SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Selasa, 25 Mei 2010

UMUM : GULA OH GULA

GULA DAH HABIS STOK!
GULA TAK ADA.
GULA TERHAD : SEORANG 1 KILOGRAM SAHAJA.


Itulah frasa-frasa yang banyak terdapat di kedai-kedai runcit mahupun di pasar raya-pasar raya yang kita jumpa dan baca. Fenomena ini berlaku sejak beberapa minggu ini. Keadaan yang sama juga yang pernah berlaku pada awal tahun ini tadi. Semuanya gara-gara kerana bekalan gula tidak mencukupi di pasaran sekarang. Banyak negeri di Malaysia mengalami masalah kekurangan bekalan gula, termasuklah negeri saya, Sarawak Darul Kenyalang. Keadaan ini merimaskan ramai rakan-rakan Iban yang hendak menyambut perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun ini. Ini kerana, gula sangat diperlukan untuk membuat kuih muih untuk perayaan itu nanti. Takkan nak hidang biskut kering dan roti bantal kepada tetamu nanti.



Kesannya, pengguna naik marah. Marah mereka kepada peniaga kerana gula tidak ada. Malah, kalau ada pun harganya sangat mahal. Di sesetengah tempat dikatakan dijual dengan harga RM 2.50 sekilogram! Ini menambahkan lagi perasaan marah pengguna kepada peniaga.
Sebagai rakyat pula, mula marahkan pihak pemerintah kerana masih tidak dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula di pasaran. Malah ada ketikanya marah kerana sebab harga gula khabarnya nak dinaikkan (berikutan ura-ura hendak menghapuskan subsidi gula). Maka dalam hal gula ini saja ada dua isu yang berjalan serentak, masalah kekurangan bekalan gula dan masalah ura-ura nak dihapuskan subsidi gula.



Satu hal lagi, ada pula sesetengah peniaga yang menyorok gula untuk tujuan menjualkannya dengan harga yang tinggi nanti sekiranya kerajaan tiba-tiba mengumumkan penghapusan subsidi gula. Malah ada yang tergamak pula mengeksport ( baca menyeludup) gula ke luar negara. Makin marahlah rakyat kerana wujudnya 'pengkhianat' ekonomi begini.
Begitulah penangan gula sejak akhir-akhir ini. Kemanisan wajah pengguna sudah hilang serinya. Senyuman pun sudah hilang dek kerana marah. Sabar. Kita percaya masalah ini hanyalah bersifat sementara waktu. Banyak kali sudah keadaan ini berlaku. Namun akhirnya keadaan panik sebegini kembali tenang semula. Buat macam biasa, tenang seolah-olah tiada sangat masalah ketiadaan gula ini.
Apa yang penting, kekalkan hubungan manis dalam kalangan kita. Maniskan wajah dengan senyuman. Bukankah nabi telah mengatakan bahawa senyuman itu merupakan sedekah. Maka, jangan 'disorok' gula pada senyuman kita dan jangan pula kita 'jual mahal' senyuman kita kepada saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Malah, sebagai suami jangan lokek untuk menghadiahkan senyum kepada isteri, begitu juga sebaliknya agar terpelihara kerukunan dan kemesraan dalam rumah tangga.
Hmm...garu kepala apabila melihat senyum isteri pada hujung bulan. Ada makna tu...hehehh.

Isnin, 24 Mei 2010

UMUM : 25 MEI HARI POLIS

SELAMAT HARI POLIS KE 203



Keamanan yang kita kecapi selama ini antara lainnya atas sebab jasa pihak polis yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan rakyat terjaga dan terpelihara. Walaupun sejak akhir-akhir ini beberapa isu negatif yang sedikit sebanyak memberi tekanan kepada bidang tugas anggota polis, namun itu bukan bermakna akan mematah semangat anggota keselamatan untuk terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih baik lagi. Semoga, seluruh anggota polis di negara ini terus menjalankan tugas dengan penuh hemah, tegas, dan beramanah demi menjaminkan keamanan dan keselamatan negara. Jasa kalian amat kami hargai.

************


SKETSA I : LAMPU DAN ANGIN


Suatu malam, seorang pemuda telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik kerana menunggang motosikal tanpa lampu.
"Kenapa tak pasang lampu?" tanya anggota polis tersebut. Wajah pemuda tersebut sudah pucat lesi. Dia tahu memang dia bersalah. Namun, dalam hatinya cuba hendak mencari helah.
"Er...cuba encik tengok, di sana lampu, di situ lampu, apa perlu lagi motosikal saya pasang lampu," kata pemuda itu sambil menunjukkan lampu-lampu jalan. Dia tersengih-sengih.
"Wah, loyar buruk budak ni," bisik hati anggota polis tersebut.
Tanpa berlengah lagi, anggota polis tersebut pun membuka angin tayar motosikal pemuda tersebut.
"Eh, encik, kenapa buang angin tayar motor saya?" tanya pemuda itu kehairanan.
"Kenapa? bukankah di sana ada angin, di sini ada angin dan di mana-mana ada angin, Kenapa perlu tayar motor awak ada angin lagi," jawab anggota polis itu. Pemuda tadi hanya mampu terdiam, terkebil-kebil matanya.




SKETSA II: TEKA TEKI.


Telah berlaku satu kemalangan jalan raya. Seorang lelaki tua telah mati akibat dilanggar sebuah kereta. Kereta yang melanggar pula telah cabut lari. Hanya seorang sahaja saksi yang melihat kejadian tersebut iaitu seorang lelaki India tua.
"Ane, ada nampak tak kereta yang melanggar orang tua ni?" tanya seorang anggota polis kepada lelaki India tersebut.
"Ada encik. Nombor plat pun saya ada nampak jugak," jawab lelaki India tersebut.
"Bagus, ingat nombor platnya," tanya polis itu lagi.
"Ingat encik. Satu lekat tiga, lapan tarak cukup. satu tarak dua pun tarak,"
"Laa...macam mana aku nak tulis ni," getus hati polis tersebut.

Okey, kalau kalian tahu, tolong beritahu polis tu apa nombor plat kereta tersebut dengan jelas...

Ahad, 23 Mei 2010

UMUM : BUNGA-BUNGA HARAPAN MENGORAK KELOPAKNYA



Kerajaan Teliti Lesen Pertaruhan Piala Dunia



Begitulah tajuk berita yang disiarkan di muka hadapan oleh akhbar arus perdana, Mingguan Malaysia hari ini. Walaupun tulisan tajuknya agak kecil berbanding tajuk nahas pesawat Air India Express yang mengorbankan seramai 159 penumpang, namun nilai beritanya bagi saya adalah lebih besar dan penting bagi harapan suara hati jutaan umat Islam di negara ini yang membantah tindakan kerajaan memberi semula lesen perjudian kepada Berjasa Group bagi mengurus pertaruhan judi bola sempena Piala Dunia 2010 pada Jun ini.


Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tersebut;

" Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam."


"Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi)."


Jika inilah kata-kata yang terpancul daripada mulut TPM tersebut, maka sekurang-kurangnya sudah menampakkan bunga-bunga harapan yang kian mengorak kelopaknya kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk melihat agar pemberian lesen judi bola tersebut dibatalkan. Malah kalau boleh kerajaan perlu membatalkan atau menghapuskan seluruh lesen judi di negara Malaysia Darul Islam ini.


Selami pula pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pencetus Islam Hadhari dan kini sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam malaysia (JAKIM) yang turut memberi ulasan dalam isu ini seperti mana yang disiarkan dalam akhbar tersebut juga,

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan."


"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam, agama lain tak suka juga,"


Harapan kita semoga pihak kerajaan perlu mempertimbangkan dengan akal yang cerdik dan hati yang jujur setiap bantahan yang telah dilaungkan oleh suara-suara hati orang beriman di negara ini. Membantah bukan bermakna membenci kerajaan atau anti kerajaan. Sebaliknya untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan agar tindakkan dan keputusan pihak kerajaan dapat dipandu ke arah jalan yang lurus. Jalan yang lancar tanpa ada simpang siur yang boleh memeningkan kepala dan boleh membawa kepada sesat jalan.

Sikap ambil peduli pihak kerajaan terhadap bantahan tersebut juga memperlihatkan adanya keberkesanan perjuangan suara-suara rakyat kecil yang membantah isu lesen judi bola ini. Sepertimana yang pernah saya perkatakan bahawa, suara-suara kecil ini apabila ia dikumpulkan atau digerakkan dalam bentuk jamaah, ia mampu menjadi suara yang lantang dan kuat serta pic suara yang tinggi yang mampu meruntuhkan gunung!


Kita berharap juga agar kerajaan mampu memberi kata putus yang positif terhadap bantahan ini. Namun, jika keputusannya sebaliknya, maka suara-suara kecil ini jangan berputus asa dalam perjuangan menegakkan kesucian Islam. Teruskan bersuara walau di mana jua berada. sama ada dalam laman sesawang, jalan raya, halaman akhbar, kain rentang, sepanduk, warung kopi, lobi hotel, di dalam kantor atau di mana jua, selagi kita cinta akan kesucian Islam, tanggungjawab amal makruf nahi mungkar tetap kita teruskan dalam suasana yang aman.


Semoga Bunga-Bunga Harapan Terus Mengorak Kelopaknya....

Sabtu, 22 Mei 2010

BERKONGSI RASA : INI BUATAN ISRAEL TAK?

"Ada tanda halal tak?" tanya anak sulung saya yang baru berumur 11 tahun apabila saya mencapai satu bungkusan biskut ketika membeli belah di sebuah pasar raya.

"Hmm...ada, ni." saya tunjukkan tanda halal JAKIM yang tertera pada bungkusan biskut tersebut.

"Ayah, ni buatan Israel tak?" dia bertanya lagi sambil menunjukkan satu bungkusan biskut kepada saya.

"Bukan, itu buatan Malaysia," jawab saya ringkas sambil tersenyum. Dia tersenyum dan terus memasukkannya dalam bakul. (Bapa juga kena bayar nanti).
Begitulah tahap kepekaan anak sulung saya tu dalam bab nak beli makanan ringan di kedai-kedai runcit atau di pasar raya. Sejak saya menerangkan tentang kempen boikot barang-barang keluaran syarikat yang ada bersengkongkol dengan Yahudi Israel. Dia cepat faham. Malah anak-anak yang lain pun faham. Tak meronta-ronta nak meminta pergi ke kedai KFC yang hanya kurang 300 meter dari tepi rumah saya.

Bagi saya, peranan ibu bapa (selain guru) amat penting dalam mendidik tentang kepekaan anak-anak terhadap halal- haram sesuatu makanan yang dijual di pasaran. Mereka cepat belajar melalui contoh yang ibu bapa mereka lakukan. Benarlah, pendidikan atau tarbiyah ini bukan sahaja perlu dicakapkan (teori), tetapi perlu disertakan dengan praktikal (amali) untuk lebih cepat faham.

