SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Ahad, 4 April 2010

Umum: 2050 ISLAM TADBIR DUNIA?


Nah, membaca tajuk fokusnya sahaja mampu menyentuh nurani dan membakar semangat jiwa muslim untuk berusaha gigih dalam menggapai impian tersebut. Memetik intro yang dipaparkan dalam artikel fokusnya;

"Pada tahun 2008, seramai 50 juta Muslim berada di Eropah dan menjelang 2050, Eropah bakal bertukar menjadi benua Islam dan boleh menguasai keseluruhan komposisi penduduk dunia. Di Amerika Syarikat pula, dalam tempoh 30 tahun saja, 50 juta umat Islam dijangka menetap di negara itu."

(Nak lebih lanjut, sila baca Milenia Muslim keluaran April ini.)

Insya Allah, biarlah ia akan menjadi kenyataan.

Kita mengharapkan agar jumlah yang ramai umat Islam akan datang merupakan umat yang berkualiti, selepas melewati umat Islam yang ramai kini, namun umpama buih-buih di lautan. Cukuplah umat Islam kini diasak dan dipecahbelahkan. Usaha memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan dan kelemahan umat Islam sedang rancak dijalankan kini. Asakkan demi asakkan oleh musuh Islam kini rupanya membawa seribu hikmah kepada kebangkitan kali kedua Islam dalam menerajui dunia ini. Asakkan tersebut umpama angin yang meniup bara api. Semakin ditiup, semakin membara apinya, dan hanya menunggu masa untuk mencetus api yang marak. Bayangkan, jika tiada asakkan-asakkan tersebut, mungkin pejuang-pejuang Islam seluruh dunia akan terus leka dan alpa dibuai nikmat dunia.
Musuh-musuh Islam (terutama kuasa-kuasa Barat), menyangka bahawa dengan meniup bara tersebut ia akan padam umpama api pada sumbu pelita yang ditiup angin. Namun mereka silap. Yang mereka tiup bukannya api pada sumbu pelita, sebaliknya bara. Ya, BARA pejuangan dari puntung-puntung pejuangan umat Islam yang terdahulu. Puntung daripada perjuangan Nabi dan para sahabat. Puntung daripada perjuangan Salehuddin al-Ayubi. Puntung daripada perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh. Barat keliru, antara api sumbu pelita dengan bara dari puntung perjuangan.


يريدون ان يطفؤ انورالله بافو ههم وياءبى الله الا ان يتم نوره ولو كره الكفرون


"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)"
(at-Taubah: 32)


Insya Allah kemenangan itu kian hampir. Kebangkitan Islam bagaikan air bah yang melimpah yang tidak mampu dibendung dengan empangan tinggi. Kebangkitan yang membawa damai dan sejahtera kepada dunia, walaupun nanti ia terpaksa melewati onak dan duri. Darah dan air mata perjuangan sebagai minyak bagi menyemarakkan lagi bara perjuangan itu.

Persoalannya, di mana kedudukan kita dalam menjana kebangkitan itu? Adakah kita hanya sebagai pemerhati sahaja? Atau hanya tumpang menikmati hasilnya sahaja nanti? Atau menyumbangkan sedikit tenaga yang ada mengikut kemampuan kita. Kita bukanlah lasykar yang kuat menyandang senjata di medan peperangan. Kita hanyalah 'bloggerwan' yang hanya menyandang 'pena' untuk berjuang di medan tulisan. Ya, sebarkan keindahan Islam itu dengan titisan 'dakwat' perjuangan Islam. Biarlah keindahan Islam itu tersebar dan menjalar melalui jaringan atau sesawang maya ini menuju lubuk hati mereka yang dahagakan kebenaran Islam. Tidakkah kita mahu berkongsi saham dalam kebangkitan itu nanti, walaupun kita sudah tiada lagi?


ketak ketik ketuk: Insya Allah akan terus mengetik mesintaip selagi ada kudrat yang Allah beri.

2 ulasan:

  1. buih2 dilautan sedang sibuk dengan dunianya
    buih2 dilautan sedang rancak dengan kehidupannya
    buih2 dilautan sedang gembira dengan ombak yang menghempas tanpa mengetahui ianya merosakkan bukannya satu ciptaan Allah,malahan berpuluh2 ribu bakal tenggelam dengan tsunami ombak itu yang pada mulanya hanya buih2 yang cantik dipandang.

    tanggungjawab hanya sekadar tinggal tanggungjawab
    peranan khalifah Allah hanya tinggal pada nama
    beranggapan dunia adalah selama2nya
    tanpa memikirkan akhirat yang sedang menunggu dengan sabarnya

    umat islam bakal bangkit
    itu janji Allah
    jadilah ita salah seorg drpd umat islam yang bangkit itu
    sebelum kita dibangkitkan diakhirat kelak..

    *gembira islam bakal bangkit.takut kiamat makin hampir.:(

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas kunjungan.
    Ya benar, buih-buih di lautan sekarang habis pecah berderai-derai. Sungguhpun begitu, Barat tetap bimbang akan kemunculan buih-buih yang banyak itu. Mereka juga mengkaji hadis. Mengkaji al-Quran. Mereka percaya akan kebangkitan islam itu. Cuma, apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam sekarang hanyalah sekadar untuk melambat-lambatkan proses kebangkitan itu. Itu sahaja yang mereka mampu lakukan.Buih-buih lautan itu nanti bakal menjadi karang yang keras, dan tsunami yang bakal menggulung kebatilan. Kita perlu optimis dengan kebangkitan dan kejayaan Islam tersebut. Cuma kita tidak tahu bila saatnya. Tugas generasi sekarang ialah membetulkan kelemahan dan kesilapan umat Islam kini dan menyediakan tapak kepada kebangkitan itu. Tidak rugi untuk kita 'mendaftarkan' diri sebagai pekerja dalam membina semula tamadun Islam yang telah runtuh.Di tangan kita sudah ada seketul bata untuk disusun bersama-sama orang lain sebelum ia menjadi sebuah dinding yang kukuh.

    BalasPadam