SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Ahad, 23 Mei 2010

UMUM : BUNGA-BUNGA HARAPAN MENGORAK KELOPAKNYA



Kerajaan Teliti Lesen Pertaruhan Piala Dunia



Begitulah tajuk berita yang disiarkan di muka hadapan oleh akhbar arus perdana, Mingguan Malaysia hari ini. Walaupun tulisan tajuknya agak kecil berbanding tajuk nahas pesawat Air India Express yang mengorbankan seramai 159 penumpang, namun nilai beritanya bagi saya adalah lebih besar dan penting bagi harapan suara hati jutaan umat Islam di negara ini yang membantah tindakan kerajaan memberi semula lesen perjudian kepada Berjasa Group bagi mengurus pertaruhan judi bola sempena Piala Dunia 2010 pada Jun ini.


Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tersebut;

" Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam."


"Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi)."


Jika inilah kata-kata yang terpancul daripada mulut TPM tersebut, maka sekurang-kurangnya sudah menampakkan bunga-bunga harapan yang kian mengorak kelopaknya kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk melihat agar pemberian lesen judi bola tersebut dibatalkan. Malah kalau boleh kerajaan perlu membatalkan atau menghapuskan seluruh lesen judi di negara Malaysia Darul Islam ini.


Selami pula pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pencetus Islam Hadhari dan kini sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam malaysia (JAKIM) yang turut memberi ulasan dalam isu ini seperti mana yang disiarkan dalam akhbar tersebut juga,

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan."


"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam, agama lain tak suka juga,"


Harapan kita semoga pihak kerajaan perlu mempertimbangkan dengan akal yang cerdik dan hati yang jujur setiap bantahan yang telah dilaungkan oleh suara-suara hati orang beriman di negara ini. Membantah bukan bermakna membenci kerajaan atau anti kerajaan. Sebaliknya untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan agar tindakkan dan keputusan pihak kerajaan dapat dipandu ke arah jalan yang lurus. Jalan yang lancar tanpa ada simpang siur yang boleh memeningkan kepala dan boleh membawa kepada sesat jalan.

Sikap ambil peduli pihak kerajaan terhadap bantahan tersebut juga memperlihatkan adanya keberkesanan perjuangan suara-suara rakyat kecil yang membantah isu lesen judi bola ini. Sepertimana yang pernah saya perkatakan bahawa, suara-suara kecil ini apabila ia dikumpulkan atau digerakkan dalam bentuk jamaah, ia mampu menjadi suara yang lantang dan kuat serta pic suara yang tinggi yang mampu meruntuhkan gunung!


Kita berharap juga agar kerajaan mampu memberi kata putus yang positif terhadap bantahan ini. Namun, jika keputusannya sebaliknya, maka suara-suara kecil ini jangan berputus asa dalam perjuangan menegakkan kesucian Islam. Teruskan bersuara walau di mana jua berada. sama ada dalam laman sesawang, jalan raya, halaman akhbar, kain rentang, sepanduk, warung kopi, lobi hotel, di dalam kantor atau di mana jua, selagi kita cinta akan kesucian Islam, tanggungjawab amal makruf nahi mungkar tetap kita teruskan dalam suasana yang aman.


Semoga Bunga-Bunga Harapan Terus Mengorak Kelopaknya....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan