SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Selasa, 11 Mei 2010

MENCANAI MINDA : PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH.

Minggu lepas, ketika saya sedang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dalam sebuah kelas Tingkatan Dua, tiba-tiba seorang pelajar perempuan mengangkat tangan.
"Ya, ada apa Bebiyana?" tanya saya pula.
"Er, saya nak tanya satu soalan kepada cikgu. Dah lama saya fikirkan perkara ini cikgu," kata pelajar terbut.
"Ya, apa soalan awak tu,"
"Saya harap cikgu tak marah nanti," katanya lagi. Saya semakin teruja juga apa bentuk soalan yang hendak ditanyakan itu.
"Er, saya nak tahu baby tu berada dalam mana cikgu? Dalam perut ke? Bukankah dalam perut tu ada makanan dan usus pula ada najis dalam tu?" Dia bertanya agak malu-malu.
Arghh! kenapa boleh dapat soalan ini dalam subjek Bahasa Melayu. Mungkin juga sebab saya menerangkan soal risiko kahwin lewat kepada pelajar-pelajar saya.
"Bagus soalan awak itu," kata saya untuk menghilangkan rasa bersalahnya kerana menyoalkan sesuatu yang tidak terfikir oleh rakan-rakannya yang lain.
"Ha'ah, saya pun nak tahu juga cikgu," sampuk seorang lagi pelajar perempuan.
Saya mengangguk faham. Untuk tidak menghampakan mereka saya pun menerangkan kedudukan sebenarnya bayi dalam kandungan berdasarkan apa yang telah saya pelajari semasa zaman persekolahan dulu ketika mengikuti kelas Biologi dan Kemasyarakatan dalam bab 10, Sisitem Pembiakan Manusia (wah, masih ingat lagi saya hehehehh).
Saya pun, "Sebenarnya bayi tu bla..bla..bla..bla..bla..bla..bla...bukan dalam perut."
"Oo..bukan dalam perutlah cikgu?"
"Bukan." jawabku tegas.
Mereka mengangguk-angguk. (tak pasti sama ada faham atau hanya sekadar mengangguk. Saya harap mereka faham).
Hmm..sejak akhir-akhir ini isu tentang wajarkah pendidikan seks di ajar di sekolah sebagai satu mata pelajaran khas menjadi perbahasan dan polemik dalam kalangan bijak pandai , menteri, pemimpin NGO, dan masyarakat khususnya ibu bapa. Ini kerana, gejala seks bebas hingga membawa kepada gejala pembuangan bayi kian meruncing dalam masyarakat belia kita. Alasan ini menyebabkan sesetengah pihak mahukan agar pendidikan seks ini perlu diajar di sekolah. Namun, bagi pihak yang menentang pula, juga menggunakan alasan yang sama. Mereka bimbang pendidikan seks itu nanti akan menambah nilai kepada masalah tersebut sehingga menjadi kian parah.
Semalam, Harian Metro ada memaparkan isu ini di halaman Variasinya di dalam artikel bertajuk "Modul Pendidikan Seks di Sekolah". Saya amat tertarik dengan satu baris ayat oleh pengarangnya yang berbunyi;
"..mana lebih baik, sama ada seks dibicarakan secara terbuka dalam suasana ilmiah atau membiarkan pelajar mencarinya melalui Internet yang kesannya lebih berbahaya?"
Di sini juga saya perturunkan beberapa petikan kata daripada Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Puncak Alam, Selangor, Sulaiman Selamat seperti mana yang disiarkan di dalam artikel tersebut.
"..Soal seks dalam masyarakat kita terlalu tertutup, menyebabkan golongan yang ingin memperoleh maklumat sering kali dipandang serong. Mereka lupa, pertanyaan dan pendedahan itu satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Apa yang menjadikannya jijik dan kotor adalah istilah semata-mata.."
"..Jangan kita sempitkan minda kerana itu cabang ilmu yang perlu dipelajari. Justeru, masyarakat perlu mengubah mentaliti mengenai seks bagi mengelak ia menghalang proses pembelajaran.."
