SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Rabu, 9 Jun 2010

ISU : KAPAL YAHUDI ISRAEL DI PELABUHAN KLANG?

Tersentak tatkala membaca tulisan Zaini Hassan dalam kolum Cuit yang bertajuk 'Bendera Israel Berkibar di Malaysia?'. Artikel yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini memaparkan tentang kehadiran beberapa buah kapal perdagangan negara haram Israel yang berlabuh di pelabuhan antarabangsa negara kita di Pelabuhan Klang.
Dalam dunia masih lagi marah dengan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan komando Zionis Yahudi menembak mati beberapa aktivis sukarelawan pro Palestin di atas kapal flotila kemanusiaan Gazzah, kapal Mavi Marmara 31 Mei lalu, maklumat yang dipaparkan oleh penulis artikel tersebut (jika ia dari sumber yang benar), amat mendukacitakan kita. Pedih hati kesan 'tembakan' komando Zionis tersebut belum lagi sembuh dan dibebat dengan sempurna, kini satu lagi perkhabaran yang benar-benar menjadikan luka itu semakin pedih.

Dalam tulisan tersebut, penulis (Zaini), mendedahkan beberapa buah kapal perdagangan Israel yang dimiliki oleh syarikat perkapalan Zim Israel Navigation Company, telah dan pernah berlabuh di Pelabuhan Klang. Terbaru kapal Zim Genova dilaporkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 7 Jun lalu dengan membawa kargo-kargo besar. Beberapa hari sebelum itu kapal Zim Monaco telah berlabuh di Pelabuhan Klang. Begitu juga sekitar 20 Mei yang lalu kapal Zim USA dilihat berlabuh di pelabuhan antarabangsa negara kita. Di serombong kapal tersebut jelas tertera bendera Israel!
Memetik sedikit tulisan Zaini dalam artikel tersebut yang diambil dari e-mel yang diterima olehnya yang berbunyi;
"...Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.."

Jika benar apa yang didedahkan maka persoalan besar bermain difikiran saya, malah mungkin seluruh warga Malaysia ialah, bagaimana semua ini boleh berlaku dalam suatu urusan besar dan bersistematik ini sehingga ia tidak mampu dikesan oleh pihak kerajaan, khususnya pihak Kementerian Pengangkutan, pihak pengurusan Pelabuhan Klang serta West Port? Kalau ia hanya melibatkan perahu kecil seperti yang sering digunakan oleh agen penyeludup PATI ke negara ini, mungkin ada logik juga ia tidak dapat dikesan dengan cepat oleh pihak berkuasa. Tetapi kes ini melibatkan kapal kargo yang besar yang melalui beberapa proses dokumentasi sebelum ia berlabuh dan memunggahkan kargonya. Malah, jelas imej bendera Israel terpampang pada serombong kapal, maka tidak masuk akal jika kehadiran kapal-kapal ini tidak disedari.

Kita mengharapkan agar dalam masa yang terdekat ini akan ada penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam menjelaskan perkara ini. Ini sangat penting, selain ia didedahkan di dalam akhbar arus perdana maklumat ini juga bakal menaikkan lagi kemarahan rakyat, bukan sahaja kepada Zionis Israel, malah turut terpalit kepada pihak Kerajaan Malaysia yang selama ini terkenal lantang dalam memperjuangkan isu Palestin. Kita tidak mahu gara-gara diberi sebiji oren dan sebiji epal oleh Israel kita sanggup menggadaikan prinsip dan dasar anti Zionis kita.

2 ulasan:

  1. Salam..

    Mungkin ada agenda lain yang kita tidak tahu..

    Baca Malaysia Terkini mengenai APCO...

    BalasPadam
  2. Abd Razak - terima kasih atas ziarah entri ini. Kita risau dan bimbang kalau-kalau kes seumpama ini (kemasukan kapal-kapal Israel di pelabuhan antarabangsa Klang) juga kerana atas nasihat APCO.

    BalasPadam