Jumaat, 21 Mei 2010

UMUM: KERANA BOLA

Catatan awal : Sangat kecewa apabila tindakan kerajaan mempertimbangkan meluluskan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan berleluasanya kegiatan judi haram tanpa lesen. Isu ini kian hangat diperkatakan oleh mereka yang amat menjaga Islam dalam dirinya. Saya turut terpanggil untuk menyatakan bantahan terhadap tindakkan tersebut. Bukan kerana terikut-ikut oleh sebab adanya sebuah parti yang membantah tindakkan kerajaan itu, tetapi atas kesedaran dan tanggungjawab sebagai seorang Islam yang tidak mahu melihat unsur-unsur maksiat itu terang-terangan di 'halal'kan. Kita tidak mahu ia menjadi satu trend suatu hari kelak bahawa kemaksiatan boleh di'halal'kan secara berleluasa apabila ia dilesenkan.


*************

Hukum JUDI adalah jelas di dalam Islam iaitu HARAM. Lesenkah tak berlesenkan ia tetap HARAM. Hukumnya sudah terang dan jelas. Tak perlu nak disuluh-suluh lagi. Jangan nak tunjukkan kejahilan diri dengan mengatakan al-Quran tak menyatakan pengharaman judi. Semak firman Allah ini;

"Mereka menanyakan kepadumu (Muhammad) tentang khamar dan JUDI. Katakanlah, "Pada kedua-duanya terdapat DOSA BESAR dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi DOSANYA LEBIH BESAR daripada manfaatnya," ..." (Al-Baqarah : 219)

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras (khamar), BERJUDI, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung. Dengan minuman keras dan BERJUDI itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang-halangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat, maka tidaklah kamu mahu berhenti?" (Al-Maidah : 90-91)


****************

TIDUR BOLA, MAKAN BOLA, MINUM BOLA, TENGOK BOLA......JUDI BOLA!

Arghhhh! kenapa sampai ke situ tahap pemikiran dan tindakan Pak Menteri?


***************


Tatkala titah itu terpancul dari mulut Pak Menteri
katanya;
"Kita beri lesen judi untuk pesta Piala Dunia 2010!"
lalu semuanya diam membisu - menikus(?)
suara-suara yang galak menyalak dalam perhimpuan agung dulu diam kelu membisu
suara-suara yang galak menjerit mengarak kepala lembu membisu
suara-suara yang galak mempertahankan institusi raja sebagai ketua Agama Islam membisu
suara-suara yang menjaja isu arak di Hulu Selangor membisu
suara-suara tok mufti di mana?
oh, suara-suara itu pun sudah membisu
kita cari suara tok mufti yang menentang pertandingan ratu cantik pula,
oh, suara itu sudah tiada lagi - kita rindu suaranya...
suara-suara yang dulunya lantang bersuara sudah hilang suarakah?
cari dan terus mencari suara-suara yang bersuara
mari, di sana ada mulut yang ghairah mencium keris
ah, pun mulutnya sudah tidak bersuara
adakah lidahnya sudah terluka atau kerisnya sudah tumpul?
mari, di sana pula ada suara PERKASA
ah, suara itu pun sudah layu membisu.


Ayuh, suara-suara hati orang beriman
tanpa mengira apa jua fahaman politik
suara-suara tok mufti
suara-suara pengucup keris
suara-suara dari bulan
suara-suara yang menyeru keAdilan
suara-suara sesiapa saja yang bergelar muslim
tidak kira dimana jua kalian berada
bersuaralah demi membantah titah Pak Menteri itu
apakah sukar untuk kita hendak bersuara?
tidak perlu keluarkan modal jutaan ringgit untuk kita bersuara
kerana Allah sudah memberi percuma suara kita
bersuaralah,
sukar sangatkah hendak menyebut tiga patah kata ini;
"KAMI BANTAH JUDI!"



****************



"Tidak ada agama yang memuji perbuatan berjudi itu suatu yang baik, betul," tanya saya kepada seorang rakan Kristian semasa kami berbual tentang isu lesen judi bola ini.
"Betul," dia mengiyakan kata-kata saya.
"Nah, apa perlunya diberi lesen untuk berjudi. Dalam agama saya, bukan soal lesen atau tidak berlesen persoalannya, tetapi yang menjadi persoalan besarnya ialah sifat judi itu sendiri yang diharamkankan," saya menjelaskan kepadanya.
"Mungkin kerajaan nak dapatkan keuntungan daripada cukai pendapatan daripada kegiatan judi berlesen tersebut," kata kawan saya itu lagi.
"Tapi perlu ingat, keuntungan daripada cukai itu tidak berbaloi untuk dibelanjakan bagi menangani masalah sosial yang berbangkit ekoran daripada sikap ketagih judi itu dalam kalangan masyarakat kita nanti. Silap-silap belanja mengurus masalah sosial itu nanti lebih besar daripada itu. Adakah itu keuntungan yang dikatakan?" saya menyoalnya semula. Rakan Kristian saya itu mengangguk-angguk, faham.

Ahad, 16 Mei 2010

UMUM : HARI GURU

Kepada guru-guru seluruh negara;



"SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU"

-GURU PEMBINA NEGARA BANGSA-




Teruskan perjuangan kalian dalam medan pendidikan walaupun pelbagai cabaran yang melanda. Cabaran yang besar bukanlah pada masalah disiplin pelajar/murid, namun cabaran yang besar ialah tatkala murid/pelajar itu mengatakan; "Saya tak faham, cikgu, boleh ulang sekali lagi," Kerana kejahilan murid/pelajar membawa kepada natijah yang besar dalam seluruh kehidupannya.

