SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Rabu, 11 Ogos 2010

SEMASA: RAMADHAN - BAZAAR PAHALA

بسم الله االرحمن االرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
I.

"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK"




Hari ini merupakan hari pertama seluruh umat Islam di dunia mula menjalankan ibadah puasa. Puasa merupakan rukun Islam yang ketiga. Betapa gembiranya hati dan jiwa kerana telah diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa pada tahun ini. Ramadhan, bulan yang telah difardukan dengan ibadah puasa telah menyediakan tapak 'bazaar pahala' yang begitu luas dan hebat kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa. Setiap amalan fardu yang dikerjakan dibalas dengan pahala berlipat kali ganda. Begitu juga dengan amalan-amalan sunat dan amalan-amalan kebajikan yang lain yang dilakukan, turut mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda berbanding pada bulan-bulan lain. Itulah keistimewaan Ramadhan. Allah membuka seluas-luasnya pintu syurga manakala menutup rapat pintu-pintu neraka. Allah memnyediakan peluang keemasan untuk kita meraih sebanyak mana pahala kebajikan dengan melakukan ibadah sama ada yang khusus mahupun yang umum.



II.

Hari pertama puasa, saya sekeluarga telah diuji Allah dengan 'serangan' cirit-birit. Seawal waktu bersahur, sakit perut telah kami alami, sehinggakan selera makan saya terganggu. Hanya dengan menjamah sedikit nasi, tempura ayam , buah kurma dan air sirap menjadi alas perut untuk berdepan dengan puasa sepanjang hari ini.

Saya membuat kesimpulan bahawa sakit perut yang melanda kami sekeluarga mungkin berpunca oleh faktor makanan yang dimakan semasa majlis makan malam semalam. Kelazimannya di Sarawak, budaya 'menyambut bulan' masih diamalkan dengan memasak sesuatu makanan yang agak istimewa sedikit untuk dihantar ke surau-surau atau ke masjid-masjid. Makanan itu akan dimakan bersama-sama oleh para jemaah sebaik usai solat maghrib. Namun, ditempat saya(kampung asal) lain pula budayanya. Kami lebih suka menjemput beberapa kenalan atau jiran untuk datang ke rumah bagi menikmati hidangan 'menyambut bulan ramadhan'.

Semalam, saya menjemput ayah dan ibu mertua serta abang dan anak saudara datang ke rumah. Seusai solat maghrib, bacaan tahlil dibuat. Selesai tahlil barulah menjamu selera. Dengan menu ayam percik, ikan siakap kukus, ikan talapia masak sos tomato dan sayur campur kulat benar-benar menyelerakan. Namun, natijah kesedapan itu telah dirasai pada awal pagi ini. Sakit perut melanda kami sekeluarga. Saya bersikap positif bahawa Allah hendak menguji kami pada awal Ramadhan lagi. Bertuahnya kami. Harap Allah mengampuni dosa-dosa kami, dan mampu bertahan sehingga waktu berbuka.

Khamis, 5 Ogos 2010

SUSASTERA BULAN INI : DOA





DOA
Ya Rabb...
aku bukan penyair agung
yang mampu untuk menyusun bait-bait indah
dalam gugusan lafaz doaku
memohon rahmatMu
namun aku percaya
Engkau Maha Mendengar
segala doa
walau tanpaku lafazkan.
5 Ogos 2010