"..Antara matlamat awal pengenalan pendidikan ini ialah untuk mendidik individu secara ilmiah mengenai fungsi tubuh secara biologi. Malangnya, ia disalah guna menjadi seperti subjek tidak bertamadun sedangkan agama juga menitik beratkannya.."
Sebelum kenyataan ini dikeluarkan, saya secara jujurnya amat menyokong pendidikan seks ini diajar di sekolah. Betul, ia merupakan salah satu cabang ilmu, mengapa perlu kita nafikan. Negatif sangatkah ilmu seks ini? Jijik sangatkah apabila kita membicangkan soal haid, nifas, mandi junub, batas-batas aurat, mani, mazi, pergaulan lelaki perempuan, batas-batas berpakaian, perkahwinan, kelahiran.? Lucah sangatkah apabila kita membincangkan soal-soal fungsi alat-alat pembiakan, faraj, zakar, vagina, rahim, sperma, zigot, kromosom dan sebagainya? Erotik sangatkah jika kita membicangkan secara ilmiah tentang susuk tubuh dan anatomi manusia jantan dan betina? Walhal ia dibicara dan diajar secara ilmiah. Ia tidak diajar seperti mana pendedahan seks oleh filem-filem Holywood atau Bolywood atau sesetengah filem Melayuwood sekarang ni. Buku teksnya pula tidaklah seperti sesetengah tulisan novel-novel picisan yang membicarakan soal seks yang melambak di pasaran. Pelik masyarakat kita, perkara baik yang diajar demi ilmu ditakuti, namun pada masa yang sama membenar dan melulus pula penyiaran filem-filem yang berbau seks keterlaluan, majalah-majalah hiburan yang mendedahkan susuk tubuh artis yang menggiurkan dijual secara bebas di pasaran. Tidak termasuk masyarakat 'mengiyakan' penjualan VCD lucah secara terbuka bersama VCD cetak rompak. Nah, di manakah nilai sebenar yang perlu kita pakai dalam membicarakan soal seks. Islam hanya tegas dalam mengharamkan unsur-unsur yang membuka kepada ruang berlakunya zina/seks bebas. Tapi pendidikan seks bukanlah unsur yang membuka ruang tersebut. Jangan pula kita silap dalam membuat penilaian.
Apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini, khususnya kes gejala seks bebas dan pembuangan bayi bukanlah disebabkan kerana kurangnya pengetahuan remaja/belia kita tentang soal seks atau kerana terlebih faham mereka tentang soal seks ini. Ini disebabkan oleh banyak faktor yang kita semua sedia maklumi sebab-sebabnya.
Cuma, saya lebih suka kalau pendidikan seks ini hanya diserapkan sahaja dalam subjek-subjek yang sedia ada yang sesuai dan berkaitan dalam pembicaraan tersebut seperti Pendidikan Islam, Sains atau Biologi. Cuma perlu diperhalusi lagi dan dibuat penambahbaikan kepada isi kandungannya. Jika diwujudkan subjek baru yang berasingan, bimbang pula ia akan mendatangkan masalah lain dalam pendidikan negara, khususnya beban pelajar dan beban guru yang melibatkan penambahan masa persekolahan dan jumlah buku. Sekarang ini pun isu beg berat belum selesai lagi. Begitu juga masalah kekurangan guru dan beban guru di sekolah masih belum mampu diselesaikan sepnuhnya. Kita risau nanti seperti apa yang dikatakan oleh orang tua-tua, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".
Ini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin kalian ada pandangan lain untuk kita kongsikan bersama, atau mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya. Biarlah kita membicarakannya dalam penuh santai dan dengan hati yang jujur demi pencarian ilmu.