Selasa, 11 Mei 2010

MENCANAI MINDA : PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH.

Minggu lepas, ketika saya sedang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dalam sebuah kelas Tingkatan Dua, tiba-tiba seorang pelajar perempuan mengangkat tangan.
"Ya, ada apa Bebiyana?" tanya saya pula.
"Er, saya nak tanya satu soalan kepada cikgu. Dah lama saya fikirkan perkara ini cikgu," kata pelajar terbut.
"Ya, apa soalan awak tu,"
"Saya harap cikgu tak marah nanti," katanya lagi. Saya semakin teruja juga apa bentuk soalan yang hendak ditanyakan itu.
"Er, saya nak tahu baby tu berada dalam mana cikgu? Dalam perut ke? Bukankah dalam perut tu ada makanan dan usus pula ada najis dalam tu?" Dia bertanya agak malu-malu.
Arghh! kenapa boleh dapat soalan ini dalam subjek Bahasa Melayu. Mungkin juga sebab saya menerangkan soal risiko kahwin lewat kepada pelajar-pelajar saya.
"Bagus soalan awak itu," kata saya untuk menghilangkan rasa bersalahnya kerana menyoalkan sesuatu yang tidak terfikir oleh rakan-rakannya yang lain.
"Ha'ah, saya pun nak tahu juga cikgu," sampuk seorang lagi pelajar perempuan.
Saya mengangguk faham. Untuk tidak menghampakan mereka saya pun menerangkan kedudukan sebenarnya bayi dalam kandungan berdasarkan apa yang telah saya pelajari semasa zaman persekolahan dulu ketika mengikuti kelas Biologi dan Kemasyarakatan dalam bab 10, Sisitem Pembiakan Manusia (wah, masih ingat lagi saya hehehehh).
Saya pun, "Sebenarnya bayi tu bla..bla..bla..bla..bla..bla..bla...bukan dalam perut."
"Oo..bukan dalam perutlah cikgu?"
"Bukan." jawabku tegas.
Mereka mengangguk-angguk. (tak pasti sama ada faham atau hanya sekadar mengangguk. Saya harap mereka faham).
Hmm..sejak akhir-akhir ini isu tentang wajarkah pendidikan seks di ajar di sekolah sebagai satu mata pelajaran khas menjadi perbahasan dan polemik dalam kalangan bijak pandai , menteri, pemimpin NGO, dan masyarakat khususnya ibu bapa. Ini kerana, gejala seks bebas hingga membawa kepada gejala pembuangan bayi kian meruncing dalam masyarakat belia kita. Alasan ini menyebabkan sesetengah pihak mahukan agar pendidikan seks ini perlu diajar di sekolah. Namun, bagi pihak yang menentang pula, juga menggunakan alasan yang sama. Mereka bimbang pendidikan seks itu nanti akan menambah nilai kepada masalah tersebut sehingga menjadi kian parah.
Semalam, Harian Metro ada memaparkan isu ini di halaman Variasinya di dalam artikel bertajuk "Modul Pendidikan Seks di Sekolah". Saya amat tertarik dengan satu baris ayat oleh pengarangnya yang berbunyi;
"..mana lebih baik, sama ada seks dibicarakan secara terbuka dalam suasana ilmiah atau membiarkan pelajar mencarinya melalui Internet yang kesannya lebih berbahaya?"
Di sini juga saya perturunkan beberapa petikan kata daripada Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Puncak Alam, Selangor, Sulaiman Selamat seperti mana yang disiarkan di dalam artikel tersebut.
"..Soal seks dalam masyarakat kita terlalu tertutup, menyebabkan golongan yang ingin memperoleh maklumat sering kali dipandang serong. Mereka lupa, pertanyaan dan pendedahan itu satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Apa yang menjadikannya jijik dan kotor adalah istilah semata-mata.."
"..Jangan kita sempitkan minda kerana itu cabang ilmu yang perlu dipelajari. Justeru, masyarakat perlu mengubah mentaliti mengenai seks bagi mengelak ia menghalang proses pembelajaran.."
"..Antara matlamat awal pengenalan pendidikan ini ialah untuk mendidik individu secara ilmiah mengenai fungsi tubuh secara biologi. Malangnya, ia disalah guna menjadi seperti subjek tidak bertamadun sedangkan agama juga menitik beratkannya.."
Sebelum kenyataan ini dikeluarkan, saya secara jujurnya amat menyokong pendidikan seks ini diajar di sekolah. Betul, ia merupakan salah satu cabang ilmu, mengapa perlu kita nafikan. Negatif sangatkah ilmu seks ini? Jijik sangatkah apabila kita membicangkan soal haid, nifas, mandi junub, batas-batas aurat, mani, mazi, pergaulan lelaki perempuan, batas-batas berpakaian, perkahwinan, kelahiran.? Lucah sangatkah apabila kita membincangkan soal-soal fungsi alat-alat pembiakan, faraj, zakar, vagina, rahim, sperma, zigot, kromosom dan sebagainya? Erotik sangatkah jika kita membicangkan secara ilmiah tentang susuk tubuh dan anatomi manusia jantan dan betina? Walhal ia dibicara dan diajar secara ilmiah. Ia tidak diajar seperti mana pendedahan seks oleh filem-filem Holywood atau Bolywood atau sesetengah filem Melayuwood sekarang ni. Buku teksnya pula tidaklah seperti sesetengah tulisan novel-novel picisan yang membicarakan soal seks yang melambak di pasaran. Pelik masyarakat kita, perkara baik yang diajar demi ilmu ditakuti, namun pada masa yang sama membenar dan melulus pula penyiaran filem-filem yang berbau seks keterlaluan, majalah-majalah hiburan yang mendedahkan susuk tubuh artis yang menggiurkan dijual secara bebas di pasaran. Tidak termasuk masyarakat 'mengiyakan' penjualan VCD lucah secara terbuka bersama VCD cetak rompak. Nah, di manakah nilai sebenar yang perlu kita pakai dalam membicarakan soal seks. Islam hanya tegas dalam mengharamkan unsur-unsur yang membuka kepada ruang berlakunya zina/seks bebas. Tapi pendidikan seks bukanlah unsur yang membuka ruang tersebut. Jangan pula kita silap dalam membuat penilaian.
Apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini, khususnya kes gejala seks bebas dan pembuangan bayi bukanlah disebabkan kerana kurangnya pengetahuan remaja/belia kita tentang soal seks atau kerana terlebih faham mereka tentang soal seks ini. Ini disebabkan oleh banyak faktor yang kita semua sedia maklumi sebab-sebabnya.
Cuma, saya lebih suka kalau pendidikan seks ini hanya diserapkan sahaja dalam subjek-subjek yang sedia ada yang sesuai dan berkaitan dalam pembicaraan tersebut seperti Pendidikan Islam, Sains atau Biologi. Cuma perlu diperhalusi lagi dan dibuat penambahbaikan kepada isi kandungannya. Jika diwujudkan subjek baru yang berasingan, bimbang pula ia akan mendatangkan masalah lain dalam pendidikan negara, khususnya beban pelajar dan beban guru yang melibatkan penambahan masa persekolahan dan jumlah buku. Sekarang ini pun isu beg berat belum selesai lagi. Begitu juga masalah kekurangan guru dan beban guru di sekolah masih belum mampu diselesaikan sepnuhnya. Kita risau nanti seperti apa yang dikatakan oleh orang tua-tua, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".
Ini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin kalian ada pandangan lain untuk kita kongsikan bersama, atau mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya. Biarlah kita membicarakannya dalam penuh santai dan dengan hati yang jujur demi pencarian ilmu.

