yang tinggi ilmunya pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Seorang pelajar yang masih terkial-kial mempelajari sesuatu ilmu pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Seorang pengurus syarikat yang berhempas pulas memerah otak untuk memajukan syarikatnya Allah berikan masa 24 jam sehari, begitu juga seorang kuli/pekerja yang berhempas pulas membanting tulang menjalankan tugasannya, Allah berikan 24 jam masa sehari.

Yang tinggal nun jauh di kutub utara/selatan dalam gubuk iglu pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Yang tinggal nun jauh terasing di dataran gurun panas dalam khemah kulit unta pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Yang tinggal nun jauh terperosok di hutan belantara dalam rumah ran dan gua pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Yang tinggal nun jauh tenggelam di dasar laut dalam kapal selam pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Yang tinggal nun jauh melangit di angkasa dalam soyuz pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Yang tinggal di mana-mana pun, dalam banglo mewah, istana besar, rumah teres, rumah setinggan, bawah jambatan, dalam kotak atau bawah pokok, Allah tetap berikan mereka masa 24 jam sehari.

Orang dulu pun Allah berikan masa 24 jam sehari. Orang sekarang pun Allah beri masa 24 jam sehari. Orang akan datang pun Allah beri masa 24 jam sehari. Nabi Adam a.s., Allah beri masa 24 jam sehari. Nabi Muhammad s.a.w. pun Allah beri masa 24 jam sehari. Firaun yang bangga dengan binaan piramidnya pun Allah beri 24 jam sehari. Abu Jahal pun Allah beri 24 jam sehari. Vasco Da Gama pun semasa dia belayar hingga terjumpanya Tanjung Pengharapan pun Allah beri 24 jam sehari. Ibnu Khaldun, Ibnu Bathutah, Marco Polo, Cheng Ho, Thomas Edison, Isacc Newton, Alexander The Great, Alexander Graham Bell, Sallehuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh, Shah Jehan, Pol Pot, Yamashita dan berjuta-juta lagi watak manusia dulu dan sekarang pun Allah beri masa 24 jam sehari.

Maknanya, tiada beza antara kita dari segi jumlah masa yang kita miliki. Tidak ada alasan untuk kita mencemburui masa orang lain. Masa kita sama banyak. Allah beri sama rata. Cuma adilkah kita dalam memanfaatkan masa itu dalam kehidupan kita? Itu persoalan besarnya. Sejauh mana kita adil dalam memanfaatkan masa kita? Apa tafsiran adil. Adil ialah meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Nah, sudahkah kita memanfaat masa itu dengan mengisinya dengan sesuatu yang sepatutnya dengan baik dalam kita melangsungkan kehidupan di dunia sementara ini?

Ya, Allah telah bersumpah dengan masa betapa penting dan berharganya masa dengan firmanNya;



بسم الله الرحمن الرحيم

والعصر

"Demi masa!"
(Surah al-Asr : 1)


والضحى

"Demi waktu dhuha!"
(Surah adh-Dhuha : 1)

واليل اذا يغشى

"Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap gelita)
(Surah al-Lail : 1)

والفجر
"Demi waktu fajar!"
(Surah al-Fajr : 1)


Betapa PENTINGnya masa itu. Betapa berharganya tempoh 24 jam sehari dalam kehidupan manusia. Betapa PERLUnya kita mengambil berat soal masa.

Cukuplah dengan pendedahan sedikit ini dulu untuk kita renungi bersama dalam usaha kita memanfaatkan masa kita. 24 jam sehari masa saya dengan 24 jam sehari masa anda tiada beza dari segi jumlah dan detik saatnya, namun ia tetap berbeza cara pengisiannya. Jadi, bersama-sama kita merancang masa kita hari ini dengan perancangan yang ada manfaatnya.



Jumaat, 2 April 2010

RENCAH KEHIDUPAN: ISU KARTIKA SELESAI.


(keratan akhbar Berita Harian 2 April 2010)

Isu pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan kepada Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, kini dianggap selesai selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menggantikan hukuman enam sebatan syarie ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak kepada menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu.
Kemelut pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika menjadi isu yang berpanjangan sedikit masa lalu apabila pelaksanaannya tidak dapat dijalankan ekoran tiada tukang sebat syarie di penjara. Pelik? Namun, kita cukup simpati dengan nasib yang menimpa Kartika. Sepanjang isu ini berlegar dalam masyarakat kita, kelihatan Kartika dan seluruh ahli keluarganya mengalami sedikit tekanan jiwa dan perasaan.
Saya cukup bangga dengan sikap Kartika yang ikhlas mengakui kesalahannya dan ikhlas menjalani hukuman sebat tersebut tanpa mahu membuat rayuan (walaupun ada sesetengah pihak meminta beliau berbuat demikian). Beliau bertindak sedemikian kerana berasa ingin bertaubat kepada Allah di atas tindakkan beliau yang melanggar larangan agama (meminum arak). Kini kemelut itu sudah selesai, dan kita berharap agar beliau dapat menjalankan kehidupan dengan lebih baik dan tenang selepas ini.


ketak ketik ketuk: Undang-undang Allah itu sungguh cantik jika dilaksanakan dengan betul.

PRO & KONTRA : KAHWIN TERLALU MUDA


(keratan akhbar Berita Harian 2 April 2010)


Hari ini saya nak mulakan ruangan pro dan kontra. Sebagai permulaan, saya pilih isu 'Kahwin Terlalu Muda'. Saya percaya, semua sudah membaca berita tentang kes adik Halimaton Abd. Rashid, 15 , dalam laporan kebanyakan akhbar arus perdana hari ini. Beliau yang dikatakan hilang sebenarnya berada di rumah teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, di Kampung Kisap. Khabarnya, beliau ingin berkahwin dengan teman lelakinya itu. Laporan akhbar hari ini mengatakan bahawa wujud persetujuan antara kedua belah pihak keluarga untuk mengahwinkan kedua-dua pasangan itu setelah urusan pentadbiran termasuklah kebenaran Mahkamah Syariah Baling diperoleh. Maknanya, jika ini berlaku, kedua-dua pasangan ini akan berkahwin dalam usia yang terlalu muda.

Tanpa menyentuh watak adik Halimaton dan teman lelakinya, secara umumnya, saya buka ruang perbincangan ini kepada para pengunjung blog untuk menyatakan pandangan masing-masing sama ada setuju atau tidak dengan konsep kahwin dalam usia terlalu muda (umur belasan tahun). Kalau setuju, apa kebaikannya, dan kalau tidak bersetuju apa pula keburukannya.


Ketak ketik ketuk: Hmm..untuk makluman, emak saya dulu kahwin dalam usia 13 tahun. Nampak okey saja. Anak-anak mampu membesar dengan baik...