SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Selasa, 20 April 2010

SIRI 3 : SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal : Hmm...kali ini saya nak tamatkan cerpen ini hari ini. Bukan apa, tak ada idea nak buka entri baru. Minda ini masih beku lagi diasak oleh hal-hal tugas yang tak habis-habis. Semalam kena hadiri 1 taklimat dan 1 mesyuarat , bersambung-sambung. Lepas mesyuarat nak fikir lagi tindakkan yang perlu dibuat selepas mesyuarat nak digunakan pada hari Sabtu ini. Apa-apa pun, saya harap kalian tidak jemu untuk bertandang ke blog saya. Jadi, untuk hari ini, ini saja menu yang nak saya hidangkan buat kalian semua. Harap sudi menghadamkannya dalam kotak mindahati kalian.

**********************************

Srettt!, bunyi seretan tayar kereta yang dibrek dengan agak kasar. Muntadar memakirkan keretanya di ruang letak kereta yang agak jauh sedikit dari pintu masuk hotel. Kawasan letak kereta telah pun dipenuhi oleh kereta para tetamu hotel. Nasib baik kami keluar awal. Jika tidak, mungkin banyak masa terbuang untuk mencari tempat letak kereta. Kawalan keselamatan memang ketat sekali. Skuad pemusnah bom juga turut berlegar-legar di luar hotel, khususnya di kawasan letak kereta dengan alat pengesan bom. Aku dan Muntadar terus melangkah menuju ke bahagian pintu masuk hotel.

Kawalan di pintu utama juga ketat. Setiap pengunjung yang melaluinya akan diimbas dengan alat pengimbas senjata. Aku dan Muntadar tidak terlepas daripada pemeriksaan itu walaupun Muntadar telah menunjukkan pas wartawannya kepada pengawal di situ. Wajah bengis dan renungan tajam mata pengawal yang bertugas penuh dengan perasaan curiga. Mungkin mereka sudah dilatih begitu; sentiasa bersikap curiga kepada sesiapa sahaja asalkan keselamatan Sang Presiden terjamin.

Ruang bilik sidang akhbar cukup dingin. Semua kerusi yang disediakan untuk para wartawan dari pelbagai agensi sudah pun dipenuhi. Aku dan Muntadar duduk di kerusi barisan ketiga. Maka jarakku dengan rostrum tempat Sang Presiden berucap nanti tidaklah begitu jauh. Ini akan memudahkan misiku nanti.

Sepanjang waktu menunggu ketibaan masuk Sang Presiden, aku hanya banyak mendiamkan diri. Begitu juga dengan Muntadar. Aku melihat dia memejamkan mata seperti orang bertafakur. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat suci al-Quran.

Tatkala Sang Presiden diumumkan masuk ke bilik sidang akhbar tersebut, hatiku tiba-tiba berdebar-debar. Ah, mengapa pula perasaan gemuruhku tiba-tiba menyelinap masuk ke hati. Aku cuba kuatkan semangat. Aku tidak mahu perasaan gemuruhku akan menggagalkan misi yang sudah lama aku rancangkan. Aku memperbanyakkan zikir bagi meredakan rasa gemuruhku. Mungkin itu juga yang telah dibuat oleh Muntadar tadi. Kini aku lihat dirinya sudah cukup bersedia.

"Ini merupakan lawatan perpisahan saya ke negara anda sebelum saya bersara daripada jawatan saya sekarang tidak berapa lama lagi. Namun begitu, saya berjanji segala permasalahan yang melanda negara anda akan saya cuba selesaikan dalam sedikit masa lagi. Untuk itu, saya masih optimis untuk mengekalkan tentera negara saya di nagara anda bagi memastikan keamanan benar-benar dapat dipulihkan." Sang Presiden memulakan siri ucapannya.

Aku semakin gelisah. Darah dendam dan amarahku semakin membakar pembuluh darahku. Aku melihat wajah Sang Presiden seolah-olah bertukar menjadi seekor drakula yang menyeringaikan taringnya dengan mulut dipenuhi darah rakyat negara kami. Belum pun sempat Sang Presiden meneruskan ucapannya, tiba-tiba terdengar suara jeritan memaki Sang Presiden.

"Nah, ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!" jerit suara tersebut. Serentak dengan itu aku bangun dan melayangkan tendengan kaki kananku ke arah Sang Presiden. Namun sempat dielakkannya.

"Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq," jerit suara itu lagi. Kali ini aku bangkit melayangkan tendangan kaki kiriku ke wajah Sang Presiden. Sekali lagi sempat dielakkannya.

"Sialan, tidak mengena!" getus hatiku.

Badanku terhentak pada dinding di belakang Sang Presiden. Serentak itu juga suasana dalam bilik itu menjadi gempar. Aku melihat sahabatku, Muntadar telah rebah dan ditindih oleh beberapa orang pengawal peribadi Sang Presiden. Kedua-dua tangannya telah digari dengan pantas sekali. Pada masa yang sama seorang lelaki dengan sut hitamnya menghampiri diriku. Badanku diangkatnya dengan sangat kasar. ku sudah tidak mampu melawan lagi.

"Cepat, sumbatkan ia ke dalam kereta sebagai bahan bukti!" suara tegasnya mengarahkan seorang pengawal keselamatan yang menyambt badanku dari tangannya. Ak terus dibawa keluar dan disumbatkan di kerusi belakang kereta polis. Di sebelahku, Muntadar duduk dengan tersenyum puas.

Ya, seperti yang telah aku nyatakan bahawa aku hanyalah rakyat kerdil yang idak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. Namun pada hari ini aku berasa cukup puas. Misiku sudah tercapai. Aku sudah menjalankan tugasku sebagai seorang warga yang berjuang untuk membela maruah negaraku. Walaupun aku tidak tidak membunuhnya, namun memadai jika aku sudah mengaibkannya di mata dunia. Itulah yang termampu aku lakukan sebagai sepasang kasut bersaiz 10!

TAMAT

2 ulasan:

  1. alhamdulillah..
    aku;kasut rupanya..oh~
    patutlah pelik bila terhempas kedinding..
    bgs.
    tp, apakah nasib si pemilik kasut tersebut?~
    legasi kepimpinan baru rupanya lbh agresif dlm diam.

    BalasPadam
  2. akuinsanlemah, terima kasih atas ziarah.

    Saya sebenarnya nak sampaikan bahawa memperjuangkan hak dan menentang kuasa kebatilan boleh dilakukan oleh setiap kita (umat Islam) mengikut kadar kemampuan masing-masing. Jangan kita fikir bahawa kita insan kerdil (contohnya watak kasut) tetapi tidak mampu nak berjuang. Namun watak kasut tidak melihat kekerdilan fizikalnya, namun dia melihat besarnya semangatnya untuk turut serta dalam perjuangan tersebut. Kemampuan kita yang kecil ini jika dikumpulkan dengan kemampuan orang lain ia bisa menjadi suatu tenaga yang hebat.
    Hm, nasib pemilik kasut itu, dia telah dipenjarakan dan kini sudah dibebaskan.

    BalasPadam