Sabtu, 8 Mei 2010

UMUM : HARI IBU 9 MEI

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU


Firman Allah (maksud):

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
(Luqman : 14)
Sketsa 1 : Batu Belah Batu Bertangkup.
"Melur, mana telur ikan tembakul yang mak suruh masak tadi?" Mak Tanjung bertanya kepada anak daranya, Melur, sebaik sahaja kembali dari membersihkan diri di perigi.
"Er,..adik Pekan dah makan semuanya." Melur menjawab dalam keadaan serba salah.
"Apa, Pekan dah makan semuanya!" Mak Tanjung terkejut.
"Nampaknya, kempunanlah mak nak makan telur ikan tembakul hari ini." Mak Tanjung terus meluru keluar. Hatinya sedikit merajuk dan terkilan dengan tindakan kedua-dua anaknya yang tidak meninggalkan sedikit pun telur ikan tembakul kegemarannya.
"Makkk, jangan pergi mak! maafkan Melur dan Pekan mak..." Melur memanggil dari arah belakang. Mak Tanjung melangkah cepat. Dia sudah tekad. Dia hendak mengadu kepada Batu Belah batu Bertangkup. Langkahnya semakin cepat meninggalkan Melur dan Pekan yang mengejar dari arah belakang. Kini dia sudah sampai di depan Batu Belah Batu Bertangkup.
"Batu Belah Batu Bertangkup, telanlah aku makanlah aku. Aku kempunan telur tembakul." ratap Mak Tanjung dengan linangan air mata.
"Maaf, aku tak boleh makan awak hari ini. Hari ini Hari Ibu, aku kena hormat awak sebagai ibu. Awak baliklah. Kesian anak-anak awak di rumah sana. Bayangkan, awak sudah menanggung susah payah mengandung mereka 9 bulan 10 hari. Sekarang senang-senang awak nak jadikan mereka itu yatim. Baliklah. Setakat telur tembakul tu bukan alasan untuk awak nak bunuh diri di sini. Dosa tau." Batu Belah Batu Bertangkup tiba-tiba bersyarah. Mak Tanjung terkejut. Dia terus insaf dan kembali semula ke rumah.
"Yee, mak dah balik!"jerit Pekan keriangan.
"Mak, Melur tukar dengan telur masin boleh tak?" Melur memujuk.
"Hmmm...apa-apa ajelah," Mak Tanjung tersenyum menatap wajah anak-anaknya.
moral cerita : Jangan lari daripada tanggungjawab sebagai ibu dalam memberi kasih sayang pada anak-anak.
Sketsa 2 : Si Tanggang Anak Derhaka.
Mak Limah yakin bahawa pemilik bahtera besar itu adalah anaknya, Si Tanggang yang sekian lama sudah meninggalkan kampung halaman. Dia mempercepatkan kayuhannya menuju ke arah bahtera tersebut.
"Bukan, kamu bukan emak aku!" itulah kata-kata yang terpancul dari mulut saudagar Tanggang sebaik sahaja Mak Limah menyatakan bahawa dia emak kepada Si Tanggang.
"Pengawal, halau perempuan tua terkutuk ni keluar. Pandai-pandai nak mengaku sebagai emak aku. Pergi!" Herdik Si Tanggang dengan angkuh dan kasar. Bagai nak luruh hati dan jantung Mak Limah mendengarnya. Tergamak anaknya itu berbuat demikian. Dia memang yakin itulah anaknya Tanggang. Tanda parut pada dahi anaknya itu akibat luka terjatuh pokok semasa zaman kanak-kanak dulu masih diingati Mak Limah. Sah itu anaknya.
"Tanggang, aku ni emak kau. Tengok betul-betul wajah mak ni," Mak Limah masih merayu.
"Ahh, wajah hodoh macam awak tu ada hati nak mengaku mak aku. Pergi cepat dari sini!" bentak Tanggang lagi. Isteri cantiknya hanya tersenyum di sisinya. Hatinya jijik melihat perempuan tua di depannya itu.
"Hoi pengawal, pekak ke. Aku suruh heret keluar perempuan tua ini cepat!" Tanggang makin marah. Cepat-cepat dua orang pengawal peribadinya menarik tangan mak Limah yang masih terduduk di depan Tanggang.
"Tanggang, kasihan mak ini...Tanggang, Tanggang..." ratap mak Limah pilu. Air mata merembes bercucuran. Tidak sedikit pun suara ratapan itu mencairkan hati Tanggang. malah kian panas hatinya mendengar suaranya dipanggil-panggil perempuan tua itu. Lama kelamaan suara itu sayup-sayup kedengaran. Fahamlah dia bahawa perempuan tua itu sudah dihalau jauh dari bahteranya.
Di rumah Mak Limah masih bersedih. Lantas, seusai solat Maghrib, dia pun berdoa pendek dan ringkas.
"Ya Allah, ampunkan dosa anak ku itu. Aku sedia memaafkan perlakuannya sebentar tadi. namun aku tidak putus asa untuk mendapat kembali kasih sayang anakku. Lembutkan hatinya agar dia sedar atas kesilapannya. Amin," Mak Limah berdoa dengan penuh khusyuk. Dia yakin bahawa janji Allah tetap benar bahawa doa seorang ibu amat mustajab!
Sebelum isya, kedengaran pintu rumah diketuk bertalu-talu. Mak Limah melangkah perlahan menuju ke pintu.
"Siapa di luar tu?" Tanya Mak Limah.
"Tanggang mak," kedengaran suara yang lembut.
Mak Limah bagaikan tidak percaya. Dia cepat-cepat membuka pintu.
"Mak, ampunkan Tanggang mak," Tanggang terus menerpa mencium tangan Mak Limah.
"Mak sudah mengampun dan memaafkan kamu anakku," Kata Mak Limah sayu. Maka pada malam itu berlakulah drama tangis-tangisan di pondok buruk Mak Limah. Dalam hati mak Limah tak putus-putus mengucapkan rasa syukur kepada Allah. Benar, doa ibu amat mustajab!
moral cerita : Para ibu, doa yang baik-baik buat anak-anak ye, jangan terlalu mudah nak menyumpahnya jadi batu. hehehehh..
HARAP TERHIBUR

