SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Jumaat, 9 Julai 2010

KHUTBAH MAYA : PIALA DUNIA, JANGAN KITA HILANG FOKUS.

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sidang blogerwan yang dirahmati Allah,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang bloggerwan yang dirahmati Allah agar marilah kita bersama-sama bertaqwalaj kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, iaitu melaksanakan segala perintah dan suruhanNya, serta menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan, kehidupan kita akan sentiasa dirahmati, dilindungi serta diberi pertolongan olehNya dalam usaha kita meraih kebahagiaan hidup di dunia ini dan di akhirat nanti.
Bloggerwan yang dirahmati Allah,

Ketika khutbah ini ditulis, pesta Piala Dunia hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum tiba acara kemuncaknya iaitu perlawanan akhir pada Ahad ini (Malaysia) yang menyaksikan perlawanan antara pasukan Belanda menentang pasukan Spanyol. Maka ketika ini, segala tumpuan dan fokus jutaan umat manusia di bumi ini akan tertumpu ke Afrika Selatan. Bagi yang tidak berpeluang ke sana, cukuplah sekadar menonton perlawanan tersebut melalui kaca televisyen sama ada di rumah mahu pun pada skrin-skrin besar yang dipasang di kebanyakan tempat di restauran-restauran di seluruh negara.


Dalam keghairahan kita memperkatakan tentang Piala Dunia itu, tanpa kita sedari musuh-musuh Islam sedang memasang perangkapnya agar umat Islam terus leka dan leka dari memikirkan masalah ummah yang sedang kita hadapi sekarang ini.
Kita sudah sedia tahu dan maklumi bahawa, musuh-musuh Islam telah menggunakan apa jua cara bagi memesongkan pemikiran umat Islam agar terus leka dan lagha. Para orientalis dan Yahudi telah menggunakan sukan bola sepak ini (football) sebagai antara lain senjata mereka dalam strategi 'F' yang mereka gunakan bagi mengalih perhatian umat Islam daripada perjuangan sebenar menegakkan Islam di muka bumi ini. Oleh itu, bagi yang sangat meminati sukan bola sepak ini, khususnya Piala Dunia yang berlangsung sekarang, hendaklah berhati-hati dengan perangkap ini. Tidak salah untuk meminati sukan ini, namun dalam pada masa yang sama janganlah kita hilang fokus tanggungjawab sebenar kita sebagai seorang muslim.
Sidang bloggerwan yang dikasihi,

Dalam keghairahan kita dengan tumpuan fokus kepada perlawanan, kita sanggup bangun di tengah malam/ dini hari semata-mata untuk menonton perlawanan akhir itu nanti. Namun, janganlah kita kehilangan fokus untuk bertahajjud malam. Ambillah sedikit masa untuk kita memfokuskan pemikiran kita kepada Allah. Tahajjud merupaka antara senjata kekuatan umat Islam.


Begitu juga, dalam kesibukkan kita membaca jadual perlawanan, jangan pula kita kehilangan fokus untuk meluangkan sedikit masa untuk membaca ayat-ayatNya yang terkandung di dalam al-Quran. Jangan pula kita sibuk membasahkan 'zikir' kita dengan bola bola bola, sehingga mengabaikan zikrullah kita.




Sepanjang Piaa Dunia ini, kita sibuk memperkatakan nama-nama negara yang bertanding dalam perlawanan tersebut. Belanda, England, Jerman, Spanyol, Ghana, Korea, Argentina, Brazil dan sebagainya. Begitu juga nama-nama para pemain mereka yang kita hafal. Namun, kita janganlah hilang fokus tentang isu-isu yang melanda negara-negara Islam (negara Ummah). Hampir-hampir kita telah lupa daripada membicarakan isu Palestin...tentang nasib masjid Al-Aqsa yang kini terancam oleh tangan-tangan Zionis Yahudi.




Nasib yang melanda rakyat Iraq yang saban hari bertarung dengan pasukan Amerika Syarikat...




Dan juga Afghanistan yang masih lagi bergelut menentang kuasa penceroboh yang diketuai oleh Amerika Syarikat juga...



Sidang bloggerwan yang dikasihi,

Begitu juga, dalam keseronokan kita melaungkan sorakan 'Goooooooolllllll!' tatkala melihat pasukan kegemaran kita berjaya menjaringkan gol, hampir-hampir kita kehilangan fokus kita untuk mengingati dua tiang gol di bawah...kerana sampai masanya kita jua akan 'gol' juga.




Semoga peringatan ringkas ini bermanfaat untuk diri saya dan para bloggerwan sekalian. Wallahualam.




Rabu, 7 Julai 2010

SEMASA: AWAS DUA PEMBINASA!

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Setakat entri ini ditulis, sudah 27 hari bola Jabulani Piala Dunia 2010 bergolek-golek di beberapa buah padang di stadium bola sepak Afrika Selatan. Ratusan juta warga dunia bagaikan tersihir oleh golekkan Jabulani. Walau apa pun, sebagai peminat sukan bola sepak, janganlah sampai iman kita pun tergolek sama ke jaring gawang yang di pasang oleh Sang Iblis dan Syaitan. Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana sepanjang musim Piala Dunia ini berlangsung, terdapat dua unsur pembinasa iman yang telah dikesan dengan ketaranya. Apakah dua pembinasa tersebut?

