SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Sabtu, 17 April 2010

SIRI 2 : SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal : Hmm..., malam ni saya nak sambung semula cerpen yang lalu. Harap rakan-rakan blogger sudi mengikuti cerita seterusnya.

***********************

Sejak itu juga aku sentiasa memanjatkan doa agar Tuhan memberi peluang untuk aku bertemu dengan Sang Presiden. Biar nanti aku robek-robek wajah keangkuhannya itu. Biar aku aibkannya dengan memijak-mijak mukanya seperti mana maruah negaraku diinjak-injak oleh derap kasut dua ratus ribu askar negara Angkuh Seratuspersen dan sekutunya. Hanya itulah harapanku sebagai rakyat kerdil yang tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat.

"Tungu, suatu masa nanti aku akan membalas dendam kepada kamu Sang Presiden!" Aku pernah terdengar monolog itu dari mulut teman serumahku, Muntadar. Nampaknya, dendamnya sama seperti aku. Cuma aku tidak meluahkan kepadanya apa yang terbuku dalam hatiku.

Muntadar al-Zaidi, seorang teman yang bertubuh tegap berusia lewat 20-an. Dia seorang yang sangat dedikasi dengan tugasnya sebagai wartawan televisyen Al-Baghdadia. Kami bertugas di stesen TV yang sama. Kami memang tidak boleh dipisahkan dalam menjalankan tugas mencari bahan berita. Setiap kali berlaku tragedi ledakan bom di mana-mana sudut dalam negaraku ini, pasti kami berdua berkejar ke tempat kejadian. Merakam setiap inci kemusnahan dan melaporkan setiap nyawa yang melayang.

Pernah berlaku ledakan bom di kawasan pasar tani dua bulan lepas yang telah mengorbankan ratusan nyawa. Aku yang tiba di tempat kejadiaan hanya mampu menahan sebak tatkala melihat kemusnahan yang berlaku. Darah hanyir menyimbah di atas jalan raya. Mayat-mayat bergelimpangan. Ada yang telah hancur berkecai. Cebisan daging yang terbakar dapat dilihat di merata-rata tempat. Malah ada yang melekat pada dinding-dinding bangunan yang berhampiran. Keadaannya sangat mengerikan. Aku sendiri hampir-hampir hendak muntah, namun dapat kukawalkan.

"Ah, betapa dahsyatnya keadaan negaraku sekarang. Semuanya kerana angkara onar Sang Presiden!" getus hatiku tatkala melihat kemusnahan itu. Muntadar pula asyik merakam dengan kameranya. Namun aku juga dapat melihat kekecewaan berbaur dendam pada wajahnya.

Acap kali kejadian letupan bom berlaku di kawasan awam, pasti puak pejuang yang tidak diiktiraf dituduh sebagai dalangnya. Kasihan, yang menjadi mangsanya kebanyakkannya adalah kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa. Apakah itu memang tindakan mereka yang mendakwa sebagai pejuang negara? Atau tidak mustahil juga ia dilakukan oleh kelicikan strategi pihak musuh itu sendiri agar mempunyai alasan untuk terus berada di negaraku berpanjangan dengan alasan menyempurnakan kempen antikeganasan mereka? Semuanya serba kemungkinan.

Pagi ini aku begitu gembira sekali. Aku meluahkan rasa syukurku kepada Tuhan kerana telah memperkenankan doaku selama ini. Hari ini, aku dan Muntadar berpeluang untuk berjumpa dengan Sang Presiden. Dua hari lepas sekeping kad jemputan telah diterima untuk menghadiri sidang akhbar dengan Sang Presiden di Hotel Baghdad. Aku tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Pucuk dicita ulam mendatang. Temanku, Muntadar juga kulihat tidak sabar-sabar untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.

"Hari ini Sang Presiden itu akan merasai penangan dariku!" bisiknya kepadaku sambil tersenyum mengusap-usap kepalaku. Aku hanya tersenyum mendengarnya. Aku juga mempunyai misi yang sama. Sengaja tidakku zahirkannya kepada Muntadar. Biarlah misiku ini satu rahsia. Hanya Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Aku bimbang kalau-kalau misi ini terbongkar, maka segala perancanganku selama ini akan menjadi sia-sia.

Sekitar jam lapan pagi, aku dan Muntadar sudah pun bertolak dari rumah. Memandu sendiri menuju ke Hotel Baghdad. Aturcara sebenarnya bermla jam 10 pagi. Sengaja kami berdua keluar awal takut nanti lewat tiba dan diletakkan di kerusi paling belakang. Jika ini berlaku akan mencacatkan misi kami berdua.

Semalam, ketibaan Sang Presiden ke nagaraku telah mendapat liputan meluas oleh pihak media. Begitu angkuh kulihat Sang Presiden menuruni tangga pesawat Airforce One. Malah sebaik sahaja kasutnya mencecah tanah bumi anbia ini, hati dan jantungku terasa pedih dan ngilu. Sakit hati. Derap langkahnya seolah-olah memijak tulang belulang mangsa yang telah menjadi korban kekejaman dasar luarnya. Seperti biasa aku dan Muntadar merakam dan membuat liputan dari jarak yang agak jauh.

(bersambung lagi....)

P/s: nak tahu kesudahan seterusnya, kena tunggu dengan sabar pada hari-hari mendatang ini.

3 ulasan:

  1. "..sebaik sahaja kasutnya mencecah tanah bumi anbia ini, hati dan jantungku terasa pedih dan ngilu. Sakit hati. Derap langkahnya seolah-olah memijak tulang belulang mangsa yang telah menjadi korban kekejaman dasar luarnya"..ayat ini terkesan di hati ana..

    akan menanti dgn sabar. terus menulis sahabat fillahku.

    BalasPadam
  2. akuinsanlemah dan fieza_sauti, terima kasih atas ziarah awak berdua.

    1. akuinsanlemah - 'langkah' kuasa itu wajib kita sekat agar tidak terus melangkah jauh ke wilayah Islam!

    2. fieza_sauti - terima kasih kerana sudi menunggu.

    BalasPadam