SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Jumaat, 7 Mei 2010

MENCANAI MINDA: SOCRATES ADALAH LUQMAN AL-HAKIM?

Adakah Socrates merupakan watak yang sama kepada insan alim lagi warak, Luqman al-Hakim? Persoalan ini saya cuba bawa kepada pengunjung blog ini pada pagi Jumaat ini untuk diperhalusi. Saya cuba kongsikan apa yang telah saya baca di dalam buku karangan Muhammad Alexander, yang berjudul "Alexander Adalah Zulqarnain". Saya tidak membahaskan keseluruhan buku itu di sini, malah saya tidak menyentuh dahulu kisah Zulkarnain. Cuma saya amat tertarik dengan sekelumit fakta yang dipaparkan oleh pengarang di dalam buku tersebut. Saya perturunkan sedikit petikan daripada kandungannya (halaman xxii)

"...Socrates adalah guru yang bijak, yang dihukum mati dengan meminum racun pada tahun 399 SM di Athens. Ini kerana beliau menyebarkan ajaran monoteisme 'Tuhan itu satu' (Laa ilaha illallah), ia adalah kepercayaan yang bertentangan dengan paganisme politeisme Yunani pada ketika itu...Socrates adalah ahli falsafah yang bijak...Penulis berpendapat, Socrates adalah individu yang dikenali sebagai Luqman al-Hakim dalam al-Quran. Analisis linguistik, iaitu daripada aspek fonologi/fonetik (ilmu bunyi/suara bahasa, ilm ashwat) menunjukkan nama 'Luqman' berkemungkinan terhasil daripada perkataan Arab 'Laqman' (menelan), 'Luqoman' (beberapa suapan), 'Luqmatu'(sesuap), 'Laqimun' (yang menelan). Dalam konteks ini, 'Luqman' adalah gelaran bagi Socrates, iaitu sesuai dengan takdirnya sebagai orang yang 'menelan' racun. Jadi, Luqman dalam al-Quran adalah Socrates, 'orang bijaksana dari Athens' yang meminum racun. Hingga saat ini, iaitu sejak zaman Nabi Musa (1281 SM) hingga ke zaman Nabi Muhammad (632 M) sejarah belum menemukan orang bijak yang dihukum mati dengan cara meminum racun kecuali Socrates dari Athens sahaja..."

Kenyataan di atas hanyalah pendapat penulis itu sahaja. Ia serba mungkin. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak betul. Namun, kisah watak Luqman al-Hakim ini sangat terkenal terakam dalam al-Quran sehingga ada surah yang dinamakan dengan nama tersebut, Surah Luqman. Sedikit paparan watak Luqman dalam surah tersebut;

Firman Allah (maksud):
"Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkannya); "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)", dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Dan (ingatlah), tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberikan nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Luqman: 12-13)

Apabila saya meneliti pandangan tersebut, saya juga kuat mengatakan Socrates itu Luqman al-Hakim. Gelaran 'al-Hakim' itu merujuk kepada kebijaksanaan. Kita sudah sedia maklum, Socrates seorang ahli falsafah dan pemikir yang bijak dalam Tamadun Greek/Yunani. Malah saya punya teori, setiap nabi/rasul semestinya Allah turunkan dalam kalangan bangsa atau tamadun yang hebat. Contoh, Tamadun Maya di Amerika Selatan, memiliki kitab yang membincangkan soal kemusnahan alam (kiamat) sehingga sedikit menggemparkan dunia dengan Ramalan 2012 mereka (sehingga difilemkan), berkaitatan dengan kemusnahan bumi/alam. Mana mungkin mereka mengetahuinya melainkan Allah turunkan nabi di situ untuk memaklumkan asas kepercayaan tersebut (hari kiamat).

Maka, tidak mustahil juga Socrates itu termasuk insan yang Allah beri ilham tentang konsep ketuhanan sebenar kepada masyarakat Yunani yang maju, namun bergelumbang dengan maksiat dan amalan syirik. Cuba kita lihat nasihat Lukman kepada anaknya dalam maksud ayat yang telah dipaparkan di atas - jangan mempersekutukan Allah. Nah, ajaran inilah menyebabkan beliau dibunuh dengan menelan racun! Bukan sedikit nabi-nabi dan rasul yang dibunuh lantaran seruan dakwah ini. Taraf Lukman sama ada beliau hanya seorang alim yang warak sahaja atau beliau seorang nabi, pun wujud perbahasan dalam kalangan para ulama.

