SEKADAR PESANAN

SUDAHKAH ANDA MENDAFTAR MENGUNDI? JIKA BELUM, DAFTARLAH SEKARANG!

Jumaat, 30 April 2010

CATATAN HUJUNG BULAN: KATAK OH KATAK

Pagi Jumaat yang basah. Selepas beberapa hari dibahangi panas dan tidur malam yang tidak berapa selesa lantaran bahangnya hingga ke malam. Kini, rahmat Allah yang diturunkan berupa hujan menyirami bumi tempat kediaman. Bergembiralah sekalian makhluk-makhluk penghuni bumi yang amat memerlukan air dalam meneruskan keberlangsungan hidup mereka. Tumbuh-tumbuhan terasa segar dalam sedutan air pada akarnya yang menjalar. Segala ungas dan haiwan yang melata juga bergembira menikmati rezeki yang telah Allah curahkan.

Teringat dengan sejenis haiwan yang sering dikaitkan dengan hujan, iaitu katak dan sespesis dengannya. Ya, katak sering dikaiTkan dengan hujan lantaran suaranya yang sumbang bagaikan memanggil hujan.

Kita sering mendengar ungkapan begini;
"Ah, suara macam katak nak panggil hujan ada hati nak jadi penyanyi juga."


Begitu juga, teringat dengan lirik daripada sebuah lagu rakyat;
"Katak oh katak kenapa panggil hujan
macam mana aku tak panggil ular nak makan aku
ular nak makan aku!"

Nah, begitulah manusia sering mengambil unsur-unsur alam untuk dijadikan kiasan dan perbandingan dalam menyampaikan suatu pendidikan dan pengajaran kepada manusia. Betapa manusia itu penuh dengan kejahilan. Alam banyak memberi inspirasi untuk manusia belajar dalam mengatur dan menguruskan kehidupan.

Lihat betapa Qabil telah belajar daripada seekor gagak untuk mengkebumikan jenazah Habil yang telah dibunuhnya. Malah, di dalam al-Quran juga Allah banyak mengungkapkan perbandingan dan kiasan melalui watak-watak seperti labah-labah, lebah, gajah, unta, dan semut (sekadar memaparkan beberapa nama haiwan) sebagai satu bentuk pendidikan kepada manusia bagi membuka mata minda dan hati manusia dalam memikirkan dan menghayati ajaran yang disampaikan oleh para nabi dan rasulNya. Benarlah, alam ini juga merupakan kitab terbuka luas untuk dikaji dan direnungi manusia bagi memantapkan keimanan kepada kewujudan Allah.

Berbalik kepada haiwan yang bergelar katak tadi, ia memang haiwan amfibia yang memiliki banyak keistimewaan. Membantu dalam memperlengkapkan sistem rantai makanan dan sistem ekologi setempat.

Namun, kini unsur katak sudah jauh lebih hebat dan moden meresap dalam sistem kehidupan manusia. Katak sudah menjadi perbahasan dalam kajian ilmu sains-politik di negara kita. Sejak kebelakangan ini, arena politik kebangsaan hangat dan heboh dengan isu beberapa wakil rakyat telah bertindak keluar dari parti yang pernah melonjakkan nama mereka dipersada politik. Alasan, demi perjuangan dan prinsip! Prinsip yang sudah tidak selari dengan prinsip parti. Itu kata mereka yang telah keluar. Namun fenomena tersebut telah mengheret sama sekali katak yang tidak tahu apa-apa dalam kancah politik negara. Maka lahirlah istilah baru dalam kamus politik negara dengan memasukkan entri baru iaitu 'YB Katak'. Maknanya merujuk kepada wakil-wakil rakyat yang keluar melompat parti. Begitulah hebatnya nama katak ni.

Katak juga mengingatkan saya tentang zaman kanak-kanak saya dahulu. Masa itu belum baligh lagi. Dalam usia 7 dan 8 tahun. Setiap kali musim hujan menjadi suatu keseronokan kepada saya dan abang saya. Ketika itulah banyaknya kedengaran suara-suara katak riuh memangil hujan. Daya 'kreatif' saya dan abang saya akan mencari dan menangkap berudu untuk dipelihara. Untuk apa? Apabila besar menjadi katak, kami jual dengan keluarga cina. Seekor harga 5 sen. Masa tu nilai 5 sen memang besar. Selain memelihara berudu, aktiviti menangkap katak-katak dewasa juga dijalankan untuk dijual. Wah, lumayan juga jual katak. Tapi itu cerita dulu, masa masih kanak-kanak yang tak tahu apa-apa halal haramnya. Mengenangkan peristiwa itu, saya akan tersenyum sendirian.

Begitulah perihal katak yang sedikit sebanyak meresap dalam kehidupan kita. Namun pernahkah kita terfikir tatkala mendengar riuhnya suara katak takala musim hujan. Adakah suara sumbang itu memanggil hujan atau tanda katak-katak ini bertasbih memuji Pencipta.

Firman Allah:
"Dialah yang memperlihatkan kilat kepadamu yang menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia menjadikan mendung (awan tebal mengandungi air) dan guruh pun bertasbih memujiNya (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNya, dan Allah melepaskan halilintar llau menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia Maha Keras siksaanNya." (ar-Ra'd: 12-13)

Tatkala hujan, maka katak-katak itu mengucapkan syukurnya dan bertasbih kepada Allah atas nikmat hujan yang dikurniakan. Namun, bagaimana sikap kita tatkala hujan turun? Sering kita mengungkapkan hari hujan itu sebagai 'cuaca buruk' malah kita banyak merungut-rungut kerana hujan telah membataskan pergerakan dan banyak program kita tertanguh kerananya. Benarlah, masih terlalu banyak lagi yang perlu manusia pelajari daripada alam dalam memahami erti kesyukuran.




4 ulasan:

  1. kalau mati katak pulak, camna? hihihi...

    BalasPadam
  2. Salam. Erk, YB Katak=5 sen..heheh..sinikal gak bila di kaitkan...tp masih relevan sinonim manusia yg begitu murah 'dibeli'...YB oh YB..

    SELEBIHNYA..
    syukur ilallah atas nikmat dan kurnianya..moga mengalir rahmah dan berkah dr curahan hujan yg melimpah.....

    klantan sllu hujan...hurm, sbb bnyk katak nak panggil ujan ke??huhu...mengarut di situ~..

    BalasPadam
  3. salam. syabas sahabat, catatan yang bagus dan menarik dibaca

    BalasPadam
  4. piewahid, akuinsanlemah dan milana_5271, terima kasih atas ziarah entri ini.

    1. piewahid - hehehe..ramai belia kita mati katak akibat merempit. Sayang, nyawa itu disia-sia kan di jalan raya, bukan di jalan Allah (fisabilillah)

    2. akuinsanlemah - YB Katak = 5 sen, itu harga dulu. Sekarang barang semua dah naik. Mau harga katak sekarang RM 5 juta.

    3. milana_5271 - terima kasih kerana membaca. Teruskan memberi sokongan dan idea untuk saya menulis.

    BalasPadam