SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Sabtu, 8 Mei 2010

UMUM : HARI IBU 9 MEI

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU


Firman Allah (maksud):

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
(Luqman : 14)
Sketsa 1 : Batu Belah Batu Bertangkup.
"Melur, mana telur ikan tembakul yang mak suruh masak tadi?" Mak Tanjung bertanya kepada anak daranya, Melur, sebaik sahaja kembali dari membersihkan diri di perigi.
"Er,..adik Pekan dah makan semuanya." Melur menjawab dalam keadaan serba salah.
"Apa, Pekan dah makan semuanya!" Mak Tanjung terkejut.
"Nampaknya, kempunanlah mak nak makan telur ikan tembakul hari ini." Mak Tanjung terus meluru keluar. Hatinya sedikit merajuk dan terkilan dengan tindakan kedua-dua anaknya yang tidak meninggalkan sedikit pun telur ikan tembakul kegemarannya.
"Makkk, jangan pergi mak! maafkan Melur dan Pekan mak..." Melur memanggil dari arah belakang. Mak Tanjung melangkah cepat. Dia sudah tekad. Dia hendak mengadu kepada Batu Belah batu Bertangkup. Langkahnya semakin cepat meninggalkan Melur dan Pekan yang mengejar dari arah belakang. Kini dia sudah sampai di depan Batu Belah Batu Bertangkup.
"Batu Belah Batu Bertangkup, telanlah aku makanlah aku. Aku kempunan telur tembakul." ratap Mak Tanjung dengan linangan air mata.
"Maaf, aku tak boleh makan awak hari ini. Hari ini Hari Ibu, aku kena hormat awak sebagai ibu. Awak baliklah. Kesian anak-anak awak di rumah sana. Bayangkan, awak sudah menanggung susah payah mengandung mereka 9 bulan 10 hari. Sekarang senang-senang awak nak jadikan mereka itu yatim. Baliklah. Setakat telur tembakul tu bukan alasan untuk awak nak bunuh diri di sini. Dosa tau." Batu Belah Batu Bertangkup tiba-tiba bersyarah. Mak Tanjung terkejut. Dia terus insaf dan kembali semula ke rumah.
"Yee, mak dah balik!"jerit Pekan keriangan.
"Mak, Melur tukar dengan telur masin boleh tak?" Melur memujuk.
"Hmmm...apa-apa ajelah," Mak Tanjung tersenyum menatap wajah anak-anaknya.
moral cerita : Jangan lari daripada tanggungjawab sebagai ibu dalam memberi kasih sayang pada anak-anak.
Sketsa 2 : Si Tanggang Anak Derhaka.
Mak Limah yakin bahawa pemilik bahtera besar itu adalah anaknya, Si Tanggang yang sekian lama sudah meninggalkan kampung halaman. Dia mempercepatkan kayuhannya menuju ke arah bahtera tersebut.
"Bukan, kamu bukan emak aku!" itulah kata-kata yang terpancul dari mulut saudagar Tanggang sebaik sahaja Mak Limah menyatakan bahawa dia emak kepada Si Tanggang.
"Pengawal, halau perempuan tua terkutuk ni keluar. Pandai-pandai nak mengaku sebagai emak aku. Pergi!" Herdik Si Tanggang dengan angkuh dan kasar. Bagai nak luruh hati dan jantung Mak Limah mendengarnya. Tergamak anaknya itu berbuat demikian. Dia memang yakin itulah anaknya Tanggang. Tanda parut pada dahi anaknya itu akibat luka terjatuh pokok semasa zaman kanak-kanak dulu masih diingati Mak Limah. Sah itu anaknya.
"Tanggang, aku ni emak kau. Tengok betul-betul wajah mak ni," Mak Limah masih merayu.
"Ahh, wajah hodoh macam awak tu ada hati nak mengaku mak aku. Pergi cepat dari sini!" bentak Tanggang lagi. Isteri cantiknya hanya tersenyum di sisinya. Hatinya jijik melihat perempuan tua di depannya itu.
"Hoi pengawal, pekak ke. Aku suruh heret keluar perempuan tua ini cepat!" Tanggang makin marah. Cepat-cepat dua orang pengawal peribadinya menarik tangan mak Limah yang masih terduduk di depan Tanggang.
"Tanggang, kasihan mak ini...Tanggang, Tanggang..." ratap mak Limah pilu. Air mata merembes bercucuran. Tidak sedikit pun suara ratapan itu mencairkan hati Tanggang. malah kian panas hatinya mendengar suaranya dipanggil-panggil perempuan tua itu. Lama kelamaan suara itu sayup-sayup kedengaran. Fahamlah dia bahawa perempuan tua itu sudah dihalau jauh dari bahteranya.
Di rumah Mak Limah masih bersedih. Lantas, seusai solat Maghrib, dia pun berdoa pendek dan ringkas.
"Ya Allah, ampunkan dosa anak ku itu. Aku sedia memaafkan perlakuannya sebentar tadi. namun aku tidak putus asa untuk mendapat kembali kasih sayang anakku. Lembutkan hatinya agar dia sedar atas kesilapannya. Amin," Mak Limah berdoa dengan penuh khusyuk. Dia yakin bahawa janji Allah tetap benar bahawa doa seorang ibu amat mustajab!
Sebelum isya, kedengaran pintu rumah diketuk bertalu-talu. Mak Limah melangkah perlahan menuju ke pintu.
"Siapa di luar tu?" Tanya Mak Limah.
"Tanggang mak," kedengaran suara yang lembut.
Mak Limah bagaikan tidak percaya. Dia cepat-cepat membuka pintu.
"Mak, ampunkan Tanggang mak," Tanggang terus menerpa mencium tangan Mak Limah.
"Mak sudah mengampun dan memaafkan kamu anakku," Kata Mak Limah sayu. Maka pada malam itu berlakulah drama tangis-tangisan di pondok buruk Mak Limah. Dalam hati mak Limah tak putus-putus mengucapkan rasa syukur kepada Allah. Benar, doa ibu amat mustajab!
moral cerita : Para ibu, doa yang baik-baik buat anak-anak ye, jangan terlalu mudah nak menyumpahnya jadi batu. hehehehh..
HARAP TERHIBUR