Saya cuba mengaitkan pula kesan ajaran Socrates ini terhadap murid Plato, iaitu Aristotle. Siapa Plato? Dia merupakan murid Socrates. Baik, saya kemukakan apa yang pensyarah Pengajian Sejarah saya kuliahkan dulu semasa menadah sekelumit ilmu dari beliau, Abdul Rahman Haji Abdullah( semoga Allah sentiasa merahmati kehidupannya) ketika membicarakan kandungan buku beliau "Wacana Falsafah Sejarah Perspektif barat dan Timur", berikut petikan dalam buku tersebut;

"...teori gerak oleh Aristotle juga merupakan hujahnya tentang kewujudan Tuhan, yang dikenali sebagai dalil gerak atau dalil kosmologi (cosmological argument). Menurut dalil ini, segala sesuatu yang bergerak menerima geraknya daripada sesuatu yang lain, bukannya ia bergerak dengan sendirinya. Setiap gerak menghendaki penggerak atau sebab pertama, hinggalah sampai kepada penggerak pertama yang tidak bergerak. Penggerak Pertama Yang Tidak Bergerak atau Prime Mover Unmoved (Primum Mobile Immatum) inilah yang dikatakan Tuhan menurut Aristotle." (halaman : 121)

Nah, konsep kekuasaan Tuhan Yang Satu turut dikembangkan oleh Aristotle, seperti mana ajaran Socrates. Aristotle ini pula guru kepada Alexander The Great (Iskandar Zulkarnain), yang terkenal juga kewarakannya sepanjang misi ketenteraannya sehingga berdepan dengan permasalahan Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini juga perlu kita ingat, betapa Barat cuba menyembunyikan fakta-fakta ini sehingga menyelewengkan ajaran-ajaran sebenar watak-watak ini, sepertimana mereka menyeleweng ajaran Nabi Isa. Perlu kita ingat juga, ilmu-ilmu Yuani ini suatu ketika dahulu hampir lenyap, sehinggalah Tamadun Islam membongkarkannya semula. Cuma kini, Barat mencedokkannya dari Dunia Islam dengan mengikut perspektif mereka. Sudah pasti banyak unsur-unsur ilmuan yang selari dengan Islam akan cuba dipadamkan mereka.

Nah, persoalan Socrates ini merupakan watak Luqman al-Hakim masih boleh dibahaskan lagi. Kenyataan di atas adalah serba kemungkinan. Mungkin ada lagi kajian yang lebih terperinci daripada itu yang boleh menyokong atau menolak pandangan tersebut. Mungkin kalian sendiri ada pandangannya?

ketak ketik ketuk : Tegurlah diri ini jika ada kesilapan....

7 ulasan:

  1. HUJAH PERTAMA YANG MENGATAKAN LUQMAN IALAH SOCRATES


    Nama “Luqman” MUNGKIN berasal daripada perkataan “laqm”. Perkataan “laqm” dipercayai bermaksud “menelan”. Oleh kerana Socrates mati kerana menelan racun, MUNGKIN dialah Luqman al-Hakim. Perkataan “menelan” itu MUNGKIN bermaksud ataupun ada kaitan dengan “menelan sesuatu”, “menelan racun”, “menelan bukan dengan perasaan suka” dan sebagainya. Atas dasar inilah MUNGKIN Luqman itu tidak lain ialah Socrates yang menemui ajalnya dengan menelan racun. Kebetulan Luqman ialah seorang ahli hikmah, dan Socrates juga seorang ahli hikmah.



    PENJELASAN SAYA:


    1. Kaedah “Mungkin” Sekelompok


    Terlalu banyak MUNGKIN, maka cubaan mencari persamaan sebegini tidaklah kukuh. Kita tidak menolak kemungkinan, tetapi jika terlalu banyak mungkinnya itu, membuatkan hujah di atas sangat kurang kredibilitinya. Kaedah “mungkin” sesuai jika digunakan sesekali, bukannya berkumpul setempat sebagaimana dalam kes di atas.


    2. Siapa Sebenarnya Luqman Si Penelan?


    Perkataan “Luqman” memang berasal daripada perkataan “laqm” yang membawa maksud “menelan”, tetapi orang-orang Arab jahiliyyah tidak menujukan perkataan ini kepada Luqman al-Hakim yang disebut dalam al-Quran. Mereka menisbahkannya kepada seorang lelaki yang kuat makan dan gelojoh menelan makanannya. Kegelojohannya MENELAN makanan membuatkan mereka menyebutnya sebagai Luqman.


    Ada beberapa pepatah yang masyhur dalam kalangan masyarakat Arab ketika itu seperti:


    “Kuat makan lebih daripada Luqman.”

    “Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang.’

    “Bertambah rakus Luqman tanpa merasa kenyang dengan dua bekas dan lapan satu perempat.”

    “Lebih kuat daripada Luqman al-‘Aadi.”


    Bani Tamim terkenal sebagai kaum yang menyukai makanan. Seorang penyair Bani Tamim mengatakan:


    Sekiranya tidak ada seorang pun

    Yang meninggal dunia dari kaum Tamim

    Maka ia menggembirakan dirimu

    Kerana dia masih hidup

    Lalu dia akan datang

    Membawa BEKALAN PENUH DENGAN ROTI

    DAGING, TAMAR atau APA SAHAJA

    Yang dapat dilipat dalam pakaiannya.


