SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Isnin, 28 Jun 2010

BERKONGSI RASA : HAFAL 30 SURAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi Maha Penyayang


"Ayah, esok Ina nak baca surah ni lagi (Surah At-Tin)" kata anak keempat saya sebaik selesai mengaji muqaddam. Sebenarnya dia sudah boleh membaca surah tersebut. Cuma saya memperbaiki sedikit bacaannya tentang tajwidnya.
"Kenapa? Bukankah Ina sudah boleh pindah ke surah yang baru?" tanya saya pula.
"Sebab Ina suka baca surah ini," katanya lagi.
"Suka?"
"Ya suka. Ina suka sebut 'tsum maradad na hu asfalasafiliin',"katanya memberi penjelasan mengapa dia suka membaca surah tersebut.
"Hmm...tak apalah. nanti Ina baca lagi surah ni," saya memberi jaminan agar tidak mahu membantut minat dan keseronokkannya belajar mengaji. Bagi saya yang penting dia mahu belajar, kenapa harus kita sekat.

************



(gambar dipetik dari Harian Metro)
Hari ini tertarik membaca berita yang disiarkan dalam akhbar Harian Metro (28 Jun 2010) berkenaan seorang kanak-kanak cilik, adik Darwisha Adriana Rozali yang baru berusia tiga tahun lapan bulan sudah mampu menghafaz 30 surah dalam al-Quran.

Sabtu, 26 Jun 2010

SEMASA : ULAMA SERTAI UMNO DAN LESEN JUDI BOLA BATAL.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Agak lama juga saya tidak mengemaskini entri dalam blog ini. Hampir-hampir saja Sang Labah-labah membuat sesawangnya di sini. Maaf buat para sahabat bloggerwan andai kalian tertunggu-tunggu entri baru daripada saya. Alhamdulillah, pada hari ini ada sedikit kekuatan telah diberi olehNya untuk saya menulis entri ini sebagai perbincangan bersama.

Semalam ada dua peristiwa yang menarik hati saya untuk dipaparkan di sini. Dua peristiwa baik yang berlaku pada hari yang mulia, Jumaat penghulu sekalian hari. Pada hari itu kita umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal ibadah sunnah dengan tidak mengabaikan ibadah wajib. Berkat kemuliaan hari Jumaat itu jugalah maka berlakunya dua peristiwa baik tersebut


(gambar dipetik daripada Utusan Malaysia)


Pertama, peristiwa penyertaan 40 orang ulama muda ke dalam parti UMNO sebagai penambahan kepada 3 juta ahlinya yang sedia ada. Ini suatu perkembangan yang baik di dalam UMNO dalam memberi peluang dan ruang kepada golongan ilmuan agama untuk berbakti dalam penyebaran dakwah mereka. Mungkin timbul persoalan dalam sesetengah daripada kita, kenapa mereka tidak menyertai PAS? Jawapan tersebut hanya ada dalam diri mereka sahaja. Kita haruslah bersikap positif terhadap tindakan mereka. Mungkin mereka merasakan bahawa di dalam PAS sudah terlalu ramai golongan ilmuan agama (ulama) ini, dan mereka mendapati di sebelah pihak UMNO agak kekurangan. Maka kekurangan ini perlu diisi sebagai salah satu tanggungjawab dakwah mereka. Dengan cara ini mereka dapat berdakwah melalui dalam UMNO itu sendiri, bukannya dilakukan di luar lingkungan UMNO seperti yang telah dilakukan oleh pihak PAS dan pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang lain.

Menurut wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd Othman seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam UKM, penyertaan mereka itu bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu (UMNO) dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian. Malah menurut beliau lagi;

"Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak. Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,"

Begitulah, kita mengharapkan agar niat dan usaha mereka itu nanti akan berjaya dan sedikit sebanyak mampu memberi suatu yang baik dalam perkembangan dan kemajuan aktiviti Islam di negara ini. Apa yang penting nanti ialah sikap tegas dan keberanian mereka dalam memperkatakan perkara yang hak walaupun terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sendiri.

Kedua, ialah berita tentang pembatalan lesen judi bola. Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports). Keputusan itu dibuat atas dasar pertimbangan agama dan kesan politik.

"Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan," begitu antara lain kenyataan Perdana Menteri sebagaimana dipetik dari sebuah akhbar tempatan.

