SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Ahad, 11 April 2010

SUSASTERA BULAN INI: SEPASANG KASUT BUAT SANG PRESIDEN

Catatan awal: Cerpen ini merupakan cerpen pertama saya yang baru hendak bertatih dalam dunia penulisan kreatif. Cerpen ini telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera kelolaan DBP Cawangan Sarawak di dalam akhbar Utusan Borneo. Saya paparkan di sini sekadar untuk berkongsi rasa dengan pengunjung blog ini. Mungkin di luar sana ada yang meminati bidang kesusasteraan sebegini.



Aku bukanlah seorang tokoh yang hebat. Bukan seorang usahawan minyak yang mempunyai harta berbilion-bilion ringgit. Bukan juga seorang artis yang popular dengan ramai pemuja suara dan wajahnya. Pun bukan juga seorang jagoan atlet yang telah mengharumkan nama negara dengan memecah rekod dunia sebagai pelari pecut terpantas. Walaupun adakalanya aku terpaksa berlari pantas menuju ke lokasi kejadian untuk mengutip sumber cerita. Malah, jauh sekali diriku jika hendak dibandingkan dengan Presiden Saddam Hussein, tokoh negarawan tanah airku yang telah tercabut nyawanya di tali gantung selepas mahkamah Agung Al-Maariqa menjatuhkan hukuman ke atasnya gara-gara kerana dia tidak memiliki senjata pemusnah besar-besaran seperti yang didakwa oleh Sang Presiden dari negara Angkuh Seratuspersen (AS).

Nah, aku hanyalah seorang rakyat kerdil yang hanya menyewa di kawasan perumahan sederhana di tengah Ibu Kota Seribu Satu Malam. Aku tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. Tiada sesiapa pun di kota ini yang mengenaliku. Malah, jiran sebelah rumah sewaanku itu pun tidak ingin mengenaliku walaupun acap kali kami bersua di laman dan senyuman kulemparkan kepadanya. Dia hanya sekadar membalas senyumanku. Untuk berbual memang jauh sekali dilakukan. Entahlah, mengapa hubungan kami tidak begitu mesra. Adakah kerana budaya kota memang begitu yang kaya dengan nilai keakuan. Atau mungkin aku masih baru menetap di situ. Baru enam bulan berpindah di situ belum cukup untuk menyelami hati budi para penghuninya di kawasan tersebut. Atau mungkin kerana aku seorang Sunni dan dia seorang Syiah?

Ah, aku terlalu banyak memikirkan soal yang negatif terhadap jiranku. Sewajarnya aku perlu menitik beratkan soal silaturahim dalam kalangan kami. Hubungan itulah yang kini sudah luntur dalam hati kami. Silaturahim yang telah membentuk semangat ukhwah dalam diri kami selama ini telah dirobek dan dibunuh dengan peluru hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba yang akhirnya menimbulkan perbalahan dalam kalangan kami. Kesannya, pihak musuh dengan mudahnya telah mengganyang negara kami sehingga maruah kami diinjak-injak dengan kasut keangkuhan mereka.

Dua ratus ribu derap kasut ketumbukan askar musuh telah memijak lumat maruah kami pada 20 Mac 2003. negara kami benar-benar telah menjadi korban dasar globalisasi memerangi pengganas, teroris dan militan oleh negara Angkuh Seratuspersen.

Seperti yang telah kunyatakan tadi, aku hanyalah rakyat kecil yang tidak punya apa-apa keistimewaan dan kudrat. namun aku cukup bangga kerana memiliki semangat patriotik yang tinggi terhadap negaraku. Semangat ini cukup menebal sejak enam tahun yang lalu setelah negaraku dilanyak lumat oleh puluhan ribu askar dari negara Angkuh Seratuspersen yang menjarah setiap inci bumi anbia ini atas arahan Sang Presidennya. Perang yang dilancarkan ke atas negaraku merupakan perang yang penuh dengan dendam di hati Sang Presiden. Dendam keturunan yang diwarisi daripada bapanya. Awal tahun 1990-an, buat pertama kalinya Sang bapak Presiden telah melancarkan serangan ke atas negaraku.

Dikerahkannya segala bala tentera dan bala sekutunya untuk menghancur lumat bumi anbia ini. Ketika itu, tiada siapa yang mahu menghulurkan bantuan kepada kami. Saudara-mara seagama pun telah lari malah ada yang sanggup bersekongkol membantu perikatan tentera bersekutu musuh. kasihan, kami umpama anak yatim berdepan dengan pihak musuh. Aku masih ingat lagi kata-kata daripada negarawan kami ketika itu semasa dia berucap pada perhimpunan raksasa saat-saat ratusan tab bom akan digugurkan ke atas negaraku.

"Kita tidak ada kawan pada masa ini, namun kita ada Allah untuk melindungi kita!" Itulah kata-katanya yang tidak mungkin aku lupakan. Kini negarawan itu sudah tiada lagi. Nyawanya telah tercabut di tali gantung. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya.

Serangan pertama kali itu gagal untuk menakluki negaraku. Ketetapan Pertubuhan Dunia telah mengarahkan agar peperangan itu ditamatkan. Namun, negaraku tetap menjadi mangsa sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Pertubuhan Dunia itu. Penderitaan demi penderitaan terpaksa kami tanggung. Penderitaan yang begitu panjang yang kami telah warisi kepada generasi baru anak-anak kami. penderitaan itu semakin parah tatkala sekali lagi pintu Kota Seribu Satu Malam dirempuh oleh segerombolan askar Barbarian dari negara bertamadun tinggi yang akhirnya membawa kemusnahan dan kejatuhan negara kami.

Tidak hairan generasi muda yang membesar dalam era kepayahan ini menaruh dendam kepada sesiapa sahaja yang menjadi punca kepada kehancuran negara kami. Mereka sanggup menggabungkan diri mereka dengan puak-puak pejuang yang tidak diiktiraf oleh kerajaan boneka negara kami untuk membebaskan tanah air dari terus menjadi neraka dunia.

Ah, masing-masing punya cara mereka sendiri. Yang kuat dan mempunyai kudrat akan mengusung senjata. Yang lebih berani akan mengikat seluruh badannya dengan untaian bom, meletupkan diri sehingga mengucar-ngacirkan suasana.

Aku? seperti yang telah kunyatakan tadi, bahawa aku tidak punya kudrat seperti itu. Namun aku punya cara aku sendiri untuk membela maruah bangsa dan negaraku. Walaupun caranya berbeza, namun matlamat kami sama iaitu membela maruah negara kami yang telah diinjak-injak oleh derap kasut dua ratus ribu kasut askar negara Angkuh Seratuspersen dan sekutunya.

(bersambung....)

Insya Allah, sambungan cerpen ini boleh diikuti pada hari-hari mendatang pada bulan ini.

5 ulasan:

  1. pastinya akan sabar menunggu sambungannya~
    moga thabat menulis..

    BalasPadam
  2. .. erm... sejarah nih... menarik.. rugi kalau tak baca..

    BalasPadam
  3. Terima kasih atas ziarah awak berdua;

    1. akuinsanlemah - Insya Allah, sambungannya semakin menuju konflik cerita.

    2. Tun Zarie UTama - Ya, cerpen ini berdasarkan sejarah sebenar yang melanda dunia umat Islam kini.

    BalasPadam
  4. Salam ziarah..cerpen yang menarik..teruskan menulis..moga istiqamah..

    BalasPadam
  5. Ukhti_sue, terima kasih kerana menziarah.
    Insya Allah. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi idea untuk saya menulis.

    BalasPadam