7 ulasan:

  1. sungguh menghiburkan..x sangka ending nyer lain..thumbs up..teruskan menulis..selamat hari ibu untuk semua ibu2x d dunia ^_^

    BalasPadam
  2. hahhaha..menarik....
    selamat hari ibu kpda sume ibu-ibu..:D

    BalasPadam
  3. ZaRa al ZahRa dan anum farida, terima kasih atas ziarah entri ini.

    1. ZaRa al ZahRa - sengaja saya ubah endingnya untuk lari daripada kebiasaan.

    2. anum farida - kalau dah jadi ibu juga suatu hari nanti, ingatkan versi cerita ni buat anak-anak awak nanti. Heheheh...

    BalasPadam
  4. salam. haha..mampu membuat si fakir tersenyum lebar lantas mencetuskan tawa dihujungnya.

    inilah yang dikatakan betulkan yang biasa, biasakan yang betul..lawak ilmiah..

    p/s: kebelakangan ini melihat tulisan tuan ada unsur humor dan ilmi. bak kata cikgu, "hurm, bgs, ada kemajuan.."heh..teruskan menulis. Tak sabar menanti tulisan seterusnya.

    BalasPadam
  5. salam..
    hampir tersedak baca ending kedua-dua sketsa, nice =)

    Hm.. betul, betul, betul =)

    bukan sekadar anak2 shj yg perlu memenuhi hak kpd ibu bapa, tetapi
    anak2 juga ada hak2 dari ibu dan bapa. contohnya:

    -si bapa memilih wanita yg solehah utk anak2 yg bakal dilahirkan.

    -ibu bapa memberikan nama2 yg baik utk anak2

    -mereka memberi pendidikan yg sepatutnya utk anak2

    BalasPadam
  6. semua dah diulas...UJ hanya mampu tersenyum...
    selamat hari ibu...dan setiap hari adalah hari ibu...

    salam perjuangan...

    BalasPadam
  7. Terima kasih atas ziarah kalian pada entri ini.

    1. akuinsanlemah - Insya Allah, saya akan menulis selagi ada kekuatan yang diberikan olehNya. Idea dan sokongan daripada para sahabat di sini amat diperlukan untuk dikongsi bersama.

    2. muSafir - Betul kata awak. Anak-anak juga mempunyai hak mereka daripada ibu bapa seperti yang dinyatakan. Hidup ini saling memberi dan merasa, amanah dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dan redha Allah yang ingin dikecapi. Sedih apabila melihat, membaca, mendengar, dan menonton kisah-kisah penderhakaan anak kepada kedua ibu bapa dan kezaliman ibu bapa pula terhadap anak-anak yang masih kecil. Semua ini menginsafkan diri ini dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga.

    3. uNcLeJoE - Benar, setiap hari adalah hari ibu dan bapa buat kita semua.

    BalasPadam