(Gambar dipetik dari Utusan Malaysia)

Kemelut dan polemik berkenaan isu lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia itu mulai tercetus sebaik Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataannya di Dewan Negara pada 6 Mei lalu. Dalam kenyataan beliau itu, kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia berlangsung bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram (tanpa lesen) di negara ini.
Kesan daripada pengumuman beliau itu telah menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi oleh pihak PAS. Malah dalam kalangan UMNO sendiri pun membantah pemberian lesen judi tersebut. Akhirnya, perjuangan rakyat yang kental Islam dalam dirinya telah membuahkan hasil kejayaan. Kemungkaran judi telah disekat daripada terus berleluasa dalam kalangan rakyat yang gemar berjudi. Sekurang-kurangnya, tindakan membatalkan lesen judi tersebut tidak menambahkan lagi lubang-lubang' maksiat yang memang sudah sedia ada membinasakan umat manusia di negara ini di samping pihak kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab mereka untuk tidak membenarkan perjudian bola buat masa ini. Semoga, tindakan dan keputusan kerajaan ini juga akan diperluaskan dalam pemberian lesen-lesen judi yang lain pula pada suatu hari nanti.
Inilah dua peristiwa baik yang berlaku pada hari yang baik tersebut. Semoga ia memberi suatu kebaikan kepada kehidupan kita di negara ini.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

.

Sabtu, 12 Jun 2010

SEMASA : GOL PERTAMA PIALA DUNIA 2010

(gambar dipetik dari Utusan Malaysia)


GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLL!!!!!!


Begitulah sorakan puluhan ribu penonton dan penyokong pasukan Afrika Selatan yang menggegarkan Stadium Soccer City tatkala menyaksikan pemain bola sepak pasukan tuan rumah Siphiwe Tshabalala menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa menentang pasukan Mexico semalam (11 Jun 2010). Gol pertama Piala Dunia 2010 tersebut dijaringkan pada minit ke-54 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, sebaik selepas majlis pembukaan Piala Dunia dilangsungkan di stadium yang sama.

Namun, kegembiraan pemain dan penyokong pasukan tuan rumah tidak berpanjangan. Pasukan Mexico terus mara dan berjaya merembatkan jaringan tunggal mereka ke gawang Afrika Selatan pada minit ke-79 melalui kaki Rafael Marquez. Kesudahannya, kedua-dua pasukan seri 1 sama.

Kini, demam bola kembali melanda seluruh dunia. Virus demam tersebut terus tersebar mengatasi virus HINI. Kesannya, ramai peminat bola sepak di negara kita kini rajin 'bertahajud' di tengah malam. Malah demam ini juga bertambah kronik tatkala menyerang kaki judi bola. ratusan, malah ribuan ringgit dipertaruhkan untuk pasukan yang dijangka menang dalam setiap perlawanan. Malang bagi golongan ini yang mencemarkan sukan ini dengan perkara maksiat tujuh pembinasa tersebut. Dalam keghairahan semangat kita menyaksikan perlawanan Piala Dunia ini, jangan sampai kita 'menendang' iman kita sehingga terlibat dalam pertaruhan judi dan lalai melaksanakan ibadah solat khususnya solat subuh. Jangan hairan nanti, sepanjang berlangsungnya Piala Dunia ini kita dapati ramai 'pejuang' ini 'bertahajud' malam namun akhirnya syahizzzzzzzzz..... di tempat kerja atau di pejabat. Apa-apa pun, berpada-padalah dalam kita melayan minat dan semangat kita.


Jumaat, 11 Jun 2010

ISU : RESPON MENTERI TENTANG PERMIT KAPAL YAHUDI BERLABUH DI MALAYSIA

Berikut merupakan penjelasan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 10 Jun, berkenaan dengan tulisan kolumnis Zaini Hassan dalam ruangan Cuitnya; 'Bendera Israel Berkibar di Malaysia?' yang mendedahkan kehadiran kapal-kapal dagang negara haram Israel di Pelabuhan Klang.
"..Contohnya, menurut peraturan yang ditetapkan kapal-kapal Israel tidak boleh menaikkan bendera negara berkenaan apabila memasuki atau berada di sempadan Malaysia."
"Di samping itu, anak-anak kapal tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di dalam perairan Malaysia kecuali jika berlaku kecemasan. Tambahan pula, barang-barang keluaran Israel tidak boleh dibawa masuk ke negara kita,"
Menurut menteri itu juga seperti mana yang dilaporkan, kemasukan kapal Israel adalah dibenarkan bagi tujuan perdagangan antarabangsa.
Jika diteliti dengan syarat-syarat tersebut, nampaknya terlalu 'ringan' dan longgar. Tidak menggambarkan ketegasan Malaysia dalam membela perjuangan rakyat Palestin. Kita tidak mahu tindakan tersebut akan memberi suatu tanggapan yang kurang elok terhadap Malaysia di mata rakyat dan rakyat Palestin. Bak kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 11 Jun;
" Kita tidak mahu di celah-celah kesengsaraan umat Palestin, kita dilihat sebagai negara hipokrit, yang mengutuk tindakan ganas rejim Zionis ini tetapi mengaut keuntungan ekonomi daripada mereka...pada saya kalau dek kerana membatalkan keputusan itu akan membawa kemiskinan kepada kita, lebih baiklah kita miskin tetapi dapat berdiri megah dan berintegriti daripada kaya tetapi dilihat sebagai hipokrit,"
Malah menurut beliau juga, langkah membiarkan kapal-kapal kargo milik Israel memasuki pelabuhan negara ini untuk tujuan perdagangan merupakan satu penghinaan kepada kemanusiaan.
Kata-kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini ada benarnya. Kerajaan yang ada sekarang perlu mempertimbangkan semula permit yang membenarkan kapal-kapal Israel memasuki serta memunggahkan barangan dan kargonya di semua pelabuhan di negara ini. Perdana Menteri Datuk Seri NajIb Tun Razak harus menyemak semula kebenaran (permit) tersebut, walaupun kewujudan permit ini bukan di era pentadbiran beliau. Biarlah selepas ini segala tindakan kita selaras dengan prinsip dan dasar kita dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