Jumaat, 7 Mei 2010

MENCANAI MINDA: SOCRATES ADALAH LUQMAN AL-HAKIM?

Adakah Socrates merupakan watak yang sama kepada insan alim lagi warak, Luqman al-Hakim? Persoalan ini saya cuba bawa kepada pengunjung blog ini pada pagi Jumaat ini untuk diperhalusi. Saya cuba kongsikan apa yang telah saya baca di dalam buku karangan Muhammad Alexander, yang berjudul "Alexander Adalah Zulqarnain". Saya tidak membahaskan keseluruhan buku itu di sini, malah saya tidak menyentuh dahulu kisah Zulkarnain. Cuma saya amat tertarik dengan sekelumit fakta yang dipaparkan oleh pengarang di dalam buku tersebut. Saya perturunkan sedikit petikan daripada kandungannya (halaman xxii)

"...Socrates adalah guru yang bijak, yang dihukum mati dengan meminum racun pada tahun 399 SM di Athens. Ini kerana beliau menyebarkan ajaran monoteisme 'Tuhan itu satu' (Laa ilaha illallah), ia adalah kepercayaan yang bertentangan dengan paganisme politeisme Yunani pada ketika itu...Socrates adalah ahli falsafah yang bijak...Penulis berpendapat, Socrates adalah individu yang dikenali sebagai Luqman al-Hakim dalam al-Quran. Analisis linguistik, iaitu daripada aspek fonologi/fonetik (ilmu bunyi/suara bahasa, ilm ashwat) menunjukkan nama 'Luqman' berkemungkinan terhasil daripada perkataan Arab 'Laqman' (menelan), 'Luqoman' (beberapa suapan), 'Luqmatu'(sesuap), 'Laqimun' (yang menelan). Dalam konteks ini, 'Luqman' adalah gelaran bagi Socrates, iaitu sesuai dengan takdirnya sebagai orang yang 'menelan' racun. Jadi, Luqman dalam al-Quran adalah Socrates, 'orang bijaksana dari Athens' yang meminum racun. Hingga saat ini, iaitu sejak zaman Nabi Musa (1281 SM) hingga ke zaman Nabi Muhammad (632 M) sejarah belum menemukan orang bijak yang dihukum mati dengan cara meminum racun kecuali Socrates dari Athens sahaja..."