7 ulasan:

  1. salam,
    yg slalu org bygkn apabila disebut pendidikan seks ialah guru2 menagajar cara nk mlakukan hubungan seks dan bimbang murid nak praktis. taboo...:)

    BalasPadam
  2. salam. kali ini saya lebih suka jika pendidikan itu diajar merentas kurikulum sepertimana bahasa. Subjek ini perlu dalam memenuhi tuntutan semasa pelajar yang semakin maju dan penuh keinginan utk mengetahui. Dengan bimbingan guru, pelajar akan lebih terpandu dan memandang perkara tersebut sebagai ilmu disampaing diselitkan dengan penyampaian moral terhadap sesuatu perkara berkaitan seks. Ini adalah lebih baik jika dibandingkan dgn aktiviti 'cari sendiri di internet'.. ya, memang tak dinafikan mereka klik sahaja, nah..tersedia bermacam-macam info..namun, dgn adanya guru, mereka lebih terpandu~ wallahu'alam.

    BalasPadam
  3. salam...from my point of view...kita rasanye kana sedikit ada shift kat sini about whata sex means in this particular subject...

    ye saya setuju...ia sebagai sisipan dalam banyak subjek dan bukan isolated...saya masih ingat waktu saya bersekolah rendah dahulu ada satu subjek di sekolah rendah telah pun ada satu subjek..dipanggil ILMU KESIHATAN to me this is also related to the PENDIDIKAN SEKS'yang mereka cakapkan...dan bile hujung sekolah rendah juga dalam subjek agama kita juga diajar macamana mandi wajib dan semua perkara yang berkaitan dengannya...so banyak juga secara tidak sedar tetapi relevan dalam silibus pendidikan moden kerajaan ada pendidikan seks...so permurnian dan kaizen perlu untuk pendidikan seks ini... sekadar pandangan...

    BalasPadam
  4. Terima kasih atas ziarah kalian pada entri ini.
    Terima kasih juga atas pandangan yang diberi. Mungkin masih ada lagi pandangan bernas di luar sana yang diharapkan dapat dikongsikan di sini.

    1. piewahid - lazimnya begitulah tanggapan sesetengah orang apabila disebut tentang seks.

    2. akuinsanlemah - Ya, itulah pentingnya belajar berguru berbanding belajar berinternet.

    3. uNcLeJoE - Benar seperti apa yang dikatakan. Pendidikan seks sebenarnya sudah lama wujud dalam silibus pelajaran di sekolah, cuma masyarakat yang tidak menyedarinya.(Mungkin golongan inilah yang tidak pernah memantau buku sekolah anak-anak di rumah(?))

    BalasPadam
  5. salam ziarah...
    betul tu..pendidikan seks diterapkan secara tidak langsung dalam m/pelajaran tertentu..dalam program2 tertentu pun boleh dibuat..contohnya seperti yang saya buat semasa brpraktikum di sebuah sekolah, saya telah berceramah dengan hampir 60+ murid perempuan secara tertutup dan rakan saya pula memberi ceramah kepada murid lelaki di tempat lain dan ceramah saya adalah bertajuk "Ceramah Awal Remaja" yang banyak menitik beratkan tentang semua anggota badan termasuklah perkara2 yang sukar untuk diperkatakan secara terbuka serta diserapkan sekali dengan ajaran agama...bagi saya,wajar program ini dijalankan agar sedikit sebanyak mereka tahu sedikit perkara yang tidak boleh dilakukan...

    BalasPadam
  6. fieza_sauti, terima kasih atas ziarah entri ini dan berkongsi pengalaman dalam isu ini. Pendidikan seks tidak semestinya disampaikan secara langsung, namun masih boleh disampaikan secara tidak langsung dengan pelbagai pendekatan yang sesuai, asalkan isinya sampai kepada pengetahuan pelajar/murid.

    BalasPadam
  7. mintak tumpang memberi pendapat..

    kebanyakan orang mendefinasi kan seks hanya sebagai hubungan kelamin.sebab itu lah mereka menganggap ianya tidak wajar di pelajari dan dibertihu kepada para remaja

    walhal sebanarnya ilmu tentang seks ini sgt meluas.dan pada saya lebih baik menukarkan penggunaan ilmu seks itu kepada ilmu kesihatan.sbb seperti yang saya katakan td ramai menganggap da word seks hanya ke arah tersebut..

    mengambil contoh saudari,penceritaan bagaimana seorg bayi boleh terhasil.memandang tajuk ini baru saya belajar,saya rasa sgt terpegun dengan kejadian manusia.dan paling saya terpegun ,scientic science yang menerangkan kewujudan bayi sbenarnya telah lama tercatit di dalam Al-quran.Allah maha besar.dr situ jugalah saya dpt belajar pendidikan seks yang secara tidak langsung dapat juga memahami dan mendalami isi Al-Quran.

    banyak sebanarnya kaitan ilmu ini dengan islam.cntoh dr segi kebersihan,tubuh badan kita yang sgt complex diciptakan,dan banyak lagi.[contoh2 sudah di beritahu oleh saudari dlm teks].so,jom ramai2 mendalami ilmu ini.kepada mereka yang tidak setuju,apakata kita cuba dahulu mendalami ilmu ini,baru membuat penilaiannya sama baik atau buruk.
    ok.tu je la kot.
    salamalaik.

    BalasPadam