Pertama, JUDI BOLA. Setiap kali musim Piala Dunia, inilah wabak penyakit yang membinasakan iman seorang muslim yang melanda di seluruh dunia. Jutaan kaki bola menjadi kaki judi. Mereka sanggup bertaruh ratusan ringgit, malah ratusan ribu ringgit semata-mata untuk bertaruh pasukan mana yang menang. Selaku peminat bola yang bergelar muslim, jangan kita mudah terpengaruh dengan gejala ini. Di negara kita, hampir-hampir lesen judi bola ini diluluskan oleh pihak kerajaan, namun setelah mendapat bantahan yang sengit, akhirnya kerajaan mengambil langkah menarik balik cadangan tersebut.


(dipetik daripada Berita Minggu)
Kedua, PERCAYA KEPADA RAMALAN TUKANG TILIK. Piala Dunia kali ini berbeza dengan Piala Dunia tahun-tahun sebelumnya. Kali ini muncul watak bergelar Paul, Si Sotong Kurita yang dipercayai boleh membuat ramalan tepat tentang pasukan mana yang akan menang dalam sesuatu sesi perlawanan. Memang apa yang diramalnya ada yang menjadi kenyataan. Kesannya, orang-orang kita pun ada yang percaya juga dengan ramalan Paul ini. Alahai, apa sudah jadi dengan iman peminat bola dalam kalangan umat Islam kali ini.


(Paul yang dikatakan boleh meramal masa depan)

Sedarlah, semua kerja-kerja ini (judi dan menenung nasib) boleh mengundang kebinasaan kepada iman kita. Lebih-lebih lagi yang percaya kepada ramalan dan mengakui sesuatu makhluk berkuasa dalam menentukan perjalanan hidup pada masa depan, silap-silap boleh jatuh syirik yang merupakan dosa yang sangat besar yang tidak diampunkan, melainkan kena bertaubat dan mengucap semula (semoga kita dijauhi dengan sifat keji begini).

Renungilah firman Allah ini yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung."
(al-Maidah:90)
Begitulah rencah-rencah yang berlaku sepanjang musim Piala Dunia kali ini. Sebagai peminat bola yang mempunyai iman di hati, janganlah kita menggadaikan iman kita untuk perkara-perkara yang merugikan ini. Awas dengan perangkap iblis dan syaitan ini. Cukuplah sekadar dengan kita terhibur melihat Jabulani tergolek ke dalam gawang gol. Jangan sampai kita pula tergolek ke gawang pintu neraka lantaran iman kita yang dibinasakan oleh dua perbuatan keji tersebut.

(Awas, jangan sampai terperangkap dalam jaring yang dipasang iblis!)


WALLAHUALAM

Isnin, 5 Julai 2010

BERKONGSI RASA: SANGGUP BERBOGEL!


(sekadar gambar hiasan)
بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang maha Pemurah lagi maha Penyayang
Terkedu tatkala membaca komen dan jawapan seorang pelakon tanah air yang bergelar muslim tentang kesanggupannya berbogel dalam satu penggambaran filem. Wawancara tersebut disiarkan di dalam sisipan Pancaindera(Mingguan Malaysia) semalam. Berikut diperturunkan sedikit daripada wawancara tersebut untuk direnungi bersama;
Perlu ke sampai berbogel?
Pada mulanya, saya diberi seluar dalam warna kulit dan apabila air dan buih sabun mula mengalir di seluruh badan, keadaan menjadi tidak selesa. Barangkali ramai faham apabila mandi, banyak orang lebih selesa berbogel. Akhirnya, saya meminta kebenaran daripada pengarah...mandi bogel dan dia bersetuju dengan permintaan saya itu.
Bagaimana keadaan ketika penggambaran adegan itu?
Penggambaran dilakukan dari sudut tepi dan 'benda tu' (alat sulit) saya tak nampak. Saya juga mendapatkan panduan daripada seorang juru mekap bagaimana untuk 'menyelitkan' 'benda tu' ke bawah agar tidak kelihatan bagi menggambarkan watak Ruby yang telah membuang alat sulit. Selesai adegan itu, pengarah memuji lakonan saya dan menyifatkannya salah satu adegan yang paling berjaya dalam filem itu.
Maksudnya awak berbogel di hadapan ramai krew?
Sudah tentu di hadapan saya ada pengarah. Jurukamera, jurcahaya, jurumekap dan penolak rel pun ada juga. Ada dalam 10 krew ketika itu.
Ish!Tak malu ke, boleh bogel macam tu?
Memang malu. Lagipun bercanggah dengan norma masyarakat, saya pun orang Islam, tahu hukumnya haram melakonkan watak perempuan dan menambah dosa lagi apabila mendedahkan aurat pula. Namun ia berbalik kepada niat dalam hati untuk menyampaikan mesej positif. Saya mahu penonton tidak mengikut jejak Ruby yang sanggup mengorbankan segala-galanya apabila menukar jantina dan tinggalkan keluarga hanya kerana cinta kepada kaum sejenis. jangan buat macam Ruby, itu mesej saya.
Begitulah bunyinya jawapan pelakon tersebut. Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Adakah ini kerana kejahilannya? Masyarakat kita perlu menegur dan menasihat sesetengah pelakon kita yang sanggup bertindak di luar batasan agama semata-mata hendak mengejar populariti dan nama. Perlu difahami bersama bahawa walau apa pun niat kita (baik, suci, mulia) namun jika dengan cara dan pendekatan yang salah yang bertentangan dengan syariat, ia tetap tidak boleh diterima sebagai kebajikan. Di mata manusia mungkin nampak ya, tapi pada sisi Allah ia bukanlah suatu tindakan yang terpuji.