SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Sabtu, 27 Mac 2010

PERUTUSAN PERASMIAN BLOG MindaHati

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Sidang para pengunjung blog yang saya hormati,

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jua, maka saya telah diberi kekuatan untuk membina/menghasilkan blog sulung saya ini. Kehadiran blog ini bukan hanya sekadar untuk memeriahkan bilangan blog-blog yang sudah sedia ada, namun ia mempunyai suatu objektif yang tersendiri khususnya dalam mewujudkan suasana perkongsian ilmu pengetahuan dalam kalangan para pengunjung blog, sama ada anda sebagai blogger atau hanya sebagai pembaca. Atas dasar inilah, maka penulis memilih nama untuk blog ini dengan nama MindaHati.

Mengapa MindaHati?
Ya, mengapa MindaHati sebagai pilhannya. Kata MindaHati adalah gabungan daripada perkataan Minda dan Hati. Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), perkataan 'minda' membawa maksud 'akal fikiran, daya fikir' manakala perkataan 'hati' merupakan kata dasar yang berupa homonim dan saya memilih pengertiannya yang pertama (I) yang merujuk kepada maksudnya yang ketiga (3) iaitu 'batin (tempat perasaan, pengertian dll). Jadi, gabungan daripada dua perkataan ini membawa pentafsiran penulis bahawa setiap idea atau pandangan yang tercetus dari akal fikiran haruslah digerakkan oleh niat hati yang ikhlas dan disampaikan dengan penuh hikmah (bijaksana). Maka, dengan itu jugalah saya memilih tagline 'Marilah Kita Mencanai Minda Dengan Hati Yang Ikhlas'.

Sidang pengunjung blog yang saya hormati,

Dalam blog ini juga, saya amat mengalu-alukan pandangan daripada para pengunjung dan blogger dalam apa-apa jua isu atau perkara yang cuba dibincangkan, sama ada oleh pemilik blog ini mahu pun oleh para pengunjung. Namun pandangan atau tulisan daripada para pengunjung blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog dan malah pemilik blog tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diposkan. Perbezaan pandangan memang wujud dalam kalangan kita. Kerana itulah, saya mengharapkan agar 'perbezaan' itu dapat dimanfaatkan dalam usaha kita mencari suatu kebenaran. Perkara-perkara yang sensitif pula perlulah disampaikan dalam bahasa yang penuh hikmah, tidak keterlaluan dan penuh tertib.
Bunyinya memang agak terlalu formal. Namun, percayalah dalam hal ini saya lebih suka gaya penyampaian di sini dalam keadaan santai dan tidak terlalu formal. Dari segi gaya bahasa dan lenggok tutur kata terpulanglah kepada cara para pengunjung blog sendiri, mana yang lebih selesa anda gunakan.

Sidang pengunjung blog yang saya hormati,

Bersama-samalah kita memeriahkan blog ini untuk bertukar-tukar fikiran dan rasa, kerana di dalam itu nanti kita akan menjumpai sesuatu yang akan menjadi ilmu baru dalam kehidupan kita. Itulah harapan saya tatkala hendak membina blog ini. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, maka rasmilah Blog MindaHati ini pada 27 Mac 2010 Masehi bersamaan dengan 11 Rabiul Akhir 1431 Hijrah, hari Sabtu. Semoga Allah sentiasa merahmati kita sepanjang kita berblogging.

Sekian, terima kasih.



2 ulasan:

  1. salam cikgu..

    ktk paduhal.hehehe.. :)

    apa2 pun, tahniah cikgu di atas penulisan blog tok..permulaan yg bagus.. gud luck.. ^_^

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas kunjungan cik_mazni. Blog ini masih baru dan masih banyak kelemahannya. Saya mengharapkan sokongan, komen dan pandangan daripada para 'bloggerwan' untuk memantapkan lagi laman ini pada masa akan datang. Semoga cik_mazni tidak jemu untuk bertandang ke sini.

    BalasPadam