    Engkau akan melihatnya

    Membuat lubang

    Di sekeliling kaki langit

    Agar dia dapat makan

    Kepala LUQMAN BIN ‘AAD.


    Semua perkara di atas berkisar tentang seseorang yang dipanggil sebagai Luqman kerana kerakusannya terhadap makanan. Dia jadi lagenda kerana kelahapannya.


    Perkataan “laqm” bermaksud “makan dengan cepat”. Ini pandangan al-Abidin. Apabila seseorang makan dengan gelojoh, maka dia kurang mengunyah tetapi lebih banyak MENELAN. Dari sinilah datangnya nama Luqman yang bermaksud “menelan dengan cepat.” Tidak ada kena-mengena dengan MEMINUM RACUN, apatah lagi jika cuba dikaitkan dengan Luqman al-Hakim ataupun Socrates.


    Cerita mulut ke mulut mengatakan Luqman Makan Cepat ini berusia panjang. Dia berasal dari kaum ‘Aad, iaitu kaum Nabi Hud (sebelum zaman Nabi Ibrahim). Kaum ‘Aaad terkenal dalam sejarah kerana peristiwa mereka dihancurkan oleh tentera Allah berupa angina rebut yang sangat dingin selama 7 malam 8 hari.


    Dikatakan Luqman Makan Gelojoh ini seorang yang jahat. Dia suka melakukan jenayah, penipuan dan pengkhianatan menyebabkan banyak orang takut kepadanya. Kitab Mujma’ al-Amthal karya al-Maidani banyak mendedahkan latar belakang Luqman Makan Cepat ini.


    Jadi, orang inilah yang dikenali sebagai Luqman Si Penelan, bukannya Socrates yang mati kerana meminum racun. Dia hidup lebih kurang 2000 tahun sebelum Socrates dan 1400 tahun sebelum Luqman al-Hakim. Semoga tidak ada pihak-pihak yang terkeliru lagi selepas ini.

    bersambung di ...http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/05/luqman-al-hakim-bukan-socrates-bahagian.html

    BalasPadam
  2. Alexanderwathern, terima kasih atas ziarah entri ini.
    Bagus penerangan awak. Saya sudah membaca paparan dan hujah awak dalam blog awak. Inilah yang saya mahu, adanya kepelbagaian dalam mengupas sesuatu isu. Dalam hal ini saya tidak menganggap pandangan awak itu salah dan tidak juga menganggapnya betul. Ini kerana, persoalan tentang siapa Luqman al-Hakim itu memang sentiasa dibahas dan dianalisis sejak dulu hingga sekarang. Begitulah cara al-Quran mentarbiyah kita, adakalanya sesuatu pokok persoalan itu Allah terangkan secara jelas tanpa perlu dipertikaikan lagi. Adakalanya Allah biarkan sesuatu persoalan itu dalam bentuk 'klu-klu' yang meminta kita membuat kajian agar dengan ini akan melahirkan kepelbagaian bidang ilmuan dan sentiasa dinamis. Apa yang penting sekali ialah pokok pengajaran yang dibawa oleh Luqman al-Hakim dalam surah Luqman tersebut perlu kita hayati dan renungi dalam kehidupan kita. Mencari siapakah Luqman itu sekadar sampingan sahaja namun ia tetap bersifat penting dalam dunia keilmuan dan kajian.

    BalasPadam
  3. Artikel yang bermanfaat, ana tak dapat nak menghujah sebab ana tidak berpengetahuan dalam hal ini.

    Tapi selepas ini ana ingin beli buku 'Alexander Adalah Zulqarnain'. Sebelum ini ana ada beli buku 'Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain'.

    Disebabkan dua buku ini saling berkontradiksi antara satu sama lain, ana ingin membandingkan fakta antara dua buku ini, cuba mencari penjelasan lanjut.

    BalasPadam
  4. ibnu Jamaluddin, terima kasih atas ziarah entri ini.
    Saya juga memiliki buku 'Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain'. Saya suka mengumpul buku-buku berkisar sejarah dan misteri sejarah. Dari situ saya akan cuba membuat analisis sendiri. Harap selepas habis membacanya nanti bolehlah menyumbang pandangan di sini...

    BalasPadam
  5. Surah al-luqman berada selepas surah al-rom, mungkin ada perkaitannya disitu., kerana al-quran disusun 1400 tahun yg lalu

    BalasPadam
  6. Saya tertarik dengan kajian kisah hidup socrates yang sebelum ini tidak berapa diambil berat oleh kita kerana menganggap dia orang kafir. Apabila diperhatikan kisahnya seperti dikupas oleh saudara Muhammad Alexander, saya dapati kisahnya seumpama kisah para utusan tuhan yang kesana-kemari berjumpa masyarakat untuk memperjuangkan keesaan tuhan.

    Apabila diperhatikan, kisah socrates mempunyai banyak tauladan yang layak dijadikan sebab untuk kita juga berjuang menegakkan kebenaran bahawa tuhan itu esa, tidak serupa dengan segala sesuatu.

    BalasPadam