Kenyataan di atas hanyalah pendapat penulis itu sahaja. Ia serba mungkin. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak betul. Namun, kisah watak Luqman al-Hakim ini sangat terkenal terakam dalam al-Quran sehingga ada surah yang dinamakan dengan nama tersebut, Surah Luqman. Sedikit paparan watak Luqman dalam surah tersebut;

Firman Allah (maksud):
"Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkannya); "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)", dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Dan (ingatlah), tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberikan nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Luqman: 12-13)

Apabila saya meneliti pandangan tersebut, saya juga kuat mengatakan Socrates itu Luqman al-Hakim. Gelaran 'al-Hakim' itu merujuk kepada kebijaksanaan. Kita sudah sedia maklum, Socrates seorang ahli falsafah dan pemikir yang bijak dalam Tamadun Greek/Yunani. Malah saya punya teori, setiap nabi/rasul semestinya Allah turunkan dalam kalangan bangsa atau tamadun yang hebat. Contoh, Tamadun Maya di Amerika Selatan, memiliki kitab yang membincangkan soal kemusnahan alam (kiamat) sehingga sedikit menggemparkan dunia dengan Ramalan 2012 mereka (sehingga difilemkan), berkaitatan dengan kemusnahan bumi/alam. Mana mungkin mereka mengetahuinya melainkan Allah turunkan nabi di situ untuk memaklumkan asas kepercayaan tersebut (hari kiamat).

Maka, tidak mustahil juga Socrates itu termasuk insan yang Allah beri ilham tentang konsep ketuhanan sebenar kepada masyarakat Yunani yang maju, namun bergelumbang dengan maksiat dan amalan syirik. Cuba kita lihat nasihat Lukman kepada anaknya dalam maksud ayat yang telah dipaparkan di atas - jangan mempersekutukan Allah. Nah, ajaran inilah menyebabkan beliau dibunuh dengan menelan racun! Bukan sedikit nabi-nabi dan rasul yang dibunuh lantaran seruan dakwah ini. Taraf Lukman sama ada beliau hanya seorang alim yang warak sahaja atau beliau seorang nabi, pun wujud perbahasan dalam kalangan para ulama.

Saya cuba mengaitkan pula kesan ajaran Socrates ini terhadap murid Plato, iaitu Aristotle. Siapa Plato? Dia merupakan murid Socrates. Baik, saya kemukakan apa yang pensyarah Pengajian Sejarah saya kuliahkan dulu semasa menadah sekelumit ilmu dari beliau, Abdul Rahman Haji Abdullah( semoga Allah sentiasa merahmati kehidupannya) ketika membicarakan kandungan buku beliau "Wacana Falsafah Sejarah Perspektif barat dan Timur", berikut petikan dalam buku tersebut;

"...teori gerak oleh Aristotle juga merupakan hujahnya tentang kewujudan Tuhan, yang dikenali sebagai dalil gerak atau dalil kosmologi (cosmological argument). Menurut dalil ini, segala sesuatu yang bergerak menerima geraknya daripada sesuatu yang lain, bukannya ia bergerak dengan sendirinya. Setiap gerak menghendaki penggerak atau sebab pertama, hinggalah sampai kepada penggerak pertama yang tidak bergerak. Penggerak Pertama Yang Tidak Bergerak atau Prime Mover Unmoved (Primum Mobile Immatum) inilah yang dikatakan Tuhan menurut Aristotle." (halaman : 121)

Nah, konsep kekuasaan Tuhan Yang Satu turut dikembangkan oleh Aristotle, seperti mana ajaran Socrates. Aristotle ini pula guru kepada Alexander The Great (Iskandar Zulkarnain), yang terkenal juga kewarakannya sepanjang misi ketenteraannya sehingga berdepan dengan permasalahan Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini juga perlu kita ingat, betapa Barat cuba menyembunyikan fakta-fakta ini sehingga menyelewengkan ajaran-ajaran sebenar watak-watak ini, sepertimana mereka menyeleweng ajaran Nabi Isa. Perlu kita ingat juga, ilmu-ilmu Yuani ini suatu ketika dahulu hampir lenyap, sehinggalah Tamadun Islam membongkarkannya semula. Cuma kini, Barat mencedokkannya dari Dunia Islam dengan mengikut perspektif mereka. Sudah pasti banyak unsur-unsur ilmuan yang selari dengan Islam akan cuba dipadamkan mereka.

Nah, persoalan Socrates ini merupakan watak Luqman al-Hakim masih boleh dibahaskan lagi. Kenyataan di atas adalah serba kemungkinan. Mungkin ada lagi kajian yang lebih terperinci daripada itu yang boleh menyokong atau menolak pandangan tersebut. Mungkin kalian sendiri ada pandangannya?

ketak ketik ketuk : Tegurlah diri ini jika ada kesilapan....

Rabu, 5 Mei 2010

SEKADAR HIBURAN: SEPULUH BUDAK HITAM

Sepuluh Budak Hitam memang kita sudah tahu mereka ni nakal-nakal. Bahkan ada tindakan mereka yang melampau-lampau. Namun, adakah itu memang kehendak mereka. Jauh di lubuk hati mereka memang ada sekelumit sifat-sifat mahmudah yang dimiliki. Fitrah manusia memang inginkan sesuatu kebaikan dalam dirinya. Namun kekadang kelemahan diri (iman) menjadikan mereka sukar mengawal tuntutan nafsu yang condong kepada kejahatan. Namun tidak mengapa, kali ini kita lihat sisi putih Geng Sepuluh Budak Hitam ni. Kita cuba nak bimbing mereka..

Sepuluh Budak Hitam, ramai-ramai pergi berkhatan,
seorang terus kahwin (takut maksiat zina) tinggal lagi sembilan.

Sembilan Budak Hitam pergi mengaji al-Quran,
seorang sudah khatam, tinggal lagi lapan.