p/s : KHAIBAR! KHAIBAR! KHAIBAR! YA YAHUD!

Rabu, 9 Jun 2010

ISU : KAPAL YAHUDI ISRAEL DI PELABUHAN KLANG?

Tersentak tatkala membaca tulisan Zaini Hassan dalam kolum Cuit yang bertajuk 'Bendera Israel Berkibar di Malaysia?'. Artikel yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini memaparkan tentang kehadiran beberapa buah kapal perdagangan negara haram Israel yang berlabuh di pelabuhan antarabangsa negara kita di Pelabuhan Klang.
Dalam dunia masih lagi marah dengan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan komando Zionis Yahudi menembak mati beberapa aktivis sukarelawan pro Palestin di atas kapal flotila kemanusiaan Gazzah, kapal Mavi Marmara 31 Mei lalu, maklumat yang dipaparkan oleh penulis artikel tersebut (jika ia dari sumber yang benar), amat mendukacitakan kita. Pedih hati kesan 'tembakan' komando Zionis tersebut belum lagi sembuh dan dibebat dengan sempurna, kini satu lagi perkhabaran yang benar-benar menjadikan luka itu semakin pedih.

Dalam tulisan tersebut, penulis (Zaini), mendedahkan beberapa buah kapal perdagangan Israel yang dimiliki oleh syarikat perkapalan Zim Israel Navigation Company, telah dan pernah berlabuh di Pelabuhan Klang. Terbaru kapal Zim Genova dilaporkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 7 Jun lalu dengan membawa kargo-kargo besar. Beberapa hari sebelum itu kapal Zim Monaco telah berlabuh di Pelabuhan Klang. Begitu juga sekitar 20 Mei yang lalu kapal Zim USA dilihat berlabuh di pelabuhan antarabangsa negara kita. Di serombong kapal tersebut jelas tertera bendera Israel!
Memetik sedikit tulisan Zaini dalam artikel tersebut yang diambil dari e-mel yang diterima olehnya yang berbunyi;
"...Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.."

Jika benar apa yang didedahkan maka persoalan besar bermain difikiran saya, malah mungkin seluruh warga Malaysia ialah, bagaimana semua ini boleh berlaku dalam suatu urusan besar dan bersistematik ini sehingga ia tidak mampu dikesan oleh pihak kerajaan, khususnya pihak Kementerian Pengangkutan, pihak pengurusan Pelabuhan Klang serta West Port? Kalau ia hanya melibatkan perahu kecil seperti yang sering digunakan oleh agen penyeludup PATI ke negara ini, mungkin ada logik juga ia tidak dapat dikesan dengan cepat oleh pihak berkuasa. Tetapi kes ini melibatkan kapal kargo yang besar yang melalui beberapa proses dokumentasi sebelum ia berlabuh dan memunggahkan kargonya. Malah, jelas imej bendera Israel terpampang pada serombong kapal, maka tidak masuk akal jika kehadiran kapal-kapal ini tidak disedari.

Kita mengharapkan agar dalam masa yang terdekat ini akan ada penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam menjelaskan perkara ini. Ini sangat penting, selain ia didedahkan di dalam akhbar arus perdana maklumat ini juga bakal menaikkan lagi kemarahan rakyat, bukan sahaja kepada Zionis Israel, malah turut terpalit kepada pihak Kerajaan Malaysia yang selama ini terkenal lantang dalam memperjuangkan isu Palestin. Kita tidak mahu gara-gara diberi sebiji oren dan sebiji epal oleh Israel kita sanggup menggadaikan prinsip dan dasar anti Zionis kita.

