SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Rabu, 7 Julai 2010

SEMASA: AWAS DUA PEMBINASA!

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Setakat entri ini ditulis, sudah 27 hari bola Jabulani Piala Dunia 2010 bergolek-golek di beberapa buah padang di stadium bola sepak Afrika Selatan. Ratusan juta warga dunia bagaikan tersihir oleh golekkan Jabulani. Walau apa pun, sebagai peminat sukan bola sepak, janganlah sampai iman kita pun tergolek sama ke jaring gawang yang di pasang oleh Sang Iblis dan Syaitan. Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana sepanjang musim Piala Dunia ini berlangsung, terdapat dua unsur pembinasa iman yang telah dikesan dengan ketaranya. Apakah dua pembinasa tersebut?

Pertama, JUDI BOLA. Setiap kali musim Piala Dunia, inilah wabak penyakit yang membinasakan iman seorang muslim yang melanda di seluruh dunia. Jutaan kaki bola menjadi kaki judi. Mereka sanggup bertaruh ratusan ringgit, malah ratusan ribu ringgit semata-mata untuk bertaruh pasukan mana yang menang. Selaku peminat bola yang bergelar muslim, jangan kita mudah terpengaruh dengan gejala ini. Di negara kita, hampir-hampir lesen judi bola ini diluluskan oleh pihak kerajaan, namun setelah mendapat bantahan yang sengit, akhirnya kerajaan mengambil langkah menarik balik cadangan tersebut.


(dipetik daripada Berita Minggu)
Kedua, PERCAYA KEPADA RAMALAN TUKANG TILIK. Piala Dunia kali ini berbeza dengan Piala Dunia tahun-tahun sebelumnya. Kali ini muncul watak bergelar Paul, Si Sotong Kurita yang dipercayai boleh membuat ramalan tepat tentang pasukan mana yang akan menang dalam sesuatu sesi perlawanan. Memang apa yang diramalnya ada yang menjadi kenyataan. Kesannya, orang-orang kita pun ada yang percaya juga dengan ramalan Paul ini. Alahai, apa sudah jadi dengan iman peminat bola dalam kalangan umat Islam kali ini.


(Paul yang dikatakan boleh meramal masa depan)

Sedarlah, semua kerja-kerja ini (judi dan menenung nasib) boleh mengundang kebinasaan kepada iman kita. Lebih-lebih lagi yang percaya kepada ramalan dan mengakui sesuatu makhluk berkuasa dalam menentukan perjalanan hidup pada masa depan, silap-silap boleh jatuh syirik yang merupakan dosa yang sangat besar yang tidak diampunkan, melainkan kena bertaubat dan mengucap semula (semoga kita dijauhi dengan sifat keji begini).

Renungilah firman Allah ini yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung."
(al-Maidah:90)
Begitulah rencah-rencah yang berlaku sepanjang musim Piala Dunia kali ini. Sebagai peminat bola yang mempunyai iman di hati, janganlah kita menggadaikan iman kita untuk perkara-perkara yang merugikan ini. Awas dengan perangkap iblis dan syaitan ini. Cukuplah sekadar dengan kita terhibur melihat Jabulani tergolek ke dalam gawang gol. Jangan sampai kita pula tergolek ke gawang pintu neraka lantaran iman kita yang dibinasakan oleh dua perbuatan keji tersebut.

(Awas, jangan sampai terperangkap dalam jaring yang dipasang iblis!)


WALLAHUALAM

4 ulasan:

  1. t kasih,
    iblis laknatullah akan mengambil peluang dlm apa sahaja cara & bentuk tmasuk ketika beribadah... inikan pula ketika kita bsuka ria.

    BalasPadam
  2. Salam...

    Syukran..

    Iblis tidak pernah jemu untuk menyesatkan manusia, untuk sama-sama menghuni neraka Allah nanti.

    BalasPadam
  3. salam,

    terima kasih atas peringatan moga kita semua tak terjerat dalam kebatilan..

    BalasPadam
  4. Terima kasih kepada kalian yang menziarahi entri ini.

    1. piewahid - Benar, perangkap iblis mudah masuk dalam masa kita bersuka ria. Ketika itulah Iblis memasukkan jarum 'lagha' sehingga kita lupa untuk mengingati Allah.

    2. Abd. Razak - Itulah kelebihan Iblis, dia tak mudah berputus asa menyesatkan manusia.

    3. penjejak maya - kita saling ingat-mengingati dalam soal ini.

    BalasPadam