SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Sabtu, 26 Jun 2010

SEMASA : ULAMA SERTAI UMNO DAN LESEN JUDI BOLA BATAL.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Agak lama juga saya tidak mengemaskini entri dalam blog ini. Hampir-hampir saja Sang Labah-labah membuat sesawangnya di sini. Maaf buat para sahabat bloggerwan andai kalian tertunggu-tunggu entri baru daripada saya. Alhamdulillah, pada hari ini ada sedikit kekuatan telah diberi olehNya untuk saya menulis entri ini sebagai perbincangan bersama.

Semalam ada dua peristiwa yang menarik hati saya untuk dipaparkan di sini. Dua peristiwa baik yang berlaku pada hari yang mulia, Jumaat penghulu sekalian hari. Pada hari itu kita umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal ibadah sunnah dengan tidak mengabaikan ibadah wajib. Berkat kemuliaan hari Jumaat itu jugalah maka berlakunya dua peristiwa baik tersebut


(gambar dipetik daripada Utusan Malaysia)


Pertama, peristiwa penyertaan 40 orang ulama muda ke dalam parti UMNO sebagai penambahan kepada 3 juta ahlinya yang sedia ada. Ini suatu perkembangan yang baik di dalam UMNO dalam memberi peluang dan ruang kepada golongan ilmuan agama untuk berbakti dalam penyebaran dakwah mereka. Mungkin timbul persoalan dalam sesetengah daripada kita, kenapa mereka tidak menyertai PAS? Jawapan tersebut hanya ada dalam diri mereka sahaja. Kita haruslah bersikap positif terhadap tindakan mereka. Mungkin mereka merasakan bahawa di dalam PAS sudah terlalu ramai golongan ilmuan agama (ulama) ini, dan mereka mendapati di sebelah pihak UMNO agak kekurangan. Maka kekurangan ini perlu diisi sebagai salah satu tanggungjawab dakwah mereka. Dengan cara ini mereka dapat berdakwah melalui dalam UMNO itu sendiri, bukannya dilakukan di luar lingkungan UMNO seperti yang telah dilakukan oleh pihak PAS dan pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang lain.

Menurut wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd Othman seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam UKM, penyertaan mereka itu bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu (UMNO) dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian. Malah menurut beliau lagi;

"Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak. Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,"

Begitulah, kita mengharapkan agar niat dan usaha mereka itu nanti akan berjaya dan sedikit sebanyak mampu memberi suatu yang baik dalam perkembangan dan kemajuan aktiviti Islam di negara ini. Apa yang penting nanti ialah sikap tegas dan keberanian mereka dalam memperkatakan perkara yang hak walaupun terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sendiri.

Kedua, ialah berita tentang pembatalan lesen judi bola. Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports). Keputusan itu dibuat atas dasar pertimbangan agama dan kesan politik.

"Oleh itu dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan," begitu antara lain kenyataan Perdana Menteri sebagaimana dipetik dari sebuah akhbar tempatan.

(Gambar dipetik dari Utusan Malaysia)

Kemelut dan polemik berkenaan isu lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia itu mulai tercetus sebaik Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek membuat kenyataannya di Dewan Negara pada 6 Mei lalu. Dalam kenyataan beliau itu, kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen judi bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia berlangsung bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian haram (tanpa lesen) di negara ini.
Kesan daripada pengumuman beliau itu telah menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi oleh pihak PAS. Malah dalam kalangan UMNO sendiri pun membantah pemberian lesen judi tersebut. Akhirnya, perjuangan rakyat yang kental Islam dalam dirinya telah membuahkan hasil kejayaan. Kemungkaran judi telah disekat daripada terus berleluasa dalam kalangan rakyat yang gemar berjudi. Sekurang-kurangnya, tindakan membatalkan lesen judi tersebut tidak menambahkan lagi lubang-lubang' maksiat yang memang sudah sedia ada membinasakan umat manusia di negara ini di samping pihak kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab mereka untuk tidak membenarkan perjudian bola buat masa ini. Semoga, tindakan dan keputusan kerajaan ini juga akan diperluaskan dalam pemberian lesen-lesen judi yang lain pula pada suatu hari nanti.
Inilah dua peristiwa baik yang berlaku pada hari yang baik tersebut. Semoga ia memberi suatu kebaikan kepada kehidupan kita di negara ini.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

.

6 ulasan:

  1. salam.
    JUDI ITU HARAM. Syukur atas kesedaran~
    Bola: Main bola dpt phala, tgk bola dapat apa? t'plg bagaimana medan tgk bola digunakan untuk apa..:)
    ULAMA MUDA: ERK, ana melihat kehadiran mereka mengulang sejarah awal bila hisbul muslimin dibubarkan di mana para ulama masuk ke dlm umno sebagai biro kerohanian. AKHIRNYA, mereka keluar dgn menubuhkan PAS.Kerana: mereka kurang selesa dgn unsur sekular yg menjadi mnjdi trs UMNO. apa pun, tunggu dan lihat apa peranan ulama' ini dlm 'memulihkan' masy parti~ sambil menyelam..minum air...wallahu'alam.

    BalasPadam
  2. akuinsanlemah, terima kasih atas ziarah. Main bola tu tengok keadaan jualah. Kalau tutup aurat insya Allah, dapat pahala. Tentang ulama muda ni...fenomena golongan ilmuan agama menyertai UMNO ni bukan perkara baru. Dulu dan sampai sekarang pun, masih ada golongan ilmuan agama ni kekal dalam UMNO. Tapi sayang, suara-suara mereka bagaikan tidak diendahkan, malah ada yang terpaksa mengikut rentak suara parti. Kita bimbang, kehadiran ulama muda ini nanti pun macam tu jugak dek 'kuasa' tertentu pihak dalam UMNO. Namun, kita berharap misi mereka kali ini akan berjaya. Tak salah kalau mereka nak mencuba...

    BalasPadam
  3. Salam,

    Sebelum kita pergi lebih jauh, sebenarnya kita perlu faham siapa itu ulama'? Apakah hanya sekadar istilah? Sebab ulama' ini ada bermacam-macam jenis juga.

    http://www.faridrashidi.com

    BalasPadam
  4. Mohd Farid, terima kasih atas ziarah entri ini. Awak betul, memang ada bermacam-macam jenis ulama seperti mana yang dihuraikan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Apa-apa pun kita mengharapkan agar golongan ilmuan agama ini mampu bersikap tegas, berani dan jujur dalam menyatakan perkara yang hak tanpa ada rasa bias kepartian.

    BalasPadam
  5. Salam...

    Mudah-mudahan atas kesedaran moga mereka (Ulama) boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik dan sempurna atas dasar bermuafakat sesama Islam

    BalasPadam
  6. Abd. Razak, terima kasih atas ziarah. Semoga itulah yang kita harapkan kepada golongan ulama dulu, kini dan selamanya....

    BalasPadam