Ahad, 6 Jun 2010

SUSASTERA BULAN INI : MAVI MARMARA

(kutitipkan sajak ini buat Palestin yang masih derita)



Mavi Marmara
bukan hanya sekadar bahtera besi
perutnya sarat dengan nilai kemanusian
belayar meredah Mediterranean
mengusung amanah dan misi yang berat
demi harapan 1.5 juta nyawa Ghazzah
dikepung dan dihimpit
siasah Zionis yang tak berperikemanusiaan.

Mavi Marmara
terus meluncur laju
gelora Mediterranean bukan penghalang
tangisan dan derita anak-anak Ghazzah
kian menggamit lara hatinya.

Namun segalanya berkecai
tusukan peluru Zionis membunuh segala harapan
banjir darah membasahi Mavi Marmara
19 jiwa aktivis kemanusiaan tergeletak di atas dek
korban ganas Zionis kian bertambah
Mavi Marmara menjadi saksi
kerakusan binatang liar
membaham kemanusiaan.

Rabu, 2 Jun 2010

UMUM : TRAGEDI MAVI MARMARA.

Ketenangan Laut Mediterranean tidak selamanya dinikmati oleh 600 aktivis pro-Palestin yang berada di kapal Mavi Marmara. Ketibaan mereka di perairan Gaza dengan sarat muatan bantuan kemanusiaan untuk Gaza tidak direstui oleh Kerajaan haram Israel. Tanpa diduga, beberapa komando regim Zionis Israel laknatullah telah turun dari helikopter menyerbu dan menyerang penghuni kapal tersebut. Dalam situasi gawat tersebut, beberapa das tembakan telah dilepaskan. Akibatnya seramai 19 orang aktivis terbunuh manakala 30 orang lagi cedera oleh tusukan peluru keangkuhan Zionis Yahudi tersebut. Selebihnya pula di'tawan' dan di bawa ke Israel. Turut ditawan 12 orang rakyat Malaysia yang turut mengikuti misi flotila Gaza bagi tujuan kemanusiaan.

Semasa entri ini ditulis, berita tentang pembebasan semua tawanan termasuklah 12 orang rakyat Malaysia tersebut telah disiarkan di dalam siaran berita. Syukurlah, kesemua 12 rakyat Malaysia tersebut dalam keadaan selamat, berkat doa dan solat hajat yang telah dilakukan oleh mereka yang simpati.

Flotila Gaza merupakan satu misi bantuan kemanusiaan oleh beberapa NGO dari beberapa buah negara bagi bertujuan meningkatkan kesedaran antarabangsa tentang kesengsaraan yang dialami oleh 1.5 juta penduduk Gaza yang dihimpit dan dikepung oleh rejim Zionis Israel laknatullah sejak tiga tahun lalu selepas wilayah Palestin tersebut dikuasai oleh pergerakan Hamas. Penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza kian sukar apabila Mesir menutup pintu sempadannya di Rafah. Alternatif lain ialah menggunakan jalan laut. Malangnya usaha ini telah mendapat halangan dan tentangan dari pihak rejim Israel. Namun, pihak sukarelawan pro-Palestin ini tetap juga mencuba nasib untuk misi tersebut.

Mavi Marmara serupakan salah sebuah kapal daripada sembilan buah kapal yang menyertai konvoi (flotila) kemanusiaan tersebut. Namun, Miva Marmara terlebih dahulu sampai di perairan antarabangsa Gaza. Malangnya, kehadiran Miva Marmara tidak disambut dengan percikan bunga api, sebaliknya disambut dengan percikan senjata api.

Seluruh dunia telah mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan tersebut. Persoalannya, apakah kutukan demi kutukan yang dilemparkan oleh dunia itu mampu mengubah sikap rejim Zionis agar menjadi lebih baik atau penyantun pada masa akan datang? walhal sepanjang wujudnya negara haram Israel tersebut sudah bertan-tan kutukan dieksport ke negara (layakkah ia digelar negara) Zionis tersebut namun sikap dan perlakuan mereka tidak berubah, malah semakin biadap.

Konklusinya, tragedi Miva Marmara menambahkan lagi senarai panjang tentang catatan kebiadapan, keangkuhan, dan kezaliman rejim Zionis dalam lipatan sejarah Tamadun Manusia sebelum menjelang kiamat!



"YA ALLAH, SELAMATKANLAH PALESTIN KAMI. SELAMATKANLAH AL-AQSA KAMI!"