(gambar dipetik dari Utusan Malaysia)
GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLL!!!!!!
GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLL!!!!!!
Begitulah sorakan puluhan ribu penonton dan penyokong pasukan Afrika Selatan yang menggegarkan Stadium Soccer City tatkala menyaksikan pemain bola sepak pasukan tuan rumah Siphiwe Tshabalala menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa menentang pasukan Mexico semalam (11 Jun 2010). Gol pertama Piala Dunia 2010 tersebut dijaringkan pada minit ke-54 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, sebaik selepas majlis pembukaan Piala Dunia dilangsungkan di stadium yang sama.
Namun, kegembiraan pemain dan penyokong pasukan tuan rumah tidak berpanjangan. Pasukan Mexico terus mara dan berjaya merembatkan jaringan tunggal mereka ke gawang Afrika Selatan pada minit ke-79 melalui kaki Rafael Marquez. Kesudahannya, kedua-dua pasukan seri 1 sama.
Kini, demam bola kembali melanda seluruh dunia. Virus demam tersebut terus tersebar mengatasi virus HINI. Kesannya, ramai peminat bola sepak di negara kita kini rajin 'bertahajud' di tengah malam. Malah demam ini juga bertambah kronik tatkala menyerang kaki judi bola. ratusan, malah ribuan ringgit dipertaruhkan untuk pasukan yang dijangka menang dalam setiap perlawanan. Malang bagi golongan ini yang mencemarkan sukan ini dengan perkara maksiat tujuh pembinasa tersebut. Dalam keghairahan semangat kita menyaksikan perlawanan Piala Dunia ini, jangan sampai kita 'menendang' iman kita sehingga terlibat dalam pertaruhan judi dan lalai melaksanakan ibadah solat khususnya solat subuh. Jangan hairan nanti, sepanjang berlangsungnya Piala Dunia ini kita dapati ramai 'pejuang' ini 'bertahajud' malam namun akhirnya syahizzzzzzzzz..... di tempat kerja atau di pejabat. Apa-apa pun, berpada-padalah dalam kita melayan minat dan semangat kita.