Lapan Budak Hitam, pergi sembahyang Subuh,
seorang batal (terkentut), tinggal lagi tujuh.

Tujuh Budak Hitam, mahu puasa sunat Enam,
seorang kena gastrik, tinggal lagi enam.

Enam Budak Hitam, mahu cari pahala,
seorang jaga ibu bapa, tinggal lagi lima.

Lima Budak Hitam, pergi sembahyang Jumaat,
seorang uzur syarie, tinggal lagi empat.

Empat Budak Hitam, mahu hindar riba,
seorang pergi berniaga, tinggal lagi tiga.

Tiga Budak Hitam, pergi Saudi Arabia,
seorang pergi haji, tinggal lagi dua.

Dua Budak Hitam, pergi tuntut ilmu,
seorang masuk universiti, tinggal lagi satu.

Satu Budak Hitam, mahu bela agama,
dia mati syahid, terus masuk syurga.

Selasa, 4 Mei 2010

BUDAYA MEMBACA : BERBELANJA UNTUK PANDAI

Memetik kata-kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang disiarkan dalam majalah Anis keluaran Mei 2010. Kata beliau;


"Kita sebenarnya sedang bergelumang dengan ilmu. Terpulanglah kepada kita apakah mahu menjimatkan RM 20 - RM 30 untuk menjadi BODOH, atau membelanjakan RM 20 - RM 30 untuk menjadi PANDAI dengan membeli BUKU,"


Saya sengaja tidak mahu memanjangkan entri ini. Cukuplah kata-kata di atas membawa makna yang besar dalam diri kita.


ketak ketik ketuk : Ayuh, kita bangkitkan budaya membaca dalam kalangan ummah Islam!

Isnin, 3 Mei 2010

FIKIR SEJENAK : BUKAN MATI DI JALAN ALLAH

"Allah, apasal ni?" detik hati saya apabila mendapati aliran trafik tiba-tiba semakin perlahan di depan semasa pulang dari kerja petang tadi. Kenderaan berjejeran di depan bagaikan merangkak sahaja.

"Takkan ada road block masa ini?" Saya menyoal diri sendiri. Hari kian gelap. Jam menunjukkan pukul 7 malam. Maknanya Maghrib sudah 20 minit berlalu. Saya kian resah. Sempatkah untuk solat Maghrib nanti di rumah. Jarak tempat saya terperangkap dengan rumah tinggal lagi 10 km.

"Laa...ada kemalangan rupanya." Saya sudah mendapat jawapan kepada persoalan saya tadi. Saya dapat melihat sebuah kereta Iswara merah remuk pada bahagian belakangnya akibat disondol oleh bas. Perasaan simpati terhadap pemilik Iswara cepat sangat meresap dalam hati saya. Sudah takdirnya begitu pada petang tersebut. Melihat kejadian tersebut cukup menginsafkan diri betapa perlunya berhati-hati ketika memandu.

Baru hari ini juga, Utusan Melayu (jawi) memaparkan fokusnya yang bertajuk "Pusara Di Jalan Raya". Dalam salah satu artikelnya, negara kita, Malaysia nan tercinta ini menduduki tempat ke-9 daripada 15 buah negara dunia yang mempunyai rekod kemalangan maut jalan raya. Purata kematian akibat kemalangan jalan raya di negara kita dianggarkan kira-kira 20 hingga 30 orang setiap hari. Bayangkan!

Kejadian yang berlaku sebentar tadi diadun dengan apa yang telah dibaca telah melengkapkan 'kuliah maghrib' saya petang tadi. Sepanjang perjalanan itu, saya dapat merumuskan bahawa betapa nyawa rakyat negara ini banyak yang terkorban di jalan raya, bukannya di jalan Allah (Fisabilillah). Lebih malang lagi jika yang terkorban itu akibat daripada sikap sengaja menempah maut dengan terlibat dalam aksi lumba haram dan merempit. Mati katak!

Alhamdulillah, aku sempat sujud menyempurnakan solat Maghrib di rumah. Tapi kuliahnya sudah di awal tadi.

Ahad, 2 Mei 2010

SUSASTERA BULAN INI : DERITA AL-AQSA

DERITA AL-AQSA

(kutitipkan puisi ini buat Palestin yang masih sengsara)


al-Aqsa.

Bumi anbia
tanah suci.

Muhammad pernah menziarah
sebelum menuju mikraj
sebongkah batu tertahan.

kiblat pertama umat Islam
sehingga Yahudi menjaja fitnah
Muhammad menunggu wahyu arahan
akhirnya mengadap arah baitullah.

Saladin pernah mengorak langkah gagah
menjunjung panji kebesaran kebenaran Islam
menuju kota suci membuka pintunya
membebaskan belenggu musuh mencengkam perit
suara azan bebas berkumandang sahdu.

kini al-Aqsa kembali menderita penuh sengsara
cengkaman zionis yahudi kian tajam menggigit
lamannya banjir darah para syuhada mengalir
air mata terus mengalir sukar diseka
doa perjuangan bergema di pusara syuhada
mengharap Saladin akan muncul kali kedua.

ayuh ummah! dengarlah ratap dan tangisan al-Aqsa
sekian lama bergema di persada dunia hipokrit
kuasa besar sekadar menabur janji manis mereka
sejuta harapan ditabur bersama peluru dan mortar
kereta kebal zionis terus merempuh maruah al-Aqsa
ayuh ummah! bangkitlah dari alpa dan sengketa
sebelum al-Aqsa hilang dalam